Lebih 35 NGO bantah cukai rokok elektronik, vape, mahu Industri ini diharamkan

PETALING JAYA: Lebih daripada 35 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan profesional kesihatan dan perubatan serta masyarakat sivil berasaskan komuniti menzahirkan kekecewaan dan membantah sekeras-kerasnya cadangan kebenaran penjualan rokok elektronik dan vape bernikotin di negara ini.

Ini susulan cadangan untuk mengenakan duti eksais terhadap produk cecair rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin oleh pihak kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 semalam.

Menurut kenyataan bersama, pengenaan duti eksais cecair rokok elektronik yang mengandungi nikotin itu secara tidak langsung memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa kerajaan membenarkan produk berkenaan untuk dijual di pasaran terbuka negara ini.

Katanya, pihaknya menzahirkan kerisauan yang amat tinggi terhadap keberkesanan penguatkuasaan yang bakal dijalankan nanti melalui bentuk kawalan yang diperkenalkan kerana umum mengetahui negara sentiasa menghadapi masalah integriti, rasuah dan penyalahgunaan kuasa di kalangan pihak yang terlibat seperti mana yang berlaku dalam masalah rokok tidak sah.

“Kami kecewa kerana kerajaan memutuskan untuk membenarkan penjualan satu lagi produk ketagihan baru yang terbukti berbahaya untuk kesihatan fizikal dan mental rakyat.

“Keputusan ini juga bertentangan dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dikeluarkan pada tahun lalu dengan amaran rokok elektronik terbukti secara saintifik memberi kesan kepada penggunanya.

“Malah tambah menyedihkan apabila negara-negara ASEAN sudah membuat pengharaman terus tetapi Malaysia menerajui pengeluaran, penjualan dan pengedaran di rantau Asia pula, sungguh memalukan kerana ia merupakan produk berisiko tinggi kepada kesihatan.

“Keputusan yang dibuat kerajaan ini juga tidak selaras dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 2015 yang memutuskan rokok elektronik, termasuk vape adalah haram,” kata kenyataan itu.

Antara pertubuhan terbabit termasuk Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health), Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Kesihatan Enviromen Malaysia (MAEH).

Tambah kenyataan itu, pihaknya juga menggesa ahli Parlimen untuk mempertimbangkan semula cadangan yang dibentangkan itu terutama ketika negara masih menghadapi pandemik Covid-19 yang belum reda.

“Kajian juga membuktikan bahawa mereka yang menghisap rokok atau rokok elektronik akan berdepan dengan risiko komplikasi yang teruk jika dijangkiti Covid-19,” katanya.

Pada masa yang sama, jelasnya, peranan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan pengurusan Kementerian Kesihatan juga menjadi persoalan dalam berdepan perkara sebegini.

“Kami ingin mempersoalkan peranan Khairy dan pengurusan tertinggi kementerian itu dalam perkara ini. Bukankah YB (Yang Berhormat) baru sahaja melaungkan slogan-slogan agar rakyat mengamalkan gaya hidup sihat ketika negara sedang memasuki endemik ini?

“Bukankah pihak Kementerian Kesihatan perlu memastikan Keluarga Malaysia yang disayangi ini bebas daripada sebarang risiko atau komorbiditi yang bakal menambah beban kos perawatan?” soalnya.

Lebih 35 NGO bantah cukai rokok elektronik, vape, mahu Industri ini diharamkan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘Abang askar’ jilat tangan pekerja wanita kedai vape dicekup [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker