Lepas miliki van jenazah, Atu Zero impi mahu bina masjid

Lepas miliki van jenazah, Atu Zero impi mahu bina masjid

PELAWAK terkenal Atu Zero memanjat rasa syukur ke hadrat Ilahi selepas berjaya memiliki van yang dapat membantu dalam pengurusan jenazah masyarakat di kampung halamannya kongsinya di Instagram.

Memetik laporan Astro Gempak, van jenazah tersebut perlu menjalani beberapa pengubahsuaian yang dilengkapi dengan kemudahan tempat mandi jenazah sebelum dihantar ke Kudat, Sabah.

Atu atau nama sebenar Sharif Kuna Doli Sharif turut menzahirkan rasa gembira apabila angan-angan yang lama diimpikan menjadi kenyataan.

“Kalau saya cakap gembira, orang kata klishe pula. Tetapi itulah perasaan saya ketika ini. Saya tidak menjangkakan impian akan menjadi nyata,” katanya.

Atu turut berkongsi kos perbelanjaan yang dikeluarkan bagi merealisasikan impian itu berjumlah sekitar RM121,000 tidak termasuk harga pengubahsuaian.

“Kos tersebut untuk van sahaja, Bagi pengubahsuaian belum lagi, jadi saya tidak tahu berapa yang perlu ada. Insya-Allah saya akan usahakan dalam masa terdekat bagi menjayakan misi van jenazah buat fakir miskin,” ujarnya.

Pernah melihat van jenazah milik bapa mentua pelawak Ajak Shiro di Kluang, Johor, Atu turut mahukan van miliknya diubahsuai dengan kelengkapan sistem paip air yang sistematik bagi memudahkan urusan memandikan jenazah.

“Selepas mengambil kira saiz rumah di perkampungan sekitar Kudat yang kecil dan jauh dari kemudahan surau dan masjid, saya rasa van jenazah yang dilengkapi pelbagai peralatan dapat mengatasi masalah pengurusan jenazah,” tambah Atu yang turut mempunyai perancangan untuk meluaskan misi perkhidmatan van jenazah sehingga luar daerah Kudat seperti Sarawak.

“Semoga impian saya menjadi kenyataan. Biarlah harta saya tidak banyak di dunia, tetapi saya ada bekalan untuk dibawa ke akhirat nanti,” kata Atu kepada Gempak yang turut berkongsi mempunyai impian untuk membina masjid di Kudat.

“Niat kita mahu buat masjid juga di Kampung Pantai Bahagia akan dimudahkan,” tulisnya di kapsyen Instagram.

Atu kini aktif menyertai program realiti Maharaja Lawak Mega 2021 bersama gandingan hebat Fad dan Achey dalam kumpulan Boro setelah lama menyepi ekoran pandemik Covid-19 ini. Utv


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mahathir jawab Sultan Johor isu Pulau Batu Puteh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker