Hukum Menelan Kahak, Hingus Dan Sisa Makanan Ketika Solat

Hukum Menelan Kahak, Hingus Dan Sisa Makanan Ketika Solat

Ada ramai yang berpendapat menelan kahak ketika solat adalah membatalkan solat kerana dikira makan yang termasuk dalam perkara membatalkan solat. Namun, terdapat juga pendapat segelintir ulama yang berbeza dengan menyatakannya tidak membatalkan solat.

Begitu juga dengan perihal hingus bagi orang yang selsema. Ada yang kata batal solat jika ditelan, malah tidak kurang juga yang mengatakan tidak. Oleh itu, untuk mendapat penerangan yang jelas, Pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar telah memberi pendapat berdasarkan kepada mazhab imam yang kita pegangi, iaitu Imam Syafie.

Menurut Dr. Ahmad Wifaq, beliau tidak menafikan ada perselisihan pendapat di kalangan beberapa imam dan ulama terdahulu tentang keadaan menelan kahak dalam solat.

Namun jika menyatakan menelan kahak dikira makan ketika solat, itu tidak benar sama sekali. Ini kerana menurut As Syeikh Ibnu ‘Utsaimin dalam Liqa al-Bab al-Maftuh 17/116,

“Kahak suci tapi bukanlah makanan dan minuman, tidak pula semakna dengan keduanya. Maka apabila seseorang yang solat menelannya, maka solat tersebut tetaplah sah.

Tetapi sebelum menelannya terlebih dahulu kahak itu perlu diludahkan atau dikeluarkan di sapu tangan dan semacamnya. Menurut kebiasaan, menelan kahak merupakan sesuatu perbuatan yang menjijikkan dan yang disyariatkan adalah seseorang mengeluarkannya di sapu tangan dan tidak menelannya,”

Walaupun ulama berselisih pendapat mengenainya, namun Dr. Ahmad Wifaq memberitahu pandangan imam Syafie perlu diambil kira, kerana pandangannya sangat jelas dengan meletakkan hukum menelan kahak ketika sedang bersolat dalam dua keadaan.

Keadaan yang pertama ialah, tidak membatalkan solat itu jika kahak hasil daripada batuk, berdehem atau perbuatan lain yang tidak sengaja dilakukan, selagi mana ia belum sampai ke anggota mulut iaitu masih berada pada had tekak si pelaku. Ini kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Jadi, menelannya tidak akan membatalkan solat.

Manakala situasi kedua, kahak tersebut telah berada di mulut, maka menelannya adalah akan membatalkan solat. Begitu juga keadaannya dengan aliran hingus yang keluar kalau kita selsema, jika disedutnya, hingus tersebut masuk ke kerongkong dan ditelan, tidak membatalkan solat.

Tetapi, jika hingus yang disedut itu melalui kerongkong dan naik di mulut, maka menelannya adalah membatalkan solat. Jadi, untuk mengelak daripada batalnya solat, eloklah kiranya di sapu sahaja hingus yang melelah tersebut.

Adab Meludah

Jika menelannya batal, ada pula yang bertanya, jika tidak ditelan, jadi apa yang perlu dilakukan terhadap kahak dan hingus yang berada di alam mulut seseorang itu?

Dr. Ahmad Wifaq menerangkan, kahak tersebut haruslah dibuang atau diludah keluar dari mulut. Namun untuk berbuat demikian, ianya haruslah mengikut adab-adab yang diajarkan oleh junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w.

Terdapat satu hadis yang menerangkan tentang adab meludah kahak, iaitu dalam riwayat Bukhari, dari Anas bin Malik r.a. bahawa Nabi s.a.w melihat ada kahak di dinding kiblat, beliau lalu merasa jengkel hingga nampak tersirat pada wajahnya. Kemudian beliau menggosoknya dengan tangannya seraya bersabda

“Jika seseorang dari kalian berdiri solat sesungguhnya dia sedang berhadapan dengan Rabbnya, atau sesungguhnya Rabbnya berada antara dia dan kiblat, maka janganlah dia meludah ke arah kiblat, tetapi lakukan ke arah kirinya atau di bawah kakinya (kiri).” Kemudian Nabi s.a.w memegang tepi kainnya dan meludah di dalamnya, setelah itu beliau membalikkan posisi kainnya lalu berkata, “atau boleh melakukan seperti ini.”

Justeru, Dr. Ahmad Wifaq berpendapat, berdasarkan hadis tersebut, Nabi kita mengajar meludah ke kiri atau di bawah kakinya adalah kerana pada zaman dahulu, nabi dan para sahabat solat di atas tanah.

Ia berbeza dengan keadaan kita pada hari ini. Ketika solat di masjid, untuk meludah seperti itu, ia akan mengganggu para jemaah yang lain. Jadi apa yang harus dilakukan menurut pandangan ulama ialah sediakan tisu atau sapu tangan, lapkan hingus atau ludahkan kahak, kemudian masukkan kembali ke dalam poket baju atau seluar.

Namun, jika tidak ada sebarang tisu atau sapu tangan, jemaah boleh lapkan sisa kahak dan hingus yang keluar pada baju. Ianya tidak akan membatalkan solat kerana kahak atau hingus bukanlah najis.

Bagaimana Jika Puasa

Dalam keadaan yang lain, ada juga persoalan di kalangan masyarakat ketika kita sedang menjalani ibadah puasa, kita tidak disarankan untuk meludah dengan kadar yang kerap, justeru bolehkah ditelan air liur yang kerap keluar di dalam mulut? Tidakkah perbuatan tersebut boleh membatalkan solat?

Jadi, Dr. Ahmad Wifaq berkata, kerap menelan air liur juga tidak membatalkan puasa, tetapi jika seseorang itu sengaja mengumpul air liurnya di dalam mulut, kemudian menelannya, perbuatan tersebut boleh membatalkan puasa. Ini kerana, ianya dikira meminum segelas kecil air.

Selain itu, hukum menelan sisa makanan ketika berpuasa dan menjalani ibadah solat juga adalah termasuk dalam permasalahan yang popular di kalangan masyarakat. Oleh itu, Dr. Ahmad Wifaq menerangkan, jika sisa makanan yang terdapat di dalam mulut itu terlalu sedikit, menurut jumhur ulamak perbuatan menelannya adalah tidak membatalkan puasa dan solat.

Sikit itu bermaksud sisa makanan seperti serpihan biji cili yang sukar untuk dipisahkan dari air liur dan diludah, maka disepakati oleh ulama bahawa ia tidak membatalkan puasa dan solat jika tertelannya. Hukumnya sama seperti menelan air liur sendiri yang sukar untuk dielakkan.

Aka tetapi jika sisa makanan itu banyak, boleh dipisahkan dari air liur dan diludahkan, maka jika diludahkan tidaklah membatalkan puasa dan solat. Jika ditelan pula, batallah puasa mengikut jumhur ulama.

Menurut mazhab Abu Hanifah, batal puasa jika kadarnya melebihi sebiji kacang. Jika kurang daripadanya, menelan sisa makanan tersebut tidaklah membatalkan puasa, namun makruh sahaja.”

Berbalik kepada persoalan makan dalam solat sehingga membatalkannya, menurut ulamak, makan yang dimaksudkan adalah sengaja makan makanan yang menjadi pilihan manusia.

Adapun begitu, ada juga pendapat yang menyatakan makan sesuatu yang bukan makanan, boleh membatalkan solat dengan dua keadaan. Pertama, Dr. Ahmad Wifaq memberi contoh seseorang itu memakan sesuatu yang keras dan sekadar meletakkan di mulut, benda tersebut tidak berubah menjadi hancur dan berperisa dan sebagainya, maka tidak membatalkan solat. Sebagai contoh, memakan pen atau meletakkannya di mulut ketika sedang bersolat.

Namun begitu, jika benda yang bukan makanan manusia itu lembut, seperti tisu contohnya, dimakan dan dikunyah hingga lumat tisu tersebut, perkara tersebut jelas telah membatalkan solat.

Kita harus berhati-hati dalam perkara yang membatalkan solat dan puasa. Ini kerana kadang-kadang perkara kecil seperti menelan kahak ini tidak dititik beratkan sehingga menghilangkan kesempurnaan solat kita. Sebagai seorang hamba yang beriman, untuk mengetahui semua perkara tersebut adalah dengan ilmu. Wallahu a’lam. Utv

Hukum Menelan Kahak, Hingus Dan Sisa Makanan Ketika Solat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis siasat LHDN selepas Najib dakwa salah guna kuasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker