Judi: Haram atau ‘halam’?

Judi: Haram atau ‘halam’?

TERINGAT satu ceramah Almarhum Ustaz Ismail Kamus yang berseloroh tentang kisah seorang agamawan yang serba salah untuk menetapkan hukum apabila dirinya ada kepentingan dengannya.

Penyoal: “Ustaz, apa hukum benda ni, halal?”

Agamawan: (Menggelengkan kepala)

Penyoal: “Haram?”

Agamawan: (Menggelengkan kepala)

Lantas agamawan itu menjawab: “Halam.” Istilah ‘halam’ yang dimaksudkan ialah hukum halal bercampur haram.

Begitu juga ada terdengar kisah seorang agamawan ditanya tentang hukum memakan sesuatu haiwan oleh orang yang membawa haiwan itu. Awalnya agamawan itu mengatakan haram. Namun, orang yang membawa haiwan itu berkata, jika ia halal, dia bercadang untuk memberinya kepada agamawan itu. Tiba-tiba agamawan itu bertukar ‘fatwa’ dengan mengatakan bahawa haiwan itu halal.

Walaupun kisah-kisah ini adalah rekaan, namun realitinya ia masih berlaku dalam kalangan agamawan kita. Sesetengah agamawan tanpa segan silu memberikan ‘fatwa’ dengan neraca emosi dan nafsu, bukan dengan neraca kebenaran. Jika ia suka dengan sesuatu golongan itu, apa sahaja yang dibuat oleh golongan itu akan disokong dengan bermacam-macam hujah dan dalil, walaupun apa yang dilakukan golongan itu masih wajar dipersoalkan.

Jika ia benci dengan sesuatu golongan itu, apa sahaja yang dibuat oleh golongan itu akan
dibantah dengan bermacam-macam hujah dan dalil, walaupun apa yang dilakukan golongan itu adalah suatu kebaikan. Kedua-dua situasi ini banyak berlaku, lebih-lebih lagi dalam politik.

Judi: Di mana kewajarannya?

Menjawab soalan bertulis di Parlimen, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz
mengesahkan bahawa kerajaan telah meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali pada tahun 2021.

Ini merupakan peningkatan 175 peratus berbanding lapan kali pada tahun 2020. Kegilaan
apakah ini? Mana maruah sebuah kerajaan yang dicanang-canang sebagai kerajaan ‘Melayu Islam’? Sewajarnya cabutan khas judi ini diturunkan bahkan perlu dihentikan terus.

Semua maklum akan banyaknya keburukan dan bahaya judi, namun kerajaan pula janganlah menjadi penggalak kepada aktiviti ini yang boleh menambah buruk masalah sosial dalam masyarakat. Kesan buruk ketagihan judi boleh menyebabkan berlakunya pelbagai masalah sosial seperti krisis kewangan, konflik rumah tangga, banyak berhutang, kes curi, pergaduhan, penipuan, kecederaan dan lain-lain.

Kita tidak mahu dengar dalil menjadi dalih ‘halamnya’ judi ini. “Itu hal kementerian lain.” “Itu sumber pendapatan kerajaan.”
Keburukannya sudah jelas, dalil haramnya pun jelas sejelas-jelasnya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan.

Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Maaidah: 90) Untuk menjadi sebuah negara yang berjaya, elemen yang memberikan kesan buruk dan kerosakan kepada masyarakat seperti judi mestilah dijauhkan. Apabila judi dijauhkan, masalah sosial akan berkurangan, sekali gus pembangunan negara dapat ditingkatkan.

Ya, kerajaan boleh menjana pendapatan ratusan juta ringgit setahun melalui cabutan khas nombor ramalan ini. Namun, kerajaan juga bakal kehilangan lebih banyak pendapatan hingga berbilion ringgit setahun hanya untuk menyelesaikan pelbagai masalah sosial masyarakat yang sudah sedia membarah.

Ya, judi jadi salah satu sumber pendapatan kerajaan. Namun, kerajaan juga akan kehilangan lebih banyak pendapatan akibat kehilangan lebih banyak sumber utama pembangunan negara iaitu rakyat, yang terlibat dengan pelbagai masalah sosial. Justeru, saya mengharapkan agar Kementerian Kewangan menimbang semula keputusan ini dengan sewajarnya. Keprihatinan dan ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menangani isu ini juga amat diharapkan.

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Judi: Haram atau ‘halam’?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis siasat LHDN selepas Najib dakwa salah guna kuasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker