PRN Melaka: Pengundi takut keluar mengundi



MELAKA: Peratusan keluar mengundi pada 20 November ini diramal sekitar 35 hingga 40 peratus kerana pengundi dikatakan bimbang dijangkiti virus Covid-19 seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lau.

Angka keluar mengundi dijangka merosot kira-kira 50 peratus berbanding sasaran 70 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rata-rata pengundi ditemui Utusan Malaysia meluahkan mereka masih takut untuk keluar mengundi kerana tidak mahu penularan wabak yang berlaku selepas PRN Sabah berulang.

Meskipun peratusan populasi vaksin negeri ini sudah mencapai 92.2 peratus, namun mereka belum yakin virus tersebut tidak akan menular lagi.

Seorang peniaga, Diyana Damira Ghafar, 38, berkata, setakat ini dia masih teragak-agak untuk keluar mengundi kerana bukan sahaja takut Covid-19 tetapi juga sudah bosan dengan sikap pemimpin politik.




Katanya, PRN Melaka yang terpaksa diadakan disifatkan sebagai tidak berbaloi kerana ia berlaku akibat percaturan permainan politik sesetengah individu yang mempunyai kepentingan peribadi.

“Tengok dahulu saya hendak keluar mengundi atau tidak pada 20 November ini. Kalau mereka masih kekal calon sama, saya sah tidak tidak keluar mengundi.

“Jadi ada masa lagi untuk berfikir sama ada perlu keluar mengudi mahupun tidak sebelum tiba hari 20 Februari ini,” katanya yang bakal menjadi pengundi untuk kali pertama pada PRN Melaka jika keluar membuang undi.

Sebanyak 495,196 orang pengundi termasuk 106 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara direkodkan dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) pada PRN Melaka ke-15 kali ini.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok kerajaan menarik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali.




SPR kemudian menetapkan 8 November untuk hari penamaan calon manakala hari pengundian pada 20 November ini.

Seorang lagi penduduk Masjid Tanah, Mohamad Khairul Anwar, 28, berkata, dia yang sudah lengkap divaksin juga masih teragak-agak untuk keluar mengundi kerana takut dengan Covid-19 yang belum habis.

Bagaimanapun, katanya, jika dia tidak keluar mengundi, khuatiri Melaka bakal mendapat pemimpin yang salah.

“Satu undi amat berharga. Jadi saya akan memperhalusi keputusan saya tetapi masa ini 50/50 antara keluar dan tidak. Segalanya tunggu pada 20 November nanti,” jelas peniaga itu.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Alice Koh memberitahu, dia yang bekerja di Selangor mengesahkan tidak akan menghabiskan duit dan masa semata-mata untuk pulang mengundi.




“Dalam usia menuju warga emas, ini akan menjadi kali pertama saya tidak teruja untuk mengundi. Puncanya saya tidak menikmati apa-apa kelebihan walaupun siapa sekali wakil rakyat yang dipilih,” katanya di samping tidak mahu meneruskan perbualan.

Dalam pada itu, pensyarah kanan Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, tinjauan dilakukannya baru-baru ini mendapati separuh pengundi Melaka takut tercetusnya gelombang baharu Covid-19 sehingga menyebabkan sekatan pergerakan semula.

Menurut beliau, malah kebimbangan berkenaan mempengaruhi mereka untuk memangkah kertas undi di pusat mengundi walaupun PRN menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu.

“Situasi ini juga menjadi masalah kepada sasaran parti-parti politik untuk merampas mana-mana kerusi ditandingi. Jika mereka mengharapkan peratusan keluar mengundi tinggi tetapi terjadi sebaliknya.

“Malah ini menjadi cabaran kepada SPR bagaimana untuk menyakinkan pengundi agar mereka berasa selamat bukan sahaja ketika mengundi, namun sepanjang tempoh PRN Melaka berlangsung,” katanya.




Dalam pada itu, Mazlan menambah, kekangan untuk berkempen secara bersemuka turut menjadi penghalang jentera parti untuk menyakinan para pengundi agar tidak bimbang keluar mengundi.

“Bagaimana jentera parti mahu mengajak orang ramai jika mereka tidak dibenarkan kempen dari rumah ke rumah ekoran SOP dan larangan ditetapkan Kementerian Kesihatan seperti mana Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342,” katanya.- UTUSAN

PRN Melaka: Pengundi takut keluar mengundi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: Penyandang 3 penggal tak dicalonkan semula



Leave a Reply

Your email address will not be published.