Kabinet setuju cadangan penerbitan sukuk Felda RM9.9 bilion

Kabinet bersetuju meluluskan cadangan penerbitan sukuk Felda bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi pelan pemulihan syarikat itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Kabinet juga bersetuju cadangan penstrukturan semula hutang Felda dengan institusi kewangan, selain meningkatkan pendapatan teras Felda dengan menamatkan Perjanjian Bawah Pajakan (LLA).

Selain itu Mustapa berkata, pelan pemulihan berkenaan juga akan melibatkan usaha meningkatkan daya berdikari peneroka yang terlibat.

“Kedudukan kewangan FELDA dijangka mencatatkan aliran positif bermula tahun 2023 dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut. FELDA akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang dihormati dan berdaya maju.

“Penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh FELDA tidak akan lengkap tanpa pengukuhan tadbir urus serta kecekapan dalam menguruskan ladang. Sehubungan itu, Lembaga Pengarah serta pengurusan FELDA hendaklah komited meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambah baik tadbir urus,” katanya lagi.

Mustapa, yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, cadangan tersebut dikemukakan dalam Laporan Pasukan Petugas Khas Bagi Isu Felda, yang telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober, 2020.

Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas itu yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Wahid Omar dan turut disertai Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh, telah mengenal pasti beberapa isu kritikal berhubung kewangan syarikat berkenaan.

BACA: Felda berhasrat ambil semula 350,000 hektar tanah daripada FGV
“Antara masalah utama yang dihadapi ialah struktur modal yang tidak mampan dan bebanan hutang yang tinggi berjumlah RM10.6 bilion.

“Keadaan ini juga berpunca daripada sumber pendapatan yang berkurangan terutamanya terimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah LLA,” katanya lagi.

Selain itu, Mustapa berkata, kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh Felda.

Ujarnya lagi, pelaksanaan cadangan-cadangan pemulihan ini akan dipantau secara terperinci oleh jawatankuasa pemantauan khas yang akan melaporkan terus kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan umum sukuk digital pertama bernilai RM500 juta hari ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker