Pembaharuan Ismail akan menyuburkan demokrasi

Pembaharuan Ismail akan menyuburkan demokrasi. TANGGAL 10 September lalu merupakan detik bersejarah negara, malah signifikan bagi menyuburkan lagi semangat demokrasi. Pada hari Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kabinet bersetuju melaksanakan pembaharuan Parlimen dan pentadbiran.

Senarai beliau umumkan itu termasuk tujuh pembaharuan yang akan dilaksanakan. Perdana Menteri menyebut komitmen itu bagi mengembalikan kestabilan politik negara untuk menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Tujuh pembaharuan itu adalah pembentangan undang-undang antilompat parti, penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, setiap rang undang-undang termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen dirunding dan dipersetujui secara bersama, ahli parti pembangkang dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan setara dengan seorang menteri.

Tujuh pembaharuan diumumkan Ismail Sabri itu hampir sama dengan cadangan rangka persefahaman rentas parti yang diumum bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos, beberapa hari sebelum beliau meletakkan jawatan. Bagaimanapun ketika itu tawaran Muhyiddin itu ditolak banyak pihak terutama pembangkang. Ketika itu, pengkritik berpendapat janji ditawarkan Muhyiddin itu sebahagiannya berasal daripada tawaran dibuat Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.Lembaran baharu

Sehari selepas pengumuman itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memaklumkan gabungan itu cenderung untuk mempersetujui memorandum persefahaman dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri. PH berkata memorandum persefahaman ini adalah susulan kepada pertemuan yang telah diadakan antara pimpinan tertingginya dengan Ismail Sabri pada 25 Ogos lalu. Langkah diambil Ismail Sabri akan membuka lembaran baharu dalam sistem politik demokrasi di bawah kepimpinan beliau. Apabila dilaksanakan, ia akan memberi wajah baharu kepada kita dalam memenuhi kehendak dan kemahuan rakyat.

Tujuh perkara yang digariskan telah lama diharapkan oleh rakyat semua peringkat dalam menyuburkan demokrasi. Cuma ia tidak dapat dilaksanakan atas pelbagai sebab, antara perbezaan pendirian dan ideologi politik sepanjang enam dekad lalu. Bagaimanapun, mengambil kira perkembangan pada hari ini dalam kesemua jurusan, saya yakin ia dapat dilaksanakan dengan kondusif dan secara menyeluruh pada hari ini.

Dalam surat terbuka kepada ahli-ahli Parlimen, pasukan Rasuah Busters menekankan bahawa mereka yakin sinergi kepimpinan negara bersama kepakaran dan pengalaman rakan gabungan #RasuahBusters yang sekian lama membawa inisiatif reformasi struktur negara adalah suatu kelebihan. Perbincangan aspek kajian, maklum balas awam dan komunikasi membabitkan semua pihak diharap akan membuahkan hasil yang bermanfaat demi rakyat dan negara. Surat itu turut ditandatangani enam pertubuhan bukan kerajaan iaitu Bersih 2.0, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Center to Combat Corruption & Cronyism, Transparency International Malaysia (TI-M), Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) dan Undi 18.

Pada masa sama, mantan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman juga meletakkan hasrat membawa pembaharuan dalam pelaksanaan demokrasi dengan mengemukakan idea berkenaan undang-undang lompat parti.

Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 tiga tahun lalu, banyak pihak bercakap mengenai keperluan reformasi sistem dan institusi yang saya percaya ia bertujuan memperkukuhkan sistem diamalkan sekarang.

Ini bermakna wujud keperluan untuk mengadakan pembaharuan menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negara. Saya yakin bahawa kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri akan melakukan pembaharuan yang beliau umumkan.

* Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim ialah peguambela & peguamcara Tetuan Ganesan & Irmohizam dan Profesor Pelawat Universiti Huaqiao, China

Pembaharuan Ismail akan menyuburkan demokrasi


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Najib cadang skim i-Survive RM5,000, i-Citra RM10,000

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker