Al-Ikhlas, Inspirasi tauhid ASWJ

Al-Ikhlas, Inspirasi tauhid ASWJ

oleh Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

BARU-BARU ini tular di media sosial berhubung polemik yang mengaitkan Surah al-Ikhlas sehingga menimbulkan pelbagai tohmahan. Sedangkan huraian yang melibatkan mana-mana ayat atau hadis berkaitan perlu dikembalikan kepada epistemologi ilmu Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) tulen. Tuntasnya, pentafsiran sesuatu ayat perlu merujuk kepada aspek bahasa, asbab nuzul, kontekstual ayat dan riwayat ma’thur daripada Nabi SAW dan sahabat RA. Selain itu, ada kaedah atau petunjuk tertentu yang membolehkan ulama mujtahid mengeluarkan hukum daripadanya.

Surah al-Ikhlas sumber inspirasi kepada tauhid sebenar Ahli Sunah Waljamaah. Ia menjelaskan konsep ketuhanan Allah yang merangkumi perbahasan hakikat zat, sifat, perbuatan dan nama Allah yang Maha Agung.

Sebelum saya merungkai perbahasan itu, suka saya nyatakan terjemahan penuh Surah al-Ikhlas bermaksud: “Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun setara dengan Dia.”

Ikrimah RA mengatakan bahawa ketika orang Yahudi berkata: “Kami menyembah Uzair anak Allah.” Dan orang Nasrani mengatakan, “Kami menyembah al-Masih putera Allah.” Dan orang Majusi mengatakan, “Kami menyembah matahari dan bulan.” Dan orang musyrik mengatakan. “Kami menyembah berhala.” Maka Allah menurunkan firman-Nya kepada Rasul-Nya: (Katakanlah: “Dialah Allah Yang Maha Esa.” Surah al-Ikhlas: 1

Yakni Dialah Tuhan Yang Satu, Yang Esa, Yang tiada tandingan-Nya, tiada pembantu-Nya, tiada lawan-Nya, tiada yang serupa dengan-Nya dan tiada setara dengan-Nya. Lafaz ini tidak boleh dikatakan secara i’sbat terhadap seseorang kecuali hanya kepada Allah SWT. Jika ia dipergunakan ke atas makhluk maka hendaklah ditanggung atas makna majazi dengan erti kata tiada sebarang persamaan atau penyerupaan sama sekali. Kesempurnaan itu hanya milik Allah Tuhan seluruh alam.

Ayat kedua dalam Surah al-Ikhlas pula menyatakan secara jelas: “Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.”

Ini kerana ‘Dia Maha Sempurna’ dalam segala sifat dan perbuatan-Nya.

Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu manakala sifat faqir atau keberhajatan itu sifat tabii makhluk yang memanifestasikan sifat kekayaan yang tidak terbatas.

Ikrimah meriwayatkan daripada lbn Abbas RA bahawa makna yang dimaksudkan ialah yang bergantung kepada-Nya semua makhluk dalam apa jua keperluan.

Ali Ibn Abi Talhah meriwayatkan daripada lbn Abbas RA bahawa makna yang dimaksudkan ialah Tuhan Yang Maha Sempurna dalam perilaku-Nya, Maha Mulia dan Maha Sempurna dalam kemuliaan-Nya, Maha Besar dan Maha Sempurna dalam kebesaran-Nya, Maha Penyantun dan Maha Sempurna dalam sifat penyantun-Nya, Maha Mengetahui dan Maha Sempurna dalam pengetahuan-Nya serta Maha Bijaksana yang Maha Sempurna dalam kebijaksanaan-Nya.

Dialah Allah Yang Maha Sempurna dalam kemuliaan dan akhlak-Nya. Hanya Dialah Allah SWT yang berhak memiliki sifat ini yang tidak layak bagi makhluk.

Tiada dapat menyamai-Nya dan tiada yang setara dengan-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Esa lagi Maha Menguasai.

Al-A’masy meriwayatkan daripada Syaqiq, daripada Abu Wa’il sehubungan dengan makna firman-Nya: “Yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Surah Al-lkhlas: 2

Tuhan yang perbuatan-Nya tiada yang menandingi-Nya. Asim RA meriwayatkan hal yang sama daripada Abu Wa’il, daripada Ibn Mas’ud.

Imam Malik meriwayatkan daripada Zaid Ibn Aslam sehubungan dengan makna firman-Nya: Yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu yakni As-Sayyid bermaksud Penguasa.

Al-Hasan dan Qatadah RA mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah Yang Kekal sesudah makhluk-Nya.

Al-Hasan RA mengatakan pula sehubungan dengan makna firman-Nya: “Yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu,” bermaksud Yang Hidup, Yang terus-menerus mengurus makhluk-Nya, Yang tidak ada kematian bagi-Nya.

Ar-Rabi’ Ibn Anas RA mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah ‘Dia’ tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Seakan-akan pendapat ini menjadikan firman berikut adalah tafsirnya, iaitu firman-Nya: “Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan.” Surah al-Ikhlas: 3

Pendapat ini adalah pendapat yang bagus kerana ditunjangi oleh sebahagian besar ulama. Dalam hadis terdahulu disebutkan satu riwayat melalui Ibn Jarir RA daripada Ubay Ibn Kaab sebuah hadis yang menerangkannya dengan jelas maksud berkenaan.

Sayyidina Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, Said Ibn Musayyab, Mujahid, Abdullah Ibn Buraidah dan Ikrimah serta Said Ibn Jubair, Ata Ibn Abu Rabah, Atiyyah al-Aufi, ad-Dahhak dan as-Saddi mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: “Yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu,” yakni tiada berjisim.

Imam Sufyan al-Thauri meriwayatkan daripada Mansur, daripada Mujahid pada firman-Nya: “Yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu” bermaksud yang Maha Kaya dan tiada segala kekurangan.

Asy-Sya’bi mengatakan makna yang dimaksudkan ialah yang tidak makan dan tidak minum.

Abdullah Ibn Buraidah mengatakan pula firman-Nya: “Yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu” iaitu (diumpamakan sebagai) cahaya yang berkilauan.

Semua pendapat di atas diriwayatkan oleh Ibn Abu Hatim, al-Baihaqi, dan at-Tabrani.

Demikian pula Imam Abu Ja’far Ibn Jarir at-Tabari membawa sebahagian besar penjelasan ayat melalui sanad-sanadnya.

Al-Hafiz Abul Qasim at-Tabrani dalam kitab sunahnya mengatakan sesudah membentangkan banyak pendapat tentang tafsir As-Samad, beliau menjelaskan semua tafsiran itu benar termasuk sifat Rabb kita iaitu yang menjadi tempat bergantung bagi segala makhluk yang berhajat. Dia menjadi tujuan bagi semua makhluk yang ada. Zatnya Maha Agung tidak menyerupai makhluk, tidak makan, tidak minum. Dia kekal sesudah semua makhluk fana.

Hal yang sama dikatakan oleh Imam al-Baihaqi.

Firman Allah SWT: “Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia.” Surah al-Ikhlas: 3-4

Maksudnya ialah Allah tidak bersifat sebagaimana makhluk manusia. Dia tidak beranak, tidak diperanakkan dan tidak mempunyai isteri atau suami. Diguna kalimah beranak bercirikan manusia kerana ia lebih dekat kepada ruang pemikiran dan persekitaran hidup manusia berbanding binatang dan lainnya. Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan: “Tiada seorang pun yang lebih sabar daripada Allah terhadap perlakuan yang menyakitkan: Sesungguhnya mereka menganggap Allah beranak, padahal Dialah yang memberi mereka rezeki dan kesejahteraan hidup.”

Imam Bukhari RHM mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu al-Yaman, telah menceritakan kepada kami Syu’aib, telah menceritakan kepada kami Abu Zanad, daripada al-A’raj, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW bersabda: “Allah SWT berfirman, ‘Anak Adam mendustakan Aku, padahal Allah tidak pernah berdusta dan anak Adam mencaci maki Aku padahal tidak layak baginya mencaci maki Allah. Adapun pendustaannya terhadap-Ku ialah ucapannya yang mengatakan bahawa Dia tidak akan mengembalikanku hidup kembali. Sebagaimana Dia menciptakanku pada permulaan, padahal penciptaan pertama itu tidaklah lebih mudah bagi-Ku daripada mengembalikannya. Dan adapun caci makinya kepada-Ku ialah ucapannya yang mengatakan bahawa Allah mempunyai anak. Padahal Aku adalah Tuhan Yang Maha Esa, yang bergantung kepada-Ku segala sesuatu, Aku tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada yang setara dengan-Ku.'”

Imam Bukhari meriwayatkan pula melalui hadis Abd Razzaq, daripada Ma’mar, daripada Hammam Ibn Munabbih, daripada Abu Hurairah secara marfu’ dengan lafaz yang sama Imam Bukhari meriwayatkan kedua-duanya secara munfarid melalui dua jalur berkenaan.

Demikianlah akhir tafsir Surah al-lkhlas, segala puji bagi Allah atas limpahan kurnia-Nya.

Saya secara peribadi menyatakan kebersamaan kepada penerangan yang diberikan oleh al Fadhil Ustaz Muhaizad al-Yamani yang mentafsirkan Surah al-Ikhlas mengikut epistemologi Ahli Sunah Waljamaah.

Beliau hanya menjelaskan persoalan yang dibangkitkan pendengar tentang wujudnya satu pendapat yang mengatakan bahawa dhamir ‘Hu’ yang memaksudkan kewujudan Nabi SAW sebagai manifestasi kewujudan dan kebesaran Allah jua. Kenyataan beliau cut and clear. Jadi ia tidak sepatutnya dijadikan polemik sebahagian penuntut ilmu yang tidak sealiran dengan Ahli Sunah Waljamaah. Apatah lagi jika hendak dijadikan mekanisme benar-salah atau sesat dan kufurnya seseorang.

Oleh itu, bersama kita menghayati ilmu tauhid menurut epistemologi Ahli Sunah Waljamaah dengan penuh ikhlas dan merujuk pentafsiran kepada ahlinya supaya kita tidak tersasar dari jalan yang benar. Bahkan berupaya mengelakkan diri daripada bersikap biadab dan ekstrem dalam menyelesaikan isu perbezaan pendapat. Wallahualam. HM

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja)

Al-Ikhlas, Inspirasi tauhid ASWJ


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Al-Ikhlas, Inspirasi tauhid ASWJ

Takkan saya tak berhak tahu – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker