Hidangan siakap lebih RM1,000: Jangan tular, lapor kepada KPDNHEP

Hidangan siakap lebih RM1,000: Jangan tular, lapor kepada KPDNHEP

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta melakukan siasatan secara telus bagi memastikan pengguna tidak ditindas dengan harga makanan tidak munasabah di sebuah restoran di Langkawi.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff, berkata kejadian berlaku berkemungkinan masalah komunikasi antara pihak restoran dan pelanggan mengakibatkan rasa tidak puas hati seterusnya menularkan bil makanan di media sosial.

Beliau berkata, pelanggan itu sepatutnya terus melaporkan kepada KPDNHEP supaya siasatan dapat dilakukan dan mengambil tindakan tegas jika terdapat kesalahan.

“Setakat ini, kita tidak tahu sama ada penjual (pemilik restoran) mempamerkan tanda harga atau tidak, jika tiada maka tindakan tegas perlu dikenakan.

“Namun, jika ikan siakap hidup yang dikatakan hanya untuk pameran saja, penjual sepatutnya bertegas tidak menjualnya kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, makan tengah hari sekumpulan tujuh pelancong di sebuah restoran terapung di Langkawi kelmarin, dikejutkan dengan harga ikan siakap yang didakwa terlalu mahal.

Berdasarkan satu resit yang dimuat naik seorang pengadu di laman sosial, ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang dipesannya berjumlah RM1,196.80.

Jumlah keseluruhan bil yang dimuat naik pelanggan itu termasuk hidangan makanan dan minuman lain, ialah RM1,759.50 dan tular di media sosial.

Mohd Yusrizal berkata, kejadian itu boleh memberi kesan kepada industri pelancongan di Langkawi kerana kedai makan atau restoran lain turut terkena tempias.

“Ia sekali gus memberi persepsi buruk kepada orang ramai, termasuk pelancong sendiri.

“Kita faham peniaga sudah hampir dua tahun terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun mereka tidak boleh menekan pengguna.

“Ia boleh memberi kesan buruk kepada industri pelancongan yang baru mula bernafas. Pengguna pula saya nasihatkan terus lapor kepada KPDNHEP supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Suami pelakon ditahan reman, gaduh dalam keadaan mabuk

Related Articles

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker