Isu kematian dalam latihan tentera

Isu kematian dalam latihan tentera. Sewaktu negara di ambang menyambut kemerdekaan tahun ini, umum dikejutkan dengan berita kehilangan seorang anggota tentera dalam satu latihan di Sungai Pahang.

Beliau diberitakan telah hilang ketika menyeberangi sungai bagi Eksesais Para Predator Siri 1/2021.

Beliau bukanlah anggota tentera pertama yang mati ketika mengadakan latihan.

Aktiviti lasak, mencabar dan berisiko tinggi merupakan sesuatu yang lumrah dalam membentuk mental dan fizikal ampuh yang perlu dimiliki sesiapa sahaja yang telah berikrar untuk mengangkat senjata bagi mempertahankan kedaulatan negara.

Antara aktiviti latihan paling merbahaya dan telah mengakibatkan banyak kemalangan jiwa adalah latihan penerjunan udara menggunakan payung terjun.

Antara 2006 hingga 2009 umpamanya, enam anggota tentera negara maut akibat kecelakaan ketika latihan payung terjun.

Pada 2019, kes menggemparkan negara terjadi apabila Mejar Mohd Zahir Armaya terbunuh akibat tembakan semasa melaksanakan latihan keupayaan TDM di Kem Lok Kawi.

Lembaga siasatan yang ditubuhkan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) memuktamadkan bahawa insiden itu adalah kejadian terpencil dan merupakan kemalangan dalam latihan.

Pihak ahli lembaga turut mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik.

Insiden kematian ketika latihan ketenteraan sebenarnya adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian lebih serius semua pihak.

Ia tidak boleh dianggap sebagai ‘satu kejadian terpencil’ apabila berlaku hanya kerana kadar kekerapan yang tidak menentu.

Ia juga bukan sesuatu yang hanya berlaku dalam angkatan tentera negara ini.

Mayat dipercayai anggota tentera ditemui penduduk kampung

Perbezaannya di negara-negara maju, kesedaran, akauntabiliti dan iktibar dipelajari terhadap sesuatu insiden melibatkan kematian dalam latihan ketenteraan.

Di Amerika Syarikat antara tahun 1989 hingga 1992, seramai 700 anggota tentera mati ketika latihan dan siasatan kerajaan negara itu mendapati pihak Pentagon tidak melaksanakan penyiasatan dengan baik dan telus.

Akibat sikap sedemikian, sejak dari tahun 2006 hingga 2018, 31.9 peratus anggota tentera Amerika mati ketika melaksanakan latihan manakala hanya 16.3 peratus saja akibat pertempuran hakiki.

Di United Kingdom, hasil siasatan mendapati bahawa 131 anggota terbunuh ketika latihan antara tahun 2000 hingga 2016 berbanding 179 yang terbunuh dalam pertempuran sepanjang enam tahun penglibatan negara tersebut dalam kancah perang di Afghanistan.

Kes-kes melibatkan dehidrasi, tembakan peluru hidup atau kemalangan kenderaan merupakan antara penyebab utama kematian ketika latihan.

Pada 2018, seorang anggota tentera Singapura mati akibat dehidrasi dan nasib sama menimpa seorang tentera Australia pada tahun ini.

Kejadian lebih buruk pernah berlaku pada 2013 apabila tiga tentera United Kingdom mati akibat hipertermia sewaktu menjalani latihan jalan lasak 26 kilometer dalam cuaca panas.

Meneruskan latihan dalam keadaan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), kerosakan pada peralatan, desakan pihak atasan untuk menyempurnakan latihan akibat kekangan waktu dan kurangnya akauntabiliti adalah rencah yang dilihat menjadi penyumbang kecelakaan.

Lazimnya apabila berlaku kematian sewaktu latihan, pihak angkatan tentera akan menubuhkan jawatankuasa siasatannya tersendiri dan tidak membenarkan mana-mana agensi lain atau badan bebas untuk campur tangan dalam urusan siasatan.

Ini menyukarkan umum untuk mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku atau adakah terdapat percubaan untuk ‘melindungi’ pihak bertanggungjawab.

Namun terdapat negara membenarkan pihak kedua melakukan siasatan bersama pihak tentera.

Australia umpamanya membenarkan koroner Wilayah Northern Australia untuk melakukan siasatan dalam kes anggota ditembak mati ketika latihan.

Pada 2019, laporan beliau dalam kes sedemikian telah menggemparkan Australia.

Bukanlah mencari kesalahan, menuduh dan menunjuk jari, yang lebih penting adalah mendapat iktibar, mengelakkan dari berulangnya tragedi dan memantapkan keselamatan dan SOP latihan.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Isu kematian dalam latihan tentera


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Rampasan kuasa tentera di Guinea: Semua rakyat Malaysia selamat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker