Idris sudah hilang akal, mahu UMNO dan DAP cari titik penyatuan tadbir negara bersama

Sudah tiba masanya untuk UMNO dan DAP mengenepikan sentimen chauvinisme sesama mereka serta berusaha mencari titik penyatuan bagi membolehkan kedua-dua parti itu membentuk koalisi mentadbir negara yang kukuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berkata, pada saat UMNO dilihat lemah ketika ini, beliau berpandangan parti Melayu itu memerlukan satu ‘pendekatan politik baharu dengan UMNO perlu mengubah paradigma pemikiran agar tidak berada di takuk lama’.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu turut mengemukakan contoh DAP sebenarnya sudah menepati syarat kelayakan untuk menjadi komponen UMNO bagi membentuk satu koalisi kuat bagi mentadbir negara susulan parti itu sudah mendapat sokongan utuh masyarakat Cina.



“Kalau sikap kita masih menganggap DAP chauvinis, perkauman dan ekstremis, pembentukan koalisi utuh dipimpin UMNO untuk memimpin negara tidak boleh berlaku.

“Mengapa kita tidak letakkan label chauvinisme itu ke tepi kerana DAP juga memandang UMNO sebagai parti chauvinis? Jadi senario sebegini tidak boleh berterusan.

“Maka kedua-dua parti kena cari titik penyatuan antara mereka dan kalau rakyat Malaysia masih lagi mengamalkan persepsi ekstremis, maka masa hadapan politik Malaysia tidak akan menjadi lebih baik,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium dan Skuad Rasuah Busters pada 13 Oktober lalu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi politik UMNO yang dijangka bakal bergerak solo pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka susulan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan tiada lagi kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada masa hadapan.



Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 Mac lalu, perwakilan UMNO sebulat suara menyokong keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain mengekalkan pendirian ‘No Anwar, No DAP’ bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, terdapat ura-ura UMNO berkemungkinan besar bakal mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP bagi menghadapi PRU15, namun desas-desus itu dinafikan pucuk kepimpinan parti termasuk Ahmad Zahid sendiri.

PRN Melaka kemungkinan besar akan diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 4 Oktober susulan tindakan empat ADUN blok kerajaan termasuk Idris menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Formula PAS hanya menyulitkan Umno dan Bersatu



Idris kemudiannya disahkan tergugur keahlian UMNO serta-merta bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan atas alasan cuba bekerjasama dengan DAP bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) – Perikatan Nasional (PN).

Mengulas lanjut, Idris yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menasihatkan Ahmad Zahid untuk ‘tidak malu’ untuk mengetengahkan sebarang idea baik termasuk mempertimbangkan kerjasama dengan DAP selain tidak perlu menafikan sekiranya benar.

Jelas beliau lagi, hal ini kerana pertimbangan politik baharu itu amat penting demi kebaikan UMNO sendiri meskipun memang banyak pihak tidak akan menggemari apabila mendengar perkara seperti itu.



Tambah beliau, UMNO sebenarnya perlu mendapatkan jumlah sokongan majoriti yang mencukupi untuk kembali kukuh mentadbir negara dan mengajak parti itu untuk menyelami semula peristiwa penting pembentukan BN selepas tragedi rusuhan 13 Mei 1969 dan pembentukan Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai pedoman.

“Ketika itu, sejarah manis tercipta apabila UMNO mendapat sokongan padu daripada MCA, MIC dan Gerakan yang merupakan parti serpihan DAP sehinggakan koalisi BN menjadi ikon kerjasama politik negara sehingga tahun 2008,” katanya.

Idris juga turut berpandangan UMNO sebenarnya perlu berubah sejak tahun 2008 lagi setelah BN ketika itu menerima defisit kepercayaan daripada pengundi kaum Cina dan India pada PRU12.

Jelas beliau, perubahan landskap pendekatan politik UMNO ketika itu amat penting bagi membolehkan UMNO kembali menjadi kuasa dominan yang mampu mengawal kehendak kaum Cina dan India.



“Hakikatnya, UMNO mesti dilihat kuat, barulah parti-parti lain akan kuat di negara ini. Dengan kata lain, kaum Melayu harus menjadi kuat, barulah kaum-kaum lain akan turut menjadi kuat.

“Kalau kepimpinan politik kaum Melayu itu lemah, keadaan ini tidak bagus untuk negara dengan majalah Times mendedahkan Malaysia berada di tangga kedua bagi senarai negara yang mempunyai masalah korupsi terburuk di rantau Asia Tenggara.

“Bila kedudukan politik orang Melayu dan kesungguhan politik dipamerkan kerajaan adalah kuat, maka saya yakin rasuah juga akan dapat dibanteras,” katanya.

Idris sudah hilang akal, mahu UMNO dan DAP cari titik penyatuan tadbir negara bersama




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Siapa bakal menang PRN Melaka

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker