Harta karun di Pulau Nangka hilang?

Pulau Nangka dikatakan menyimpan seribu misteri tentang harta karun.

PETALING JAYA: Kebanyakan penemuan harta karun di Pulau Nangka tidak sampai kepada Perbadanan Muzium Melaka (Per­zim) sekali gus membawa persoalan sama ada terdapat pi­hak yang tidak amanah dalam menguruskan penemuan harta karun di pulau tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sejarawan negara, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, usaha mencari harta karun di Pulau Nangka, Melaka telah dihentikan beberapa tahun lalu selepas usaha itu hanya mene­mui jalan buntu susulan tiada pene­muan baharu.

“Tidak dinafikan pada awal-awal usaha pencarian harta karun di Pulau Nangka ada hasilnya, namun kepingan duit syiling emas itu semua yang sepatutnya dibawa kepada Jabatan Muzium Melaka, tidak sampai atau senang kata, ada yang hilang.

“Usaha pencarian di pulau itu yang dibuat secara rasmi pada 2015 kemudiannya dihentikan apabila kita tidak lagi menemui sebarang harta karun.

“Kita juga harus faham, usa­ha ini memerlukan perbelanjaan besar dan kebiasaannya mendapat tajaan syarikat luar negara yang berminat dengan cari gali harta karun.

“Kini di Malaysia, kita tidak banyak tempat harta karun dan syarikat luar lebih berminat untuk mencari harta karun di negara-negara jiran,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada Mac 2015, bekas Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas berkata, segala kerja pencarian harta karun di pulau itu sudah dihentikan.

Katanya, ia berikutan kegagalan sebuah syarikat mematuhi syarat yang ditetapkan apabila merosakkan alam se­kitar pulau berkenaan selain hanya dua syiling lama sahaja yang berjaya ditemui sepanjang pencarian di pulau itu.

Selain itu, Ramlah menjelaskan, pencarian harta karun memerlukan perbelanjaan besar susulan kepakaran tempatan dalam merungkai perkara itu amat terbatas.

“Kita mempunyai kepakaran untuk pencarian harta karun yang amat terbatas selain daripada jumlah dana yang juga terbatas.

“Itu antara faktor-faktor yang perlu difikirkan sebelum kita boleh mencari tempat pencarian harta karun yang baru melainkan terdapat syarikat luar yang berminat untuk menyediakan dana,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah melakukan 10 kali pemantauan sehingga Ogos tahun ini bagi mengekang perbuatan khurafat di pulau-pulau di Melaka, termasuk Pulau Nangka.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, sekatan pergerakan penuh yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang Covid-19 turut berjaya menghalang aktiviti pencerobohan di lokasi-lokasi panas sedemikian. – UTUSAN

Harta karun di Pulau Nangka hilang?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saya tidak akan guna watikah calon PRU untuk balas dendam – Zahid

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker