Kerajaan pusat tak setuju nyah warta hutan simpan Kuala Langat

Kerajaan pusat tak setuju nyah warta hutan simpan Kuala Langat

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan kerajaan Selangor melakukan pewartaan keluar sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara, kata menterinya, Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, Malaysia komited dalam memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan selaras dengan komitmen yang dinyatakan di peringkat antarabangsa



“Secara dasarnya, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Jabatan/Agensi di bawah Kementerian telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini khususnya di peringkat awal cadangan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Pihak Kementerian dan Jabatan/Agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Negeri Selangor berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk redod, penyahwartaan hutan simpan berkenaan berada di luar bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun Takiyuddin berkata, kementeriannya memandang berat isu penyahwartaan berkenaan yang melibatkan kehilangan sebahagian daripada keluasan asal iaitu seluas 957.63 hektar.



Katanya, sehingga tahun 2019, data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menunjukkan jumlah kawasan berhutan Negeri Selangor adalah pada 31.74 peratus.

Selain itu kementeriannya juga mengambil maklum penggantian seluas 579.64 hektar melibatkan 4 kawasan hutan berasingan iaitu Hutan Simpan Sungai Panjang (308.62 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Barat (149.96 hektar), Hutan Simpan Buloh Telor Timur (57.18 hektar) dan Hutan Simpan Broga (63.88 hektar) sebagai Hutan Simpanan Kekal.

“Dalam hal ini, Kementerian ini juga mengesyorkan agar kawasan gantian tersebut terus dilindungi dan dipulihara bagi memastikan kawasan berhutan di Negeri Selangor dikekalkan.

“Kerajaan Negeri Selangor diharap memastikan kawasan hutan yang telah diwarta keluar tersebut dibangunkan dengan bertanggungjawab dan mengambil kira amalan pembangunan lestari termasuk memastikan kecukupan zon penampan dan semua syarat Laporan Kajian Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) yang telah ditetapkan, dipatuhi sepenuhnya.



“Ini bagi memastikan pembangunan yang bakal dilaksanakan tidak mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem yang terletak bersebelahan, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya masyarakat Orang Asli,” jelasnya.

Penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang dibuat pada Mei lalu didedahkan oleh Exco Selangor, Hee Loy Sian ketika sesi soal jawab sidang DUN Selangor pada 30 Ogos.

Penyahwartaan itu dibuat setelah keputusan dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei lepas yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19 Mei, membabitkan 536.70 hektar kawasan di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Pada bulan Mac tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan dua syarikat telah mencadangkan untuk membangunkan kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara, iaitu Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor).



Pendedahan itu menimbulkan kritikan bukan sahaja daripada NGO alam sekitar, malah turut mendapat bantahan daripada Adun-adun Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

Kepimpinan tertinggi PKR telah memanggil Amirudin untuk memberikan penjelasan. Mk

Kerajaan pusat tak setuju nyah warta hutan simpan Kuala Langat


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Syarikat modal RM1 dapat hak bangunkan hutan simpan Kuala Langat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker