Pemandu mabuk punca kereta terbabas

Pemandu mabuk punca kereta terbabas

Pemandu Proton Wira yang terbabit dalam kemalangan dekat Plaza Tol Sungai Ramal di Kilometer 23.7 Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), di sini, tengah malam tadi, dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata kereta itu dipandu wanita berusia 20 tahun bersama tiga individu lain berusia antara 18 hingga 19 tahun.

Katanya, dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, seorang penumpang wanita disahkan maut di lokasi kejadian, seorang lagi parah kepala, manakala pemandu itu dan seorang penumpang lelaki cedera ringan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa dalam perjalanan pulang ke Kajang selepas selesai makan di Puchong.

Azman berkata, ketika kejadian pemandu terbabit hilang kawalan kereta dipandu dan merempuh pembahagi jalan kiri lalu terbabas masuk kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Seorang penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan. Sampel darah juga diambil terhadap pemandu untuk analisa kimia.

“Kenderaan terbabit yang rosak di beberapa bahagian termasuk bumbung pula ditahan di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat dijangka pada Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, BH melaporkan mangsa dikenali Tan Ho Ying berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas ditemui terperangkap di bawah Proton Wira susulan kemalangan itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, dipetik berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.39 tengah malam.

Susulan itu, sepasukan anggota menaiki lapan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi kejadian. BH

Pemandu mabuk punca kereta terbabas


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Penang White Curry Noodles dipilih mee segera terbaik di Amerika

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker