Pendirian Azalina gambaran hubungan MP kerajaan belum utuh

Pendirian Azalina gambaran hubungan MP kerajaan belum utuh. Tindakan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan usul persendirian meminta agar Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin, dilihat memberi gambaran negatif kepada blok kerajaan bahawa hubungan antara ahli-ahli Parlimen mereka masih tidak harmoni.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, selaku salah seorang ahli Parlimen blok kerajaan, Azalina seharusnya boleh mengadakan rundingan dahulu dengan pihak kerajaan bagi membolehkan usul persendirian dikemukakannya itu, dijadikan usul kerajaan.

Sebagai bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohammad Tawfik turut berpendapat Azalina sepatutnya lebih memahami prosedur atau kaedah mengemukakan usul di Dewan Rakyat dengan tidak menunjukkan sikap seolah-olah beliau merupakan seorang ahli Parlimen pembangkang.



“Tindak-tanduk Azalina itu juga menunjukkan beliau seolah-olah cakap tidak serupa bikin kerana sepanjang lebih 20 tahun tempoh beliau menjadi ahli Parlimen kerajaan sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang itu langsung tidak membangkitkan kepentingan penggubalan RUU Anti Lompat Parti.

“Agenda Azalina itu juga menggambarkan isu keretakan hubungan politik dalam UMNO dan kerajaan masih belum diselesaikan sepenuhnya dengan beliau seolah-olah cuba menunjukkan kepada rakyat bahawa suara pemimpin UMNO yang tidak mendapat tempat dalam kabinet kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob cuba diketepikan,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian Azalina meminta agar rang undang-undang antilompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.

Melalui ucapan perbahasan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, akta berkenaan perlu diwujudkan dengan segera kerana amalan parti bukan saja tidak adil kepada rakyat tetapi juga terhadap parti politik yang telah berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika PRU.



Berikutan itu, beliau mengemukakan satu usul persendirian bagi meminta ‘tolong’ Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi laluan ‘fast track’ kepada RUU Pemecatan Ahli Parlimen Lompat Parti (Recall Election) untuk didebatkan dan diambil alih oleh kerajaan sebagai asas kepada Akta Antilompat Parti dan Pemecataan Ahli Parlimen 2021.

AZALINA
AZALINA

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik tidak menolak kemungkinan ucapan Azalina dalam Dewan Rakyat pada Rabu seolah-olah satu luahan kekecewaan beliau susulan namanya digugurkan daripada senarai pelantikan Jemaah Kabinet baharu kerajaan dipimpin Ismail Sabri.

Jelasnya, hal ini disebabkan beliau sebelum ini disebut-sebut bakal dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) baharu sehinggakan bertindak meletak jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Saya tidak menolak kemungkinan pendirian Azalina juga mungkin satu isyarat luahan kekecewaan beliau kepada kerajaan baharu kerana nama beliau disebut-sebut bakal jadi menteri undang-undang tetapi akhirnya tidak diangkat.



“Tetapi tindak-tanduk sebegitu, sekiranya benar, tidak wajar berlaku pada saat kerajaan sudah berjaya memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan pembangkang bagi meredakan suhu politik negara,” katanya.

Disebabkan itu, Mohammad Tawfik mencadangkan Perdana Menteri untuk bertindak lebih tegas dengan meletakkan agenda perbincangan berkala dengan semua ahli Parlimen kerajaan, termasuk mereka tidak berjawatan dalam kabinet sebagai satu keutamaan dalam memastikan blok kerajaan terus harmoni.

“Sekiranya kerajaan tidak harmoni, bagaimana Ismail Sabri hendak memastikan perjanjian perdamaian dengan pembangkang dapat dipelihara? Memandangkan tindak-tanduk Azalina mencerminkan bibit perpecahan UMNO masih timbul, Ismail Sabri perlu berjumpa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Cadangan ‘fast track’ usul persendirian Azalina juga secara tidak langsung menggambarkan fungsi Ketua Whip blok kerajaan tidak efisien dan lemah. Ini juga satu situasi tidak bagus pada saat hubungan parti-parti dalam kerajaan masih belum pulih sepenuhnya susulan jatuhnya kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.



DR HAMIDIN
DR HAMIDIN

 

Dalam pada itu, Felo Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abdul Hamid berpandangan pendirian terkini Azalina yang mengemukakan usul persendirian walaupun beliau merupakan ahli Parlimen blok kerajaan menunjukkan terdapat permasalahan dalam konteks kepimpinan parti-parti kerajaan.

Ujarnya, usul persendirian dikemukakan Azalina juga memberi gambaran kepimpinan UMNO seolah-olah tidak boleh ‘mengawal’ Azalina dalam menyuarakan pandangan dengan bekas Menteri Pelancongan itu sepatutnya memurnikan cadangan usul persendirian berkenaan dengan partinya terlebih dahulu.

“Saya rasa isu Azalina ini lebih kepada masalah keseragaman pandangan antara ahli-ahli Parlimen blok kerajaan dengan semua pemimpin blok kerajaan sepatutnya mempunyai persefahaman lebih utuh.



“Saya juga berpendapat sepatutnya Azalina tidak perlu bawa usul ‘fast track’ pembentangan RUU Akta Anti Lompat Parti dan Pemecatan Ahli Parlimen 2021 dalam Dewan Rakyat, sebaliknya beliau boleh bawa kepada satu jawatankuasa khas yang bakal bertanggungjawab melaksanakan akta berkenaan.

“Bagi mengelakkan isu Azalina ini berterusan, saya fikir kelab penyokong kerajaan yang kini dipengerusikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman perlu memainkan peranan lebih besar bagi mengharmonikan hubungan sesama ahli Parlimen kerajaan,” katanya.

Pendirian Azalina gambaran hubungan MP kerajaan belum utuh


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:



MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mukhriz ‘bengang’ jawatan pengerusi MPN tidak dapat pada Mahathir

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker