Penguasa Kanan SPRM joli sakan duit RM25 juta

SHAH ALAM – Menggemparkan dan mengejutkan. Itulah dua perkataan menggambarkan pengakuan seorang penguasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keputusan Mahkamah Sesyen pada Jumaat.

Tertuduh, Shahrum Nizam Baharuddin, 41, yang sudah 17 tahun bertugas di agensi itu akhirnya mengaku bersalah menggunakan wang rampasan agensi tersebut berjumlah AS$6.94 juta.

Berikutan pengakuan tertuduh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 13 September 2021 dan sebat dua kali.



Bagaimanapun, perbuatan curang Shahrum Nizam yang pernah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang sebanyak empat kali itu ternyata telah mencalarkan imej dan integriti SPRM.

Malah, kini ramai yang mempersoalkan sejauh mana ketatnya protokol keselamatan aset-aset rampasan di bawah simpanan SPRM.

Bagi memudahkan pemahaman pembaca, Sinar Premium menyusun semula secara terperinci perjalanan kronologi kes yang menggemparkan negara ini.

ASET HASANAH DIRAMPAS



– Pada 26 Ogos 2018, tertuduh dilantik sebagai Ketua Operasi dalam Ops Dinar 2 berkaitan dengan penyiasatan ke atas bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang disyaki telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang milik Kerajaan Malaysia.

– Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan ketika itu ialah Datuk Hasanah Ab Hamid yang sebelum ini didakwa atas tuduhan pecah amanah mencecah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

– Wang rampasan tersebut kemudian telah diserahkan oleh pegawai penyiasat kepada Ketua Cawangan, Cawangan Tindakan Khas (KC CTK) untuk disimpan dalam peti besi.

– Pada 17 Disember 2018, Shahrum Nizam telah meminta KC CTK untuk menyerahkan sebahagian wang rampasan tersebut untuk pengiraan semula dan disahkan ketulenannya.



Sebanyak AS$1.9 juta daripada jumlah keseluruhan wang rampasan diserahkan kepada tertuduh bagi tujuan itu tetapi Shahrum Nizam hanya mengambil AS$800 ribu manakala bakinya diserahkan semula pada KC CTK.

Sebaik sahaja mengambil wang tersebut, Shahrum Nizam telah membawa wang AS$800 itu keluar daripada bangunan SPRM untuk ditukarkan kepada Ringgit Malaysia dengan bantuan seseorang di Kota Damansara. Hasil tukaran pada ketika itu ialah RM1.6 juta.

– Pada 9 April 2019, tertuduh sekali lagi meminta wang rampasan yang berada dalam simpanan KC CTK untuk proses pengiraan semula dan pemeriksaan keselamatan. Selepas diserahkan, Shahrum Nizam telah membawa keluar wang tersebut untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia.



– Penukaran kali kedua tersebut membabitkan wang sebanyak AS$2,470,000 yang mana hasil tukaran ialah sebanyak RM9,880,000. Tertuduh turut menyerahkan sebuah beg berwarna ungu berisi AS$4.07 juta untuk disimpan oleh kenalannya untuk dijadikan modal perniagaan.

PERBUATAN MULA TERBONGKAR

– Pada 12 APril 2021, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia, tiga tahun lalu.

– Pembebasan Hasanah menyebabkan perbuatan Shahrum Nizam mula terbongkar.



– Ini kerana pada 23 Ogos 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah memerintahkan supaya wang eksibit yang dirampas dalam kes terhadap bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM) termasuk wang US$6.94 juta tersebut dipulangkan semula kepada bahagian tersebut.

– Selepas diserahkan, pemeriksaan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) RD JPM, Mohd Yani Daud mendapati wang rampasan dalam Dolar Amerika itu diragui ketulenannya selepas mendapati ada di antara not-not wang tersebut hanya bercetak pada sebelah permukaan sahaja, mempunyai nombor siri yang sama, warna yang tidak seragam dan berkualiti rendah.

– Pada September 2021, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes dan aset Hasanah.

– Pada 4 Januari 2022, Shahrum Nizam didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah AS$6.94 juta.



BERBELANJA MEWAH

– Hasil siasatan mendapati tertuduh telah membelanjakan RM2,713,730 untuk membeli aset-aset dari tempoh 17 Disember 2018 hingga kini.

– Hasil daripada penukaran wang itu, tertuduh telah menjadikan wang eksibit tersebut untuk kegunaan sendiri dengan membeli aset-aset mewah dengan membuat 13 kali transaksi bayaran secara tunai untuk membeli sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan, Sepang.

– Tertuduh telah membeli jam tangan berjenama iaitu empat unit jam tangan jenama Hublot Big Bang, dua unit jam tangan jenama Tag Heuer dan dua unit jam tangan jenama Rolex secara tunai di sebuah kedai jam di Mid Valley City dengan nilai keseluruhan pembelian berjumlah RM397,580.

– Tertuduh juga telah membeli sebuah kenderaan jenis 4×4 jenama Ford Raptor 2.0 secara tunai berjumlah RM219,000, membeli dua bidang tanah, masing-masing seluas 2.9967 hektar bernilai RM333,220 atas nama tertuduh dan 1.244 hektar bernilai RM150,000 atas nama isterinya di Jerantut, Pahang.

– Dia juga membeli sebuah kereta jenis Honda Civic Type R 2.4L Turbo bernilai RM290,030 yang mana pembayaran dibuat secara tunai berjumlah RM265,930

– Tertuduh juga membeli sebuah motosikal Ducati 1299 Panigale R Final Edition bernilai RM278,000 dan sebuah lagi motosikal Ducati 1199 Superleggera bernilai RM300,000 yang mana pembelian motosikal itu telah dibuat dengan cara ‘trade in’ motosikal Panigale 1199R oleh tertuduh berjumlah RM110,000 manakala sebahagian lagi RM190,000 dibayar lima kali oleh tertuduh kepada kedai motosikal.

– Selain itu, tertuduh turut membeli sebuah kereta Mercedes Benz A250 Sport secara tunai bernilai RM130,000

– Tertuduh turut meminta seseorang untuk menyimpan wang tunai sebanyak RM1.4 juta (sebahagian yang telah ditukar kepada Ringgit Malaysia) sebagai `persediaan’ untuk dijadikan modal perniagaan kayu balak.

– Pada 24 September 2021 SPRM telah menyita sebuah beg bagasi mengandungi wang tunai berjumlah AS$4.07 juta di Wisma D.H.R, Kampung Tanjung Mas, Kota Bharu, Kelantan, daripada saksi sama yang diserahkan oleh tertuduh kepada saksi itu untuk disimpan bagi dijadikan modal perniagaan tertuduh kelak.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bukan isteri arwah yang kejar harta tetapi plaintif – Hakim

Kembali dalam politik, Ini jawapan Rafizi Ramli

Mengapa MUDA Sangat Mesra Dengan DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker