‘Ustaz-ustaz jangan suka bergaduh’

GOLONGAN agamawan atau yang bergelar ustaz dinasihatkan supaya tidak sombong kerana menjadi ulama tidak semestinya menjamin syurga serta selamat daripada tipu daya syaitan di dunia.

Dalam masa sama, ustaz-ustaz yang ada janganlah bergaduh semasa sendiri dan jika ada pertikaian perlulah kembali kepada al-Quran dan sunnah kerana mereka memberi contoh serta teladan kepada masyarakat.

Golongan ini haruslah sentiasa berbuat baik sesama insan serta kembali kepada al-Quran dan sunnah apabila termakan dengan tipu daya serta fitnah yang berleluasa ketika ini.

Pengerusi Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata) Perlis, Muhammad Rohim Khamis, 32, berkata, mereka yang mempunyai ilmu agama tinggi janganlah mempunyai sifat takabur iaitu salah satu daripada sifat yang dibenci oleh Allah SWT.

Katanya, fitnah besar yang berleluasa dalam kalangan umat akhir zaman ketika ini merupakan petanda Imam Mahdi akan turun tidak lama sebelum tibanya hari kiamat.

“Imam Mahdi turun tidak lama pun untuk mengharmonikan kembali fitnah-fitnah besar ini dan pengikut-pengikutnya adalah orang yang beriman dan membaca al-Quran. Jadi, adakah kita akan menjadi sebahagian daripada pengikut Imam Mahdi atau tidak?

“Maka, ustaz-ustaz yang ada ini janganlah bergaduh semasa sendiri ini dan perlulah kembali kepada al-Quran dan sunnah.

“Berbuat baik dan mengajak orang untuk berbuat baik adalah perkara yang membuatkan Allah SWT tidak murka pada kita. Contoh amalan baik yang boleh dilakukan adalah dengan bersedekah yang dapat memadamkan kemurkaan Allah SWT,” katanya kepada Mingguan Malaysia di Maahad Tahfiz Al-Hikmah, Padang Siding, Arau, Perlis baru-baru ini.

Sementara itu, pengasas maahad tahfiz yang ditubuhkan pada 2010 ini berkata, hanya kebaikan dapat menyelamatkan umat Islam daripada perpecahan dan juga fitnah.

“Nabi Muhammad SAW ada berpesan untuk berbuat amal walaupun kita berada dalam keadaan yang gelap kerana kebaikan dapat menyelamatkan kita daripada perpecahan.

“Sebaliknya, janganlah menjadi seorang yang takabur kerana hidup kita di dunia tidak lama,” kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Anak jati Perlis yang berasal dari Kampung Tok Kuning, Kuala Perlis itu pernah mendapatkan pendidikan di Maahad Buuth Islamiyah, Al-Azhar, Mesir pada usia 11 tahun serta melanjutkan pengajian agamanya di Madrasatul Quran Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.

Beliau yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik itu memberitahu, kesedaran ibu bapanya mengenai kepentingan agama dalam pegangan hidup mendorong mereka untuk menghantar kesemua anak belajar dalam bidang agama sejak kecil.

“Sungguhpun mereka tidak mempunyai ilmu agama yang tinggi, tetapi mereka hantar kami semua adik-beradik belajar agama supaya dapat menjadi anak yang soleh dan Insya-Allah sebagai pewaris Nabi Muhammad SAW.

“Lagipun, anak-anak bila duduk di rumah dan sekolah agama itu berbeza sedikit kerana terjaga daripada maksiat seperti yang ada di persekitaran termasuk semasa menonton televisyen,” ujarnya.

Tambah beliau, kerana itulah dia memilih untuk menubuhkan Maahad Tahfiz Al-Hikmah yang kini mempunyai 120 pelajar iaitu 90 pelajar lelaki dan 30 pelajar wanita di cawangannya di Batu Dua, Arau, Perlis.

‘Ustaz-ustaz jangan suka bergaduh’


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: MKT Umno beri PM mandat berunding, elak parti dalam kerajaan bertembung

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker