Taubat dan DNA ajaran sesat

SELEPAS muncul Agama Melayu pada awal tahun ini, tiada angin tiada ribut tiba-tiba datang pula ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT). Terbaru, seorang anak tergamak membunuh ibu ayah sendiri selepas bertelagah hal ketuhanan dipercayai akibat terpengaruh ajaran pelik. Si anak kemudian disahkan positif dadah jenis syabu.

Ajaran sesat nampaknya terus menjadi duri dalam daging yang mampu mengancam akidah umat Islam di Malaysia. Walaupun ketua ajaran sesat ini sering membuat dakwaan tidak masuk akal seperti boleh bertemu Rasulullah secara nyata dan bercakap dengan para malaikat, masih ada individu yang mempercayainya. Malangnya, sekali terjebak, pemulihan akidah akan mengambil masa yang sangat lama. Dalam sesetengah kes di negara ini, pengikut tegar ajaran sesat amat sedikit dapat dipulihkan. Ia seakan-akan telah menjadi DNA mereka.

Dalam kes PMYT, ketuanya sudah pun membuat pengisytiharan taubat serta kembali kepada ajaran Islam sebenar baru-baru ini. Pengakuan taubat itu katanya dibuat dengan rela hati dan tanpa paksaan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, sesetengah pihak sangat skeptikal dengan taubat terbuka begini. Ini kerana sudah banyak berlaku perisytiharan taubat seperti ini sebelum ini tetapi akhirnya kembali macam biasa. Pengikut masih ramai, penghujungnya koloni terpesong terbina semula.

Suatu ketika dahulu, satu negara dikejutkan dengan ajaran ‘Kerajaan Langit’ Ayah Pin, yang disenaraikan pihak berkuasa sebagai kumpulan agama sesat. Mereka berkampung di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Terengganu.

Ayah Pin menyifatkan dirinya sebagai wakil ‘Tuhan’ bagi semua agama. Kira-kira 150 pengikutnya pula menganggap Ayah Pin sebagai Tuhan yang menerima wahyu dari langit dan segala yang dibuatnya berasaskan wahyu itu.

Walaupun Ayah Pin sudah meninggal dunia pada April 2016, DNA ‘Kerajaan Langit’ tidak hilang begitu sahaja. Pengikutnya dipercayai masih ada berdasarkan pengakuan terbuka dalam video yang tersebar di YouTube.Dalam kes Rasul Melayu, pemimpinnya telah mengisytiharkan taubat secara terbuka pada 2016 ketika menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyebarkan ajaran sesat.

Majlis istitabah itu dianjurkan Majlis Agama Islam Selangor dengan lelaki itu memohon ampun kepada ALLAH atas kedustaannya selama ini. Dia turut memohon maaf kepada Sultan Selangor selaku ketua agama Islam negeri dan seluruh umat Islam.

Namun begitu, empat tahun selepas dibebaskan dan melafaz taubat, dia sekali lagi ditahan bersama 16 pengikutnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor kerana dipercayai kembali aktif menyebarkan ajaran yang difatwakan haram pada 1991.

Satu lagi contoh klasik ialah Kumpulan Al-Arqam yang diasaskan Ashaari Muhammad. Ashaari ditangkap dan melafaz taubat pada tahun 1994. Selama 10 tahun dia ditahan termasuk tahanan rumah dan menjalani proses pemulihan bersama pengikutnya.

Walaupun Ashaari telah meninggal dunia pada 2010, fahaman Al-Arqam tersebar dipimpin pula oleh isteri Ashaari sendiri iaitu Hatijah Aam ataupun lebih dikenali sebagai Ummu Jah.

Pada 7 November 2013, Ummu Jah mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat di Kuang, Selangor kerana menghidupkan ajaran Al-Arqam yang diharamkan. Dua hari kemudian barulah Ummu Jah mengetuai 300 pengikut kumpulan itu melafazkan taubat dalam satu majlis anjuran JAIS.

Dalam Islam, apabila seseorang mengisytiharkan taubat kita hendaklah menerima seadanya. Begitulah pendapat bekas Menteri Agama, Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Pada masa sama pihak berkuasa harus mengambil langkah susulan untuk membimbing dan memulihkan bekas ketua dan pengikut ajaran terbabit. Umat Islam pula wajar mengambil tahu ciri-ciri ajaran sesat supaya tidak mudah terjebak.

Seperti kata Imam as-Shafie: “Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara, dan boleh berjalan di atas air, jangan kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Qur’an dan al-Sunnah.”

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Taubat dan DNA ajaran sesat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Projek HSR versi PN merugikan negara, Najib suarakan kebimbangan pada Kerajaan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker