Bahasa Melayu, jawi sebati dengan Pei Lin

‘DOK rok cetong’ dan ‘guana gamok’ adalah antara perkataan yang tidak terdapat dalam kamus utama bahasa Melayu tetapi mesra ditutur Dekan Fakulti Farmasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Lua Pei Lin, 46.

Anak jati Kampung Batu Enam di Kuala Nerus, Terengganu itu bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, malah langsung tidak kekok berkomunikasi menggunakan dialek Terengganu dalam rutin harian sama ada di kampus atau di luar.

Pei Lin yang merupakan generasi kelima Cina Peranakan di pantai timur turut berkemahiran membaca dan menulis jawi. Ia dipelajarinya sejak di bangku sekolah rendah.

Di sebalik kelebihan dimiliki, hakikatnya wanita Tionghoa itu tidak tahu bercakap, membaca mahu pun menulis dalam bahasa Mandarin. Ini kerana pertuturan di rumah menggunakan bahasa ibunda iaitu Hokkien.

Jadi, usah terkejut jika melihat dia berkomunikasi dalam bahasa Melayu walaupun dengan individu sebangsa.

“Saya bangga kerana fasih bercakap dalam bahasa Melayu di samping boleh membaca dan menulis jawi, tidak semestinya orang Cina perlu pandai bercakap Cina sahaja bukan?

“Kalau saya bercakap dialek Terengganu yang totok di telefon, ramai terkejut dan kebiasaannya akan bertanya kembali adakah saya orang Cina atau Melayu. Sehingga kini situasi itu masih berlaku,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagi Pei Lin, kefasihannya berbahasa Melayu itu bukan sesuatu yang asing kerana kebanyakan Cina Peranakan berasimilasi dan beradaptasi dengan budaya penduduk tempatan.

Katanya, selain bahasa, mereka turut mengamalkan cara hidup, makanan di samping tradisi berpakaian orang Melayu, yang berbeza hanyalah agama.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, bahasa kebangsaan terus subur dalam keluarganya kerana bapanya, Lua Chee Chiang merupakan pesara guru bahasa Melayu yang mengajar di sekolah kebangsaan.

Malah, dia turut mendapat pendidikan di sekolah kebangsaan bermula dari peringkat rendah hingga menengah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman I dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di Kuala Terengganu.

“Walaupun berbeza bangsa tetapi cara hidup orang Melayu sudah sebati dengan keluarga saya.

“Sejak kecil saya membaca surat khabar dan buku-buku bahasa Melayu, malah kami sekeluarga merupakan peminat filem Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di samping gemar menonton drama-drama Melayu di televisyen,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pei Lin, keluarganya juga memberi sokongan padu apabila dia perlu mengikuti pembelajaran jawi selama dua tahun ketika menuntut di tahun tiga dan empat.

Katanya, jawi adalah tulisan yang berseni dan sangat bermanfaat untuk dipelajari terutama bagi mereka yang tinggal dalam persekitaran masyarakat Melayu.

DR. LUA Pei Lin juga selesa berkomunikasi menggunakan dialek Terengganu dalam rutin seharian sama ada di kampus atau di luar.

Bahasa Hokkien pupus ditelan zaman?

WALAUPUN bahasa ibundanya cuma dalam Hokkien, Pei Lin bagaimanapun terkilan kerana dialek itu seolah-olah dipinggirkan di era ini.

Katanya, dominasi bahasa Mandarin di seluruh negara menyebabkan penggunaan bahasa Hokkien tidak lagi diperlukan, hinggakan tidak mampu dituturkan dalam kalangan generasi muda.

“Bukan salah generasi muda kerana mereka lahir dan membesar di zaman penguasaan bahasa Mandarin.

“Cuma saya berharap ada inisiatif daripada persatuan Hokkien untuk menyuburkan pembelajaran bahasa itu terutama kepada belia,” katanya.

Pei Lin berkata, langkah awal yang diambil pihak tertentu sekurang-kurangnya mampu menyelamatkan bahasa Hokkien agar tidak hilang ditelan zaman.

Katanya, sekali pun tidak lagi menjadi bahasa lingua franca masyarakat Cina, namun tiada salahnya Hokkien dipertahankan sebagai legasi.

BIODATA PROF. DR. LUA PEI LIN
* Umur: 46 tahun
* Asal : Terengganu
* Kerjaya : Dekan Fakulti Farmasi, UniSZA

Tahap pendidikan:
* Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom
* Maktab Sains Mara (MSM) Kuala Lumpur, Cheras
* SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu
* SK Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu

Bahasa Melayu, jawi sebati dengan Pei Lin


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buka sekolah: KPM perlu tumpu tiga aspek – i-Guru

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker