Longlai tengok rumah tinggal rangka

Sebaran :

Longlai tengok rumah tinggal rangka

MARANG: “Balik tengok rumah tinggal rangka,” kata Samsuria Abdullah, 37, mangsa kebakaran rumah di Kampung Cherang Kertuk, Wakaf Tapai, di sini, malam ini.

Katanya, ketika kejadian, dia yang memiliki tiga anak berusia dua, enam dan 10 tahun serta suami, Fuad Zakaria, 39, berada di rumah adiknya di Felda Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu.

Samsuria berkata, ketika berada di rumah adik, dia menerima panggilan daripada jiran memberitahu rumahnya terbakar dan segera pulang.

“Saya hampir rebah apabila sebaik tiba mendapati rumah hanya tinggal rangka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Samsuria berkata, sebelum keluar rumah jam 6.30 petang, dia sudah menutup semua suis lampu dan tabung gas dan menjangkakan kebakaran berpunca daripada litar pintas.

Kejadian itu menyebabkan keluarga terbabit tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan dan perkakas termasuk pakaian serta peralatan persekolahan hangus membabitkan kerugian lebih RM10,000.

Jiran mangsa, Zaitun Said, 41, berkata dia terdengar bunyi letupan dan menyangkakan ia bunyi mercun sebelum anak, Muhammad Amsyar Mukhriz Mohd Rosdi, 12, memberitahu rumah terbakar.

“Ketika itu api mula membakar bahagian bimbung rumah dan segera keluar meminta bantuan penduduk menghubungi bomba.

“Saya kemudian menghubungi penghuni rumah berkenaan yang memberitahu kejadian yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Zulikifli Md Akhir, berkata pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 8.30 malam.

Berikutan itu, katanya, satu jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

“Kebakaran menyebabkan rumah kayu itu musnah seratus peratus dan kerja memadamkan api dilakukan sehingga selesai sepenuhnya jam 10 malam,” katanya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan unit forensik akan menjalankan siasatan bagi memastikan kerugian dan punca kebakaran. BH

Longlai tengok rumah tinggal rangka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bapa kudung rogol anak OKU dipenjara 15 tahun


Sebaran :

Leave a Reply