Sorok pil kuda, syabu, air ketum bawah timbunan daun kering

SEBAHAGIAN dadah yang ditemui di bawah timbunan daun kering di tepi pokok pisang berhampiran sebuah bengkel motosikal di Kampung Kelar, Pasir Mas kelmarin.

PASIR MAS – Polis berjaya menjumpai 5,000 biji pil kuda, 300 gram syabu dan satu liter air ketum yang disorokkan di bawah timbunan daun kering di tepi pokok pisang berhampiran sebuah bengkel motosikal di Kampung Kelar di sini kelmarin.

Kesemua dadah itu ditemui selepas polis menahan enam lelaki berusia 27 hingga 40 tahun dalam serbuan di kawasan berkenaan pada pukul 6 petang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, sepasukan anggota polis telah menyerbu bengkel itu sebelum mendapati empat lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di situ.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam sebuah bilik kecil di bengkel tersebut telah menjumpai satu balang kaca yang diubah suai mengandungi ketulan kecil kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Selain itu, kita turut menemui satu tiub straw berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis sama, alat-alat untuk menghisap dan membungkus bahan terlarang itu.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, dua orang lagi lelaki telah datang ke bengkel tersebut dan polis turut menahan mereka. Siasatan lanjut di belakang bengkel itu telah menjumpai pil kuda, syabu dan air ketum yang disorok di bawah timbunan daun kering di tepi pokok pisang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Nasaruddin, dalam serbuan itu, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM5,000, dua buah motosikal, dua buah kereta jenis Perodua Kelisa dan BMW.

“Ujian saringan air kencing mendapati, empat daripada enam suspek yang ditahan itu positif dadah jenis methamphetamine. Selain itu, tiga daripada mereka itu mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Adadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. -K! ONLINE.

Sorok pil kuda, syabu, air ketum bawah timbunan daun kering


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Warisan ambil tindakan undang-undang terhadap ADUN Sindumin keluar parti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker