Syarat baharu MM2H berisiko penyebab penghijrahan besar-besaran

Syarat baharu MM2H berisiko penyebab penghijrahan besar-besaran, kata kaji selidik

Ramai peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dijangka menarik diri daripada kekal dalam program itu di negara ini, sebaliknya akan beralih ke Thailand, jika kerajaan masih bertegas menguatkuasakan syarat baharu yang diumum pada 11 Ogos lalu.

Dalam sidang medianya, Presiden Persatuan Konsultan MM2H, Anthony Liew, turut mendedahkan kaji selidik dibuat TEG media and the Japan Club of Kuala Lumpur (JCKL), mendapati majoriti peserta MM2H tidak mencapai kriteria sekurang-kurangnya pendapatan luar pesisir mereka sebanyak RM40,000 sebulan.

Dalam kaji selidik TEG Media, sejumlah 925 responden (kebanyakan dari negara Barat), hanya 21% sahaja dilaporkan mencapai kriteria minimum pendapatan luar pesisir, manakala 44% lagi mampu memenuhi kriteria minimum deposit tetap berjumlah RM1 juta.

Hanya kira-kira 2.26% responden, berkata mereka mampu memenuhi kriteria bagi kedua-dua syarat baharu itu.

Manakala, kaji selidik membabitkan 799 pesara dari Jepun pula, lebih 90% daripada mereka tidak mampu memenuhi syarat minimum 40,000 pendapatan luar pesisir sebulan.

Dalam kaji selidik lain membabitkan 686 pemegang MM2H, mendapati 55% peserta sedia ada merancang menarik diri daripada program berkenaan sekiranya syarat baharu itu berkuatkuasa, dengan 497 daripada mereka menyatakan kesediaan berpindah ke Thailand.

Sebahagian juga dilaporkan berhasrat berpindah ke Filipina mengikut program Visa Pesara Residen Khas Filipina (SRRV), membabitkan 145 responden, dan Bali, Indonesia membabitkan 119 responden, mengikut program Visa Persaraan Indonesia (ITAS).

Terdahulu, kerajaan mengaktifkan kembali program MM2H dengan melakukan beberapa penambahan syarat baharu yang bertujuan menarik peserta berkualiti tinggi, di mana mampu menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Antara syarat berkenaan merangkumi, peserta wajib berada di negara ini sekurang-kurangnya 90 hari kumulatif dalam setahun, mempunyai pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan, berbanding hanya RM10,000 sahaja sebulan sebelum ini.

Selain itu, mereka perlu mempunyai akaun deposit tetap minimum RM1 juta, dengan 50% pengeluaran maksimum dibenarkan bagi tujuan membeli hartanah atau bagi perbelanjaan kesihatan dan pendidikan anak-anak.

Terdahulu, peserta hanya diperlukan mempunyai RM300,000 sahaja dalam deposit tetap, manakala kepada peserta berusia lebih 50 tahun, nilai berkenaan dikurangkan kepada RM150,000.

Liew mendesak kerajaan memberi pengecualian terhadap pemegang MM2H sedia ada daripada memenuhi syarat baharu terbabit. Beliau berhujah, tidak adil bagi peserta sedia ada terpaksa memenuhi syarat baharu berkenaan kerana kebanyakan mereka sudah berada di negara ini, termasuk menyumbang terhadap ekonomi.

Katanya, Jabatan Imigresen turut diminta menerima sejumlah 5,396 permohonan “backlog” yang belum diproses sebelum ini, di mana permohonan mereka tidak tertakluk kepada syarat baharu itu.

Berdasarkan unjuran semasa, pemohon terbabit dijangka menyumbang RM6.39 bilion terhadap pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Ia termasuk pendidikan anak-anak membabitkan RM121.4 juta dan pendapatan isi rumah sebanyak RM485.6 juta.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, turut berharap Kementerian Dalam Negeri campur tangan dalam syarat baharu MM2H.

“Kita tidak boleh membenarkan ketidakpastian ini berlarutan kerana banyak di antara mereka perlu melakukan keputusan segera sama ada mahu meninggalkan negara ini atau kekal,” katanya. FMT

Syarat baharu MM2H berisiko penyebab penghijrahan besar-besaran


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Biarlah Mahathir terjun dengan labu-labunya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker