PM Taliban, dua timbalan bukan ‘calang-calang orang’

PM Taliban, dua timbalan bukan ‘calang-calang orang’. MULLAH Mohammad Hassan Akhund yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Menteri Luar Taliban ketika pergerakan itu memerintah Afghanistan dari tahun 1996 hingga 2001 telah diumumkan sebagai Perdana Menteri sementara negara itu pada Selasa lalu.

Beliau sudah berada dalam senarai sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana peranannya dalam kerajaan Taliban sebelum ini yang memerintah negara tersebut sebelum disingkirkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) dan sekutu-sekutunya.

Mohammad Hassan yang berumur dalam lingkungan 60an atau lebih tua merupakan ketua majlis kepimpinan yang paling berpengaruh dalam Taliban dan dikenali sebagai Rehbari Shura serta mempunyai peranan untuk menyatakan ‘ya’ berhubung isu-isu ketenteraan pergerakan tersebut.

Beliau juga merupakan antara empat lelaki yang mengasaskan Taliban pada tahun 1994.

Menurut laporan PBB, beliau dianggap sebagai penasihat politik dan pembantu rapat kepada pemimpin pertama pergerakan tersebut, Mullah Mohammad Omar yang meninggal dunia dipercayai di Pakistan pada tahun 2013.

Sebelum itu, seorang anggota suruhanjaya kebudayaan pergerakan itu menyatakan pada awal bulan ini bahawa pemimpin agung pergerakan tersebut, Mullah Haibatullah Akhundzada akan menjadi ketua kerajaan baharu Afghanistan.

Terdapat juga spekulasi bahawa pengasas bersama Taliban dan timbalan ketua pergerakan tersebut, Abdul Ghani Baradar akan dipilih bagi mengetuai kerajaan sementara negara itu berdasarkan sumber-sumber pergerakan tersebut.

Bagaimanapun, Abdul Ghani yang mengetuai pejabat politik pergerakan di Doha, Qatar akhirnya dilantik memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri manakala seorang anggota pejabat politik Taliban di Doha, Abdul Salam Hanafi turut dipilih bagi menjadi seorang lagi Timbalan Perdana Menteri.

Abdul Ghani dikenali di peringkat antarabangsa kerana mewakili Taliban dalam rundingan damai pergerakan itu selepas beliau dibebaskan dari sebuah penjara di Pakistan pada tahun 2018.

Pembebasannya dikatakan dibuat atas permintaan pihak pentadbiran Presiden AS ketika itu Donald Trump yang mahu mengadakan rundingan damai dengan pergerakan Islam tersebut.

Taliban berjaya menguasai Kabul yang menandakan ia turut menguasai Afghanistan pada bulan lalu semasa tentera Amerika Syarikat dalam proses menarik balik askar-askarnya dari negara itu. - Foto AFP
Taliban berjaya menguasai Kabul yang menandakan ia turut menguasai Afghanistan pada bulan lalu semasa tentera Amerika Syarikat dalam proses menarik balik askar-askarnya dari negara itu. – Foto AFP

Abdul Ghani jugalah yang mewakili Taliban bagi menandatangani perjanjian Doha dengan AS sekali gus membuka jalan kepada pengunduran askar-askar Uncle Sam dari Afghanistan pada Ogos lalu.

Seperti kebanyakan pemimpin Afghanistan lain, beliau turut bertempur dengan tentera Kesatuan Soviet yang kini dikenali sebagai Rusia sebagai seorang mujahidin sehingga membawa kepada pengunduran askar-askar komunis itu pada tahun 1989.

Perang saudara pula berlaku selepas itu ekoran kumpulan-kumpulan mujahidin yang berperang sesama mereka bagi menguasai wilayah-wilayah di negara tersebut menyebabkan beliau berpindah ke Kandahar dan menubuhkan sekolah agama bersama Mohammad Omar.

Abdul Ghani yang berumur dalam lingkungan 50an kemudian menjadi pengasas bersama Taliban yang membawa maksud dalam bahasa Melayu sebagai para pelajar sekolah agama.

Beliau bersama anggota-anggota pergerakan itu kemudian berperang dengan tentera kerajaan sehingga berjaya menawan Kabul pada tahun 1996 dan mewujudkan pemerintahan Islam tetapi Abdul Ghani tidak menyertai pentadbiran Taliban dan tinggal di Kandadar.

Abdul Ghani ialah salah seorang pemimpin utama pergerakan tersebut yang berperang menentang askar-askar Amerika dan sekutu-sekutunya serta kerajaan yang disokong Barat ketika tentera AS menceroboh Afghanistan bagi menyingkirkan Taliban kerana didakwa memberi perlindungan kepada kumpulan Al-Qaeda,.

Beliau yang terkenal kerana mempunyai kemahiran berunding sebelum ini ditangkap oleh oleh pihak berkuasa Pakistan di bandar pelabuhan Karachi pada tahun 2010 selepas menyelamatkan diri ke Pakistan ekoran tentera AS dan sekutu-sekutunya melancarkan perang bagi menangani keganasan.

Dalam pada itu, Abdul Salam yang berketurunan Uzbekistan dan bukannya Pastun seperti Mullah Mohammad Hassan dan Abdul Ghani merupakan sebahagian daripada pasukan rundingan damai Afghanistan di Doha dan pernah menjadi timbalan menteri ketika Taliban berkuasa di negara itu.

Senarai menteri sementara yang dilantik untuk mentadbir negara itu terdiri daripada Menteri Dalam Negeri sementara, Sirajudin Haqqani yang merupakan anak pengasas kumpulan bersenjata Haqqani ketika menentang Kesatuan Soviet dan kini mengetuainya.

Beliau juga merupakan seorang komander Taliban dan dikehendaki oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk disoal siasat berhubung siasatan kejadian serangan di sebuah hotel pada tahun 2008 di Kabul.

Mullah Yaqoob iaitu anak kepada pengasas bersama Taliban iaitu Mullah Mohammad Omar dinamakan sebagai Menteri Pertahanan sementara, Menteri Pelarian sementara, Khalil Ur Rehman Haqqani, Menteri Luar sementara, Mawlawi Amir Khan Mutaqi, Menteri Kewangan sementara, Mullah Hedayatullah Badri dan Menteri Pendidikan, Sheikh Mawlwai Noorullah Munir.

Anggota-anggota kabinet sementara Taliban itu tidak mempunyai ijazah kedoktoran dan sarjana malah kelulusan sekolah tinggi tetapi mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan agama Islam.

Taliban menawan ibu kota Kabul dan beberapa ibu negeri Afghanistan selepas tentera AS dalam proses mengundurkan askar-askarnya dari negara tersebut pada bulan lalu manakala bekas Presidennya, Ashraf Ghani melarikan diri ke luar negara dengan alasan untuk mengelakkan pertumpahan darah.- Agensi

PM Taliban, dua timbalan bukan ‘calang-calang orang’


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker