PAS Sabah persoal keikhlasan PN

PAS Sabah persoal keikhlasan PN

Seorang Perwakilan PAS Sabah tampil melontarkan persoalan mengenai kedudukan parti itu susulan kerjasama mereka dalam Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kalabakan, Kadarisman Kadiran, dalam ucapan ringkasnya memohon penjelasan pimpinan berhubung pembahagian kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah selain membandingkan kedudukan PAS ketika bersama Pakatan Rakyat suatu masa dahulu.



Malah, dia turut membangkitkan soal agihan jawatan dalam PN yang dilihat dipimpin oleh parti baru iaitu Bersatu sebagai pengerusi PN.

Kata Kadarisman, mereka tidak mahu selepas lebih 40 tahun kewujudan PAS di Sabah, tiba-tiba parti itu tidak dibenarkan bertanding di negeri itu.

“Kita tidak mahu selepas lebih 40 tahun PAS di Sabah, tiba-tiba kita berada dalam posisi tidak bertanding di Sabah.

“Sekian lama kita berkawan dengan Pakatan Rakyat dahulu (dalam) 40 kerusi kita bertanding, berkawan dengan PN kosong (kerusi) bertanding. Itu kan pelik?” tegasnya di Kuala Terengganu, hari ini.



Kadarisman berkata demikian ketika sesi pertanyaan pembentangan laporan mesyuarat tahunan PAS Pusat 2020-2021.

Merujuk kepada isu penubuhan PN dalam laporan itu, Kadarisman berkata dia melihat penubuhan gabungan yang dahulunya meletakkan PAS berada di posisi pengerusi bersama berubah apabila pengerusi dipilih dari “parti baru”, manakala pemimpin PAS menjadi timbalan.

“Maka saya nak bertanya adakah parti yang baru menjadi ketua kepada parti yang besar? Sedangkan dalam Muafakat Nasional (MN) kita berada dalam posisi pengerusi bersama di peringkat kebangsaan dan negeri-negeri.

“Ini sesuatu yang pelik, maka adakah ia menyebabkan kita mendapat satu keputusan bahawa PN di Sabah tidak memberikan kerusi kepada PAS, dan kita hanya berbangga dilantik sebagai wakil rakyat yang dilantik di Sabah,” tegasnya.



Sementara itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan ketika tampil menjawab persoalan itu berkata, keputusan PAS tidak bertanding di Sabah dibuat melalui hasil rundingan bersama parti-parti gabungan yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Mengenai PRN Sabah, kenapa tidak ada calon PAS bertanding, saya rasa maklumat ini sudah banyak dijelaskan sama ada di Sabah atau peringkat nasional. Itu adalah hasil perundingan di antara kita yang bersama-sama parti Bersatu, Umno dan Star dalam satu gabungan yang dinamakan sebagai GRS.

“Memang asalnya kita menyenaraikan PAS akan bertanding sekurang-kurangnya 10 kerusi, tetapi hasil rundingan yang diadakan strategi telah diambil walaupun PAS tidak bertanding dalam PRN Sabah, tetapi PAS diberikan janji untuk diberikan satu jawatan wakil rakyat dilantik dan perkara itu ditunaikan oleh pihak yang membentuk kerajaan PN di Sabah,” jelasnya.

Menyentuh mengenai jawatan dalam PN katanya, penubuhan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada iaitu Akta Pertubuhan, di mana sesebuah pertubuhan mesti mempunyai perjawatan-perjawatan dan tidak dibenarkan mempunyai presiden bersama atau pengerusi bersama.



Katanya, berdasarkan perlembagaan PN di kalangan parti-parti yang membentuk organisasi, salah seorang perlu dilantik sebagai pengerusi dan yang lain menjadi timbalan pengerusi.

“Oleh sebab itulah dalam PN didaftarkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi pengerusi PN dan presiden-presiden parti lain sebagai timbalan.

“Itu terdapat dalam perlembagaan, sebab itulah tidak ada pengerusi bersama,” kata Takiyuddin. Mk

PAS Sabah persoal keikhlasan PN




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Perangai kau tu baik sangat ke? – Diana Danielle



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker