Kes RM25j duit bukti SPRM hilang: Itu baru sikit – sumber

Kes RM25j duit bukti SPRM hilang: Itu baru sikit – sumber

Dikemas kini dengan beritga penuh.
Salah seorang pegawai SPRM, yang ditahan susulan kehilangan RM25 juta wang bahan bukti, disifatkan sebagai “bermasalah” tetapi rapat dengan orang ternama.

Perkara ini disifatkan oleh sumber-sumber, termasuk bekas pegawai kanan, yang mengetahui berkaitan selok-belok dalam suruhanjaya itu.



“Pegawai ini memang diketahui bermasalah,” kata satu sumber kepada Malaysiakini.

“Kami ada nickname untuk dia – penyamun anak emas.”

SPRM sebelum ini menahan tiga pegawainya selepas bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid membuat laporan bahawa sejumlah besar wang tunai yang dirampas dalam siasatan terhadapnya pada 2018 hilang.

Malaysiakini difahamkan bahawa tiga anggota SPRM yang menjadi suspek berkhidmat dalam unit siastan khas yang mengendalikan kes Hasanah.



Sumber-sumber mendakwa salah seorang daripada suspek juga disiasat dalam kes lain, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut.

Mereka mendakwa, pegawai itu “tidak boleh disentuh” susulan hubungannya dengan orang ternama.

“Ini semua baru sikit,” kata satu sumber, sambil menambah siasatan polis akan membongkar lebih banyak perkara.

“Kita dengar ada benda lain lagi (yang melibatkan suspek). Kalau polis siasat kes ini, saya percaya semua akan jadi huru-hara,” katanya.



“Ini yang akan jadi bila ada ‘anak emas’ tapi gagal pantau dan ambil tindakan (apabila mereka melanggar undang-undang),” kata sumber lain, yang merupakan pesara pegawai SPRM.

“Saya sedih bila benda macam ni berlaku. Kita berusaha untuk bina imej SPRM dengan keringat dan air mata, tetapi mereka telah mencemarkan nama SPRM,” katanya.

Bekas pegawai itu juga mengkritik SPRM kerana gagal melaporkan tuduhan kecurian itu kepada polis kerana ia berada bawah bidang kuasa pihak polis.

Dia menambah tindakan SPRM untuk menyiasat dakwaan kecurian itu sendiri menimbulkan persoalan kemungkinan ia merupakan satu percubaan untuk menutup isu tersebut.



Malaysiakini tidak mendedahkan nama ketiga-tiga suspek itu berdasarkan amalan yang sewajarnya – tidak menamakan tertuduh sehingga individu tersebut didakwa, kecuali dalam keadaan tertentu.

‘Dadah, peluru dan pistol palsu’

Khamis lalu, polis berkata mereka menahan salah seorang daripada tiga suspek untuk membantu siasatan berhubung kes berasingan bawah Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah.

Individu berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 8 (a) yang menetapkan kesalahan memiliki senjata api atau peluru, dan Seksyen 36 Akta yang sama yang menangani kesalahan yang berkaitan dengan senjata api palsu.



Menurut sumber, suspek mempunyai lesen untuk pistol tetapi didakwa didapati memiliki beberapa ratus peluru 9mm, yang melebihi jumlah yang dibenarkan.

Pengarah CID Persekutuan Abd Jalil Hassan berkata dua kertas siasatan dibuka terhadap suspek.

Mengenai RM25 juta yang hilang, katanya polis akan memanggil ketiga-tiga suspek dan Hasanah untuk disoal siasat.

Hasanah didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah (CBT) yang melibatkan RM50.4 juta milik kerajaan.



SPRM merampas wang tunai dan barang-barang lain daripadanya berkaitan dengan siasatan. Pada April, mahkamah memutuskan Hasnah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dan perbicaraan kes.

Berikutan itu, dia ke SPRM untuk menuntut wang tunai yang dirampas dan mendapati RM25 juta telah hilang.

Kes itu dibangkitkan apabila sebuah blog bernama Edisi Siasat menerbitkan sebuah artikel yang mendakwa bahawa polis takut untuk bertindak berdasarkan laporan polis Hasanah.

Bagaimanapun, polis menafikan menerima sebarang laporan mengenai dakwaan tersebut.

Pada hari yang sama, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa suruhanjaya itu telah menahan tiga pegawainya berikutan kehilangan wang tunai.

Sementara itu, dilaporkan bahawa polis sedang menyiasat Edisi Siasat kerana didakwa menyebarkan. Mkini

Kes RM25j duit bukti SPRM hilang: Itu baru sikit – sumber


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


China bertindak ‘buli’ Malaysia selepas TUDM buat latihan dengan AS

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker