28 Oktober penentu UMNO-Bersatu

SHAH ALAM – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Oktober ini bakal menjadi platform parti itu untuk ‘mengharmonikan’ sebarang kekeliruan mengenai tempoh sebenar penamatan kerjasama UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagaimana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ketika ini terdapat dua pandangan berbeza terhadap tempoh penamatan kerjasama UMNO dan Bersatu setelah diputuskan PAU 2020 pada Mac lalu.

Jelas beliau, ada pemimpin parti itu berpandangan kerjasama UMNO-Bersatu hanya akan berakhir setelah pembubaran Parlimen berlaku yang membawa kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Tetapi ada juga pandangan termasuk daripada Presiden UMNO sendiri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang menganggap bila berlaku sahaja pilihan raya penting untuk membentuk kerajaan baharu, sama ada pilihan raya negeri (PRN) atau PRU itu sendiri.

“Maka kerjasama dengan Bersatu dianggap sudah tamat meskipun sesebuah pilihan raya itu bukan sebahagian PRU15.

“Justeru, mesyuarat MKT UMNO pada 28 Oktober adalah platform untuk kita mengharmonikan lagi keputusan PAU supaya semua ahli parti akan jelas dan faham,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perbezaan pandangan pemimpin UMNO dalam mentakrifkan tempoh sebenar penamatan kerjasama UMNO dan Bersatu setelah keputusan ‘No Bersatu, No Anwar dan No DAP’ dimuktamadkan pada PAU 2020.

PAU 2020 sebelum ini meluluskan usul supaya tiada kerjasama UMNO dengan Bersatu pada PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Mengulas lanjut, Mohd Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang menjelaskan mesyuarat MKT UMNO itu nanti akan memberi ruang kepada semua pihak untuk mengemukakan pandangan masing-masing.

Selain itu, badan pembuat keputusan tertinggi UMNO itu akan memberi ruang kepada Ahmad Zahid selaku Presiden parti serta jawatankuasa Biro Politik untuk mengemukakan justifikasi terhadap ketetapan dipegang mereka.

“Pada saat ini, pandangan kerjasama dengan Bersatu hanya terputus bila PRU15 diadakan adalah betul manakala pandangan Presiden UMNO yang parti tidak akan bersama dengan Bersatu dalam sebarang bentuk pilihan raya yang boleh membentuk kerajaan juga adalah betul.

“Kita akan bahaskan perkara ini dengan sedalamnya dan Presiden akan berpeluang menerangkan justifikasi beliau mengenai pendirian kerjasama dengan Bersatu dengan jelasnya pada 28 Oktober ini,” katanya.

Ditanya mengenai status kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) pada PRN Melaka dan PRU15, Mohd Sharkar menegaskan perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT susulan UMNO masih berhasrat untuk meneruskannya.

Jelas beliau, sehingga kini, UMNO tidak pernah mengeluarkan kenyataan parti itu mahu memutuskan hubungan dengan MN.

“Dari aspek perbincangan kerjasama MN pada PRN Melaka, kemungkinan UMNO mencadangkan parti itu bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi lebihan lapan kerusi DUN majoriti pengundi Melayu akan diserahkan kepada Pas.

“Lepas itu, terpulanglah kepada Pas untuk bertanding sendiri atau agih kepada parti lain. Itu hanya contoh cadangan jumlah kerusi yang akan dikemukakan dan angkanya mungkin berubah mengikut situasi semasa,” katanya.

28 Oktober penentu UMNO-Bersatu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Gagal mendapat simpati UMNO di Melaka, Bersatu ugut tarik sokongan di Pusat?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker