Kementerian cadang tambah 5,000 CCTV jadikan KL bandar raya beli belah selamat, kata Annuar

Bagi menjadikan ibu negara sebagai sebuah bandar yang lebih selamat dan kondusif untuk membeli-belah, Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menambah sehingga 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik.

Menteri berkenaan Annuar Musa berkata, pihaknya meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalin kerjasama dengan pihak swasta, terutama pemaju dalam pemasangan kamera terbabit.

“(Kita) mungkin memasukkan syarat, antara lain, memasang kamera keselamatan bukan hanya dalam bangunan, tetapi persekitaran bangunan untuk menyokong usaha kerajaan menambah pemasangan kamera litar dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jualan Mega dan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat kebangsaan yang dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Suria KLCC di sini, hari ini.



Annuar berkata, ketika ini, hanya beberapa ratus CCTV beroperasi di kawasan strategik di ibu negara dengan kerjasama polis.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Ketua Polis Kuala Lumpur mengenai langkah bersama yang perlu diambil bagi memastikan tahap keselamatan di ibu negara lebih terjamin.

“Segala usaha akan terus kita lakukan untuk menjaga, terutamanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai pusat membeli-belah yang utama dalam negara kita.

“Sudah tentu Kuala Lumpur perlu mempersiapkan diri untuk menjadi sebuah bandar yang lebih kondusif kepada pelancong serta peniaga… (lokasi) lebih selamat dan menarik,” katanya. Bernama



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker