Hishammuddin tegaskan Malaysia negara berdaulat, tak berpihak kuasa besar!

Sebagai negara berdaulat Malaysia tidak akan berpihak kepada mana-mana kuasa besar berhubung kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) serta China, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

“Malaysia sebagai negara yang berdaulat tidak akan berpihak kepada kuasa besar dalam isu AUKUS. Kita mempunyai pendirian kita sendiri dalam isu ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.

Hishammuddin turut memaklumkan, kerjasama pertahanan antara Malaysia dengan negara serantau khususnya ASEAN bagi mengimbangi pengaruh kuasa besar menjadi strategi penting untuk menghadapi penubuhan AUKUS.



Katanya, walaupun peranan bersama ASEAN penting dalam berhadapan situasi berkenaan, ia tidak bermakna Malaysia tidak boleh terus mendampingi AUKUS atau negara kuasa besar lain.

“Semalam saya dapat berhubung dengan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto dan beliau menyatakan betapa penting kita 10 negara (ASEAN) dapat berinteraksi secara dekat khususnya dalam perkembangan terkini, iaitu AUKUS. Tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh terus mendampingi kuasa yang terbabit.

“Kebetulan utusan khas dari Australia akan berjumpa saya hari ini dan apa yang kita lakukan melalui diplomasi ini, bukan untuk menyatakan kita ini hebat sangat, tetapi sekurang-kurangnya kita ada pendirian sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya.

Beliau menjawab celahan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang membangkitkan kebimbangannya mengenai usaha Malaysia menemui China bagi mendapatkan pandangan berkenaan AUKUS.



Hishammuddin berkata, pendirian sama juga dibuat negara ASEAN lain, iaitu mereka mempunyai hak untuk mengemukakan pendiriannya kepada mana-mana pihak termasuk kuasa besar, terutama apabila menyentuh kedudukan dan kedaulatan negaranya.

Sementara itu mengulas isu kelewatan perolehan aset pertahanan negara, Hishammuddin mengakui kelewatan yang berlaku dan memberi jaminan isu berkenaan akan diatasi sebaik mungkin.

“Saya tidak nafikan ada aset lewat dibekalkan, tapi ini tidak bermakna kita tidak boleh tuntut ganti rugi. Kita akan pastikan aset ini dapat disampaikan kepada pihak pengguna dan apa juga masalah dihadapi, diatasi sebaik mungkin,” katanya.

Hishammuddin tegaskan Malaysia negara berdaulat, tak berpihak kuasa besar!




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pencerobohan perairan negara, Duta Besar China dipanggil mengadap Wisma Putra



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker