Isu LTTE: Exco Melaka, Adun DAP ditahan polis

Polis menahan exco Melaka G Saminathan dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seremban Jaya P Gunasekaran atas dakwaan mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Ayub Khan Mydin Pitchay mengesahkan penahanan dua pemimpin DAP itu.

Kedua-dua mereka dipercayai ditahan pagi ini.

Maklumat juga tersebar di Whatsapp bahawa Saminathan, yang juga Adun Gadek, ditahan di pejabatnya dan digari.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan perkara itu.

Sumber-sumber mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa mereka berdua ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Akta itu membenarkan penahanan selama 28 hari.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari juga dilaporkan mengesahkan terdapat exconya ditahan polis tetapi tidak menjelaskan sebab penahanan itu.

“Ada maklumat seorang exco ditahan polis Bukit Aman. Secara dasar. kerajaan negeri akan berurusan dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat punca beliau ditahan.

“Saya yakin, exco berkenaan akan memberikan kerjasama bagi membantu siasatan,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy, yang berkali-kali menafikan mempunyai hubungan dengan LTTE, berkata hanya mempunyai maklumat yang terhad berkaitan penahanan itu.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat juga NGO juga ditahan.

“Ini mungkin sebahagian daripada operasi yang lebih besar,” katanya kepada Malaysiakini.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker