‘Kemasinan’ Hotel Garam Di Bolivia Atas Dataran Garam Terbesar Dunia

‘Kemasinan’ Hotel Garam Di Bolivia Atas Dataran Garam Terbesar Dunia

“SAYA sering melihat segelintir pelancong menjilat permukaan dinding dan meja makan hanya untuk memastikan ia benar-benar dihasilkan daripada garam.

“Keadaan itu menyebabkan pihak hotel membuat larangan kepada pengunjung menjilat mana-mana permukaan dalam bangunan ini,” kata Pedro Pablo Michel Rocha.

Bekerja di Palacio de Sal, sebuah hotel yang dibina sepenuhnya menggunakan garam asli, lelaki itu berbangga setiap kali melihat wajah kagum pelancong yang pertama kali mengunjungi bangunan tersebut.

Terletak pada kedudukan 3,650 meter dari aras laut di dataran garam terbesar dunia, Salar de Uyuni, Bolivia, pemandangan putih yang ada pada sekeliling bangunan tersebut membuatkan ramai yang menyangka ia merupakan timbunan salji.

Bagaimanapun, ia sebuah hotel yang didirikan di tengah-tengah dataran garam yang terhasil daripada pengeringan tasik prasejarah Minchin antara 30,000 hingga 40,000 tahun lalu sebelum membentuk kerak garam yang tebal.

“Ramai yang tidak percaya ia dibina daripada garam.

“Tetapi itulah realitinya. Sama seperti nama yang dipilih, Palacio de Sa bermaksud Istana Garam, hotel kami sememangnya kelihatan tidak ubah seperti sebuah istana.

“Ia memiliki binaan dan infrastruktur unik dan sungguh menakjubkan. Bilik-bilik di sini pula menarik perhatian ramai kerana ia dibina seperti iglu menggunakan garam,” tambahnya.

PALACIO de Sal merupakan hotel garam pertama dunia yang dibina pada 1998.

Ternyata, di sebalik gelaran wilayah paling terpencil di benua Amerika Selatan, Bolivia sebenarnya mempunyai tarikan semula jadi yang mampu memberi ketenangan kepada pengunjung yang terletak kira-kira 350 kilometer dari selatan La Paz iaitu Salar de Uyuni dan Palacio de Sal.

Pertama kali menjejakkan kaki ke sini, pujian menggunung pastinya mengiringi langkah kaki pengunjung yang terpesona dengan keindahan dan infrastruktur persekitarannya.

Lebih-lebih lagi apabila terpandang binaan bangunan berbentuk heksagon (segi enam) yang diperbuat daripada garam di sepanjang jalan berlatarbelakangkan pemandangan matahari terbit dan terbenam.

Bangunan tersebut dibina daripada satu juta blok garam berketebalan lebih 35 sentimeter yang membentuk permukaan lantai, dinding, siling dan perabot, selain bilik tidur, meja, kerusi serta patung hiasan.

Dibina pada tahun 1998 oleh seorang arkitek dan pengusaha hotel iaitu Juan Quesada Valda.

Lelaki tersebut membangunkan Palacio de Sal dengan misi mahu mewujudkan sebuah hotel luar biasa menggunakan garam.

Anak kepada Quesa Valda, Lucia menceritakan bagaimana bapanya menerima cemuhan ketika memberitahu idea untuk membina hotel garam itu kepada umum.

PELANCONG mampu merasai pengalaman bermalam di Palacio de Sal dengan harga bermula AS$135 (RM565) semalam di bilik bersaiz standard.

“Anda gila? Bagaimana anda boleh membuat hotel garam?

“Tidak ada sesiapa yang akan ke sana nanti. Itulah kata-kata nista diterima bapa saya, namun dia tidak mengendahkan semua itu dan tetap meneruskan pembinaan hotel ini,” ujarnya.

Dia yang kini menguruskan hotel tersebut berkata, persepsi masyarakat sekitar terutamanya dalam kalangan kenalan rapat terhadap inisiatif bapanya itu bagaimanapun berubah selepas melihatkan keunikan yang ada pada hotel tersebut.

Bukan sekadar dilabel sebagai karya agung, Palacio de Sal juga menjadikan Bolivia terkenal di serata dunia dan menjadi tarikan baharu pelancong.

Bercerita lanjut, menurut wanita itu lagi, pada tahun 1998, bapanya yang merupakan seorang arkitek menyuarakan hasrat tersebut selepas melihat ia mempunyai potensi yang sangat besar.

Tambahan pula tidak sukar untuk membina hotel tersebut memandangkan kawasan persekitaran yang memang sudah tersedia dengan longgokan natrium klorida hasil pengeringan tasik prasejarah.

Bagaimanapun, sekitar penghujung 1990-an, hotel tersebut terpaksa dirobohkan atas faktor kebersihan sebelum dibina semula pada tahun 2007.

Bagaimanapun, menurut satu sumber, bahan untuk pembinaan hotel berkenaan masih dirahsiakan sehingga ke hari ini.

TERLETAK di dataran garam terbesar dunia, Salar de Uyuni, pelancong berpeluang menikmati percutian menyeronokkan dan luar biasa.

Mereka hanya memberitahu, Palacio de Sal didirikan menggunakan keajaiban alam semula jadi hasil daripada beberapa jenis garam iaitu natrium borat, magnesium klorida dan kalium klorida selain air.

Menurut sumber itu, 60 peratus daripada kawasan tersebut sebenarnya turut terdiri daripada litium dan Salar de Uyuni sebenarnya merupakan antara tapak pengeluar litium terbesar dunia.

Dianggarkan terdapat mineral tersebut seberat 5.4 juta tan di bawah permukaan dataran garam tersebut.

Bahan galian itu biasanya digunakan untuk membuat bateri telefon bimbit dan komputer, selain menjadi komponen utama dalam penghasilan kenderaan elektrik.

“Bapa saya melihat pembinaan hotel di tapak tersebut pada waktu itu sebagai satu-satunya cara untuk mendekatkan individu dengan alam semula jadi, selain membolehkan pelancong benar-benar menikmati percutian sebenar.

“Walaupun pengambilan garam yang berlebihan dalam diet pemakanan individu setiap hari tidak bagus untuk kesihatan, namun bahan ini mempunyai sifat penyembuhan dan meningkatkan pernafasan, emosi dan tidur seseorang.

“Pastinya percutian bermalam di sini bukan sahaja memberi kegembiraan dan pengalaman baharu buat pelancong, tetapi pada masa sama memberi kesan positif kepada kesihatan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, menurut ketua penyelenggara hotel berkenaan, Victor Castillo Laura, struktur binaan yang diperbuat sepenuhnya menggunakan garam itu menyebabkan pekerja hotel perlu mengikis bangunan itu secara berkala bagi memastikan tempat tersebut kelihatan sentiasa kemas dan cantik.

“Hotel ini mempunyai jangka hayat antara 10 hingga 15 tahun kerana hujan akan menyebabkannya terhakis dan perlu dibina semula.

“Disebabkan itu, setiap tahun kami akan melakukan penyelenggaraan bagi memastikan binaannya kekal.

“Ini kerana, hotel ini akan kehilangan sekitar 10 peratus daripada struktur asal,” jelasnya yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai kerja-kerja tersebut sejak 15 tahun lalu.

Hotel garam tersebut yang semakin popular berukuran 4,459 meter persegi dan mempunyai 21 bilik standard serta sembilan suite.

Bilik-bilik tersebut mempunyai binaan yang unik iaitu berbentuk iglu dengan dilengkapi ruang tamu, tab mandi dan ruang tidur yang cukup selesa.

Selain itu, pihak pengurusan hotel itu turut menyajikan hidangan istimewa berasaskan garam iaitu ‘pollo a la sal’ (ayam dengan penutup garam berkerak) menerusi kafe hotelnya, El Meson.

Biarpun eksklusif, namun pelancong mampu merasai pengalaman bermalam di Palacio de Sal pada harga bermula AS$135 (RM565) semalam.-The Telegraph

‘Kemasinan’ Hotel Garam Di Bolivia Atas Dataran Garam Terbesar Dunia


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Takkan saya tak berhak tahu – Najib

Wanita mengaku Nabi, dihukum mati

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker