Golongan terlarang daripada telaga Nabi Muhammad SAW

Salah satu perkara penting dalam akidah Islam mengikut neraca Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) ialah beriman dengan telaga yang dianugerahkan khusus kepada Nabi Muhammad SAW. Telaga ini merupakan jisim yang khusus, yang besar dan luas.

Umat Nabi Muhammad SAW akan mendatanginya setelah melalui titian sirat dalam keadaan haus. Menurut sebahagian ulama, mereka akan mendatanginya setelah keluar dari kubur.

Menurut riwayat dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim ada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr bin al-Ash r.a: Telagaku seluas perjalanan satu bulan. Kedua sisinya sama. Airnya lebih putih dari susu, baunya lebih wangi dari misik dan gayungnya lebih banyak dari bintang di langit. Barang siapa minum darinya seteguk sahaja, dia tidak akan lagi merasa haus selama-lamanya.

Salah seorang ulama sunnah bermazhab al-Syafie yang terkenal, Imam Abu Bakr Ahmad bin al-Husayn al-Bayhaqi (w. 458H) menafsirkan ayat al-Quran: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) telaga bernama al-Kauthar. (al-Kauthar: 1) sebagai telaga yang dimaksudkan ini di dalam kitab akidah beliau berjudul al-I’tiqad wa al-Hidayah ila Sabil al-Rashad (m/s: 273).

Namun, ada hadis sahih lainnya menjelaskan bahawa terdapat umat Nabi Muhammad SAW yang tidak akan dapat menikmati telaga ini.

Hadis itu adalah: Diperlihatkan di depanku beberapa orang dalam kalangan sahabatku. Namun ketika aku hendak mengambil air untuk mereka, mereka dijauhkan daripadaku. Maka aku bertanya:

‘Wahai Tuhan, mereka itu sahabatku.’ Lalu dikatakan kepadaku: ‘Engkau tidak tahu apakah yang mereka lakukan selepas engkau (meninggalkan mereka).

Menurut riwayat lain ada tambahan: Celakalah! Celakalah bagi orang yang mengganti (ajaranku) sesudahku. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Melalui redaksi hadis ini atau seumpamanya, datanglah anggapan bahawa orang yang tidak mengikuti hadis Rasulullah SAW (secara literal) dianggap tidak akan dapat menikmati telaga Rasulullah SAW.

Maka sebahagian mereka menuduh ulama-ulama yang bermazhab hari ini tidak cukup ‘murni’ mengikuti Rasulullah SAW. Sebabnya, mereka hanya mengikuti ulama mazhab bukan sunnah baginda SAW.

Kelompok yang suka menuduh ini sering dikenal sebagai kelompok al-Lamazhabi atau kelompok tidak bermazhab. Dalam kefahaman mereka hanya al-Quran dan hadis Rasulullah SAW sahih sahaja yang berhak diikuti. Bukan pendapat ulama mazhab seperti Hanafiah, Malikiah, Syafieiah dan Hanabilah.

Maka akhirnya menuduh orang yang beramal mengikut panduan bermazhab dalam kitab-kitab fikah bermazhab dianggap taklid buta, jumud bahkan ada yang menuduh sebagai ahli bidaah kerana masih berpegang dengan mazhab.

Hakikatnya, fitnah ini sangat keji. Jika dirujuk terperinci dalam uraian pendapat-pendapat ulama tentang hadis ini, mereka sebenarnya telah menjelaskan dengan mendalam.

Seorang ulama besar dalam ilmu hadis yang bermazhab Syafie; Imam al-Nawawi (w. 676H/1277M) pengarang Riyad al-Salihin terkenal menjelaskan ada perbezaan pendapat ulama maksud golongan yang tidak mendapatkan telaga ini:

1) Kaum munafik dan orang yang murtad, maka mereka mungkin sahaja datang dengan wajah bercahaya sebab pernah berwuduk.

Akan tetapi ketika akan diberi telaga tidak mendapatkannya kerana mereka telah menganti (ajarannya) setelah kewafatan baginda SAW, iaitu mereka tidak mati atas apa yang terzahir dari keislaman mereka.

2) Orang yang hidup di zaman Nabi SAW lalu murtad setelah kewafatan Nabi SAW.

Maka di akhirat Nabi SAW memanggil mereka walaupun tidak ada tanda wuduk berdasarkan apa yang baginda SAW tahu keislaman mereka ketika baginda masih hidup. Lalu dikhabarkan bahawa mereka telah murtad.

3) Kelompok yang melakukan maksiat dan dosa-dosa besar yang meninggal atas ketauhidan (Islam) dan kelompok ahli bidaah yang tidak keluar dari Islam oleh sebab kebidaahan mereka.

Kelompok ini menurut sepertimana yang dipegang oleh ASWJ.

Mereka masih Islam hanya sahaja mungkin diazab oleh Allah SWT lalu dimasukkan ke dalam syurga. Imam al-Nawawi menukilkan dari al-Hafiz Ibn Abd al-Barr (w. 463H/1071M) bahawa yang dimaksud dari ahli bidaah ini adalah kaum Khawarij, Syiah Rawafid dan sesama dengannya. (Sharh Muslim: 3/136-137)

Apabila ulama-ulama agung menyebutkan istilah ahli bidaah di dalam kitab-kitab mereka, bukanlah ia bermaksud umat Islam yang bermazhab atau beramal dengan amalan yang ada dasar di dalam kitab-kitab fikah yang muktabar berdasarkan hujah-hujah usul fikah seperti bacaan yasin dan tahlil.

Akan tetapi, ulama besar mazhab al-Syafie, Sultan al-Ulama’ Shaykh Izz al-Din bin Abd al-Salam (w. 660H/1262M) menjelaskan, maksud ahli bidaah adalah kelompok sesat seperti Qadariyyah, Muktazilah, Murji’ah dan Mujassimah (orang yang menjisimkan Allah SWT). (Qawaid: 2/172-174)

Maka jelas ahli bidaah bukanlah umat Islam yang bermazhab dengan mazhab muktabar. Ini kerana bermazhab itu juga mengikut perintah Allah SWT.

Kesimpulannya, apabila ulama sebut tentang ahli bidaah, maka ia bermaksud kelompok yang menyeleweng dari segi usul akidah, bukan kelompok yang beramal dari segi furuk dengan mazhab fikah yang muktabar.

Semoga kita menjadi umat yang tidak mudah membidaahkan ulama agung Islam dan majoriti umat Islam kerana mereka majoritinya bermazhab tanpa terkeluar daripada fahaman ASWJ.

Semoga kita tidak mudah menuduh bidaah amalan-amalan umat Islam yang sudah berzaman ini. Wallahu a’lam!

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM dan Felo Kehormat IKIM

Golongan terlarang daripada telaga Nabi Muhammad SAW


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Dai’ Syed Ditegur Kongsi Hadis Palsu Tentang Islamkan Orang Wajib Masuk Syurga

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker