Muktamar PAS ke-67: Perwakilan dijangka bangkit isu penggunaan lambang PN

Sebaran :

Muktamar PAS ke-67: Perwakilan dijangka bangkit isu penggunaan lambang PN

Keputusan pucuk pimpinan PAS untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional pada PRN Melaka selepas 47 tahun memasarkan lambang bulan kepada rakyat dijangka sengit dibincangkan pada mesyuarat agung tahunan parti Islam itu yang akan bersidang hujung minggu ini.

Walaupun akar umbi PAS sinonim dengan sikap ‘wala’ terhadap pimpinan, parti Islam itu tetap menggunakan lambang sendiri meskipun ia menyertai pelbagai ‘tahaluf’ sejak 1974, baik Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan Gagasan Sejahtera.

Namun, semua kerjasama yang ia jalin sebelum ini menonjolkan satu corak jelas – semuanya terjalin semasa ia menjadi pembangkang dan PAS menyertai pilihan raya dalam mod pembangkang.



Kali terakhir PAS mengabaikan lambang bulan adalah untuk PRU 1974, yang mana ia bertanding atas Barisan Nasional bersama parti-parti pemerintah. Pada PRN Melaka, PAS akan masuk gelanggang dalam mod pemerintah.

“Saya pasti akan timbul rasa kurang senang penggunaan lambang PN di Melaka, sedangkan Umno membuat ketetapan PAS boleh guna lambang sendiri jika Muafakat Nasional jadi tumpuan,” kata penganalisis politik dan bekas ahli akademi UTM, Azmi Hassan.

Latar belakang ketidaksenangan yang dikatakan Azmi itu adalah PAS dituduh bermain “dua kolam” dalam usaha parti itu mengimbangi hubungannya antara Umno dan Bersatu.

Kerjasama PAS dan Umno terbukti dengan kemenangan berantai Muafakat Nasional dalam beberapa pilihan raya kecil pasca PRU14, menentang Bersatu pimpinan Dr Mahathir Mohamad yang memerintah bersama PKR, DAP, dan Amanah.



PAS kemudian menjalin kerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin, dan membentuk kerajaan bersama susulan Langkah Sheraton – peristiwa yang ditandai pengkhianatan sekumpulan Ahli Parlimen.

Sebahagian besar ahli Umno dikatakan masih berdendam dengan bekas rakan seperti dalam Bersatu. Keputusan PAS untuk menyertai PRN Melaka dengan gabungan bersama Bersatu dikatakan secara efektif menguburkan MN.

“Pucuk pimpinan PAS akan gunakan muktamar dengan mengatakan ‘ruang dan kelonggaran akan diberikan’ (oleh sekutu) supaya tidak ada tuduhan selepas ini PAS suka berpaling tadah,” kata Azmi.

Bagaimanapun, beliau menambah: “Jikalau PN kalah teruk di tangan Umno, maka PAS perlu fikir strategi PRU mereka.”



Kempen PRN Melaka

Sama ada Umno akan mampu membentuk kerajaan di Melaka menerusi pilihan raya masih boleh didebatkan, memandangkan pentadbiran Sulaiman Md Ali terbentuk melalui pengkhianatan sekumpulan ADUN. Melaka, dengan jumlah pengundi bukan Melayu yang signifikan di beberapa kawasan, memberikan mandat kepada PH pada PRU14.

“Demi ‘agama, bangsa, dan negara’, PAS akan buat apa saja,” kata seorang lagi penganalisis dan bekas ahli akademi USM, Ahmad Atory Hussain.

“Dengan menggunakan lambang PN, tidak akan menghilangkan prinsip serta imej Islam dan Melayu PAS. Tumpuan muktamar kali ini juga ialah sama ada hendak meletakkan calon PAS dalam PRN ini,” katanya.

PAS menawarkan satu strategi untuk PRN Melaka iaitu ia akan menyokong dan berkempen untuk penyandang kerusi DUN jika berlaku pertembungan antara PN dan Barisan Nasional.

Sebelum terbubarnya Dewan Undangan Negeri, Umno menyandang 12 kerusi, sementara Bersatu 1. Terdapat 4 kerusi Bebas, iaitu Sungai Udang (dahulunya Umno), Pantai Kundor (Umno), Telok Mas (Bersatu), dan Pengkalan Batu (DAP).

Sekurang-kurangnya di Paya Rumput dan Telok Mas, PAS akan berkempen menentang parti Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Cabutan judi, arak, dan undang-undang syariah

Muktamar kali ini perlu dimanfaatkan sebaik-sebaiknya oleh Presiden Abdul Hadi Awang untuk menggembeleng akar umbi, memandangkan ia mungkin sekali mesyuarat agung terakhir sebelum PRU15.

Muktamar ini juga diadakan selaku parti pemerintah – dengan kuasa membikin dasar negara yang meluas, mendalam, dan berkekalan. Penganalisis meramalkan isu cabutan judi, arak, dan undang-undang syariah akan timbul namun “tidak sehingga memanaskan suasana muktamar”.

“Mungkin juga tidak akan ditimbulkan isu tersebut kerana akan perlihat kelemahan menteri PAS,” kata Azmi.

“Jika ada ditimbulkan pun seperti lesen judi, ia untuk perjelas di luar bidang kuasa menteri PAS.”

Atory meramalkan muktamar kali ini tidak akan jadi kritikal terhadap pimpinan PAS, yang berjaya mencipta suatu rekod baharu untuk parti itu.

“Parti itu berjaya menampilkan sejumlah pemimpin PAS menjadi menteri dan timbalan menteri. Ada lapan menteri dan timbalan menteri – satu rekod yang tak pernah wujud sebelum ini,” katanya.

Sama ada akar umbi selesa atau tidak dengan kepimpinan tertinggi PAS sedia ada, Azmi percaya mereka tidak akan mahu “menggoncang” PAS menjelang PRU15.

“Mereka mahu mengekalkan pucuk pimpinan sedia ada memandangkan PRU15 semakin hampir…jika berlaku perubahan pucuk pimpinan ia akan merubah dasar dan strategi PAS menghadapi PRU15,” katanya. FMT

Muktamar PAS ke-67: Perwakilan dijangka bangkit isu penggunaan lambang PN


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Muktamar PAS ke-67: Perwakilan dijangka bangkit isu penggunaan lambang PN

Suami pelakon ditahan reman, gaduh dalam keadaan mabuk


Sebaran :

Leave a Reply