PRN Melaka ketika pandemik

SELARAS tugas dan tanggungjawab yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setelah lebih dua tahun Covid-19 melanda dunia, sekali lagi Malaysia menyaksikan PRN dijalankan mengikut norma-norma baharu, bagi memastikan lunas-lunas demokrasi dipatuhi dalam apa sahaja keadaan.

PRN Melaka pada 20 November ini bukanlah perkara baharu dalam pengurusan pilihan raya dalam persekitaran pandemik. Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Slim dan PRN Sabah pada tahun lalu membuktikan bahawa SPR mempunyai kemampuan yang tinggi untuk menjalankan pilihan raya dengan lancar dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Pilihan raya adalah game of numbers. Kesemua pihak yang terlibat termasuk calon dan parti politik mengharapkan agar mereka dapat berjumpa untuk berkempen dengan seramai mungkin pengundi. SPR pula ingin meyakinkan setiap pengundi supaya keluar mengundi.

Namun dalam keadaan negara kita dihimpit pandemik, risiko jangkitan masih lagi tinggi walaupun hampir 90 peratus penduduk dewasa telah divaksin.

Perhimpunan dan majlis melibatkan kehadiran orang ramai, biasa berlaku semasa musim pilihan raya bukanlah satu perkara yang harus diambil ringan oleh mana-mana pihak kerana jangkitan Covid-19 amat mudah berlaku dalam suasana tersebut.

Vaksin bukan pencegah jangkitan tetapi merupakan perlindungan dari kesan teruk akibat jangkitan virus.

Kita amat berharap ahli-ahli politik dan calon yang akan bersaing dalam PRN Melaka mengambil langkah berhati-hati agar ia tidak menjadi platform penyebaran Covid-19 sebagaimana semasa PRN Sabah tahun lalu.

Beberapa proses pilihan raya boleh ditambah baik oleh SPR bagi memastikan orang ramai tidak berkumpul.

Bermula dengan proses penamaan calon. Jangka masa untuk mengemukakan borang pencalonan boleh dipanjangkan, misalnya melebihi satu jam berbanding amalan sekarang.

Waktu yang lebih panjang akan membolehkan calon untuk hadir di pusat penamaan di waktu yang berbeza bagi mengelakkan keadaan sesak sebagaimana yang sering berlaku pada hari penamaan calon.

ELAK HIMPUNAN

Bagi calon dan parti politik pula, adalah tidak perlu untuk menunjuk ‘kekuatan sokongan’ dengan perarakan dan perhimpunan besar-besaran yang melibatkan kehadiran penyokong dalam jumlah besar.

Penyokong-penyokong calon dan parti politik boleh menunjukkan sokongan dengan undi yang banyak pada hari mengundi kerana ia lebih penting daripada perarakan dan perhimpunan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus memastikan bahawa perkara ini dapat dilaksanakan dengan tegas dan sempurna.

Kempen pilihan raya secara tradisional dengan perhimpunan dan ceramah secara berkumpul besar-besaran bukan lagi cara berkempen yang patut diteruskan semasa PRN Melaka.

Calon dan parti politik harus berkempen dengan lebih kreatif serta berinovasi bagi mengelak interaksi antara manusia yang menyebabkan jangkitan.

Kempen dalam atas talian, melalui media sosial sebagai contoh, perjumpaan skala kecil adalah antara cara baharu yang boleh dipraktikkan oleh pihak-pihak yang berkaitan.

Kempen pilihan raya di Jepun merupakan antara contoh yang baik untuk diikuti dan diamalkan di negara ini.

Stesen televisyen dan radio boleh memberi ruang yang lebih besar kepada semua calon dan bukan hanya calon-calon tertentu untuk berkempen.

SPR harus mencari jalan untuk memudahkan kesemua pengundi untuk mengundi tidak kira di mana mereka berada dan setiap undi yang dikeluarkan harus dipastikan diambil kira.

Jangan jadikan PRN Melaka sebagai asas peningkatan Covid-19 kelak.

Negara masih belum sepenuhnya bebas daripada pandemik.

* Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya

PRN Melaka ketika pandemik


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Khairil Nizam dicabar Ahmad Fadhli untuk jawatan Ketua Pemuda PAS

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker