Tolak ‘draf asal’ rang undang-undang antilompat, Bersatu terkena ‘sumpahan’ sendiri

Bekas pemimpin Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin mendakwa Bersatu ketika menjadi kerajaan menolak peruntukan dalam draf asal rang undang-undang antilompat yang menyebabkan parti itu kini berdepan dengan masalah.

Dakwa bekas menteri kesihatan itu, pemimpin Bersatu bertegas menolak klausa yang memerlukan ahli parlimen mengosongkan kerusi mereka jika mereka bertentangan dengan prinsip dan pendirian ketua whip parti mereka di Dewan Rakyat.

“(Menurut draf asal seseorang ahli parlimen itu) dianggap bahawa telah melanggar undang-undang dan kena kosongkan kerusi mereka.



“Tahu tak ironi dia? Bila dibawa ke jemaah menteri untuk dibincang draf ini, antara yang paling lantang menentang draf ini adalah ahli-ahli parlimen daripada Bersatu.

“Ahli-ahli adalah menteri-menteri daripada Bersatu. Menteri-menteri daripada Bersatu, daripada PN sekarang.

“Atas alasan mereka tak nak bagi kuasa terlalu besar kepada parti,” kata Khairy pada episod terbaru rancangan Keluar Sekejap.

Khairy berkata bekas menteri yang sama telah menjadi “mangsa” kepada draf rang undang-undang versi yang mereka diluluskan pada akhirnya, yang kini dilaksanakan dan dikuatkuasakan.



“That is a cruel irony of life. Kita pujilah (menteri undang-undang ketika itu) Tan Sri Wan Junaidi (Tuanku Jaafar) kerana mempunyai pandangan jauh tutup lompong ini.

“Tapi lompong ini tertinggal besar dia punya lubang dan tak ada apa yang PN boleh buat.

“Sebab sekarang ini ahli-ahli parlimen ini akan jadi ahli parlimen ‘zombie’.

“Maknanya dia Bersatu tak boleh pecat dia, dia tak boleh masuk ke PH, PN.



“Dia cuma hidup macam itulah, hidup ‘zombie’ dan dia akan dapat peruntukan. Itu saja,” kata Khairy lagi.

Bersatu kelmarin menggesa akta antilompat parti dikaji semula berikutan empat ahli parlimennya mengumumkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Presidennya, Muhyiddin Yassin berkata, undang-undang itu perlu dikaji semula kerana ia mempunyai beberapa kelemahan.

Empat ahli parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzukarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zahari Kechik (Jeli) menyuarakan sokongan kepada Anwar tetapi pada masa sama kekal dalam parti itu



Bagaimanapun, akta antilompat parti tidak mempunyai peruntukan untuk menangani tindakan sedemikian.

Undang-undang itu hanya mempunyai ketetapan mengenai ahli parlimen atau Adun yang keluar parti mereka untuk menyertai parti lain.

Iskandar dan Suhaili masing-masing telah digantung daripada Bersatu selama empat tahun dan enam tahun, oleh lembaga disiplin parti.

Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan merupakan pindaan baru yang digubal untuk menghalang ahli parlimen daripada bertukar parti. Ia tidak menghalang seseorang ahli parlimen daripada mengundi bertentangan dengan arahan partinya sendiri.



Peruntukan tersebut digubal dalam dua bahagian. Perkara 49A (1) dan Perkara 49A (2).

Fasal 1 Perkara 49A memperuntukkan bahawa seseorang ahli Dewan Rakyat hendaklah berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat itu dan kerusinya hendaklah menjadi kosong jika ahli parlimen tersebut;

a) setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik, dia melepaskan keanggotaan sebagai, atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau

b) setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota sebuah parti politik (iaitu, calon bebas), dia menyertai parti politik sebagai ahli.



‘Tiada PRK, kekal MP’

Fasal 2 Perkara 49A pula menyatakan tiga pengecualian di mana keahlian seseorang ahli parlimen dalam Dewan Rakyat itu tidak terhenti hanya disebabkan oleh:

a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya.

b) pelepasan keanggotaan ahli parlimen itu daripada parti politiknya apabila dia dipilih sebagai Yang di-Pertua Dewan.

c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

Sementara itu, Khairy berkata undang-undang itu tidak meliputi alasan di sebalik penyingkiran seseorang ahli parlimen, tetapi hanya jika parti memecat mereka.

“Saya percaya dan yakin mungkin perdana menteri ada penasihat undang-undang yang hebat yang kata ‘Datuk Seri, ini adalah loophole yang terbaik yang kita boleh guna tanpa kita cetuskan pilihan raya kecil’.

“Sebab kalau trigger by election di kawasan macam Jeli dengan Gua Musang ni memang confirm lah (ahli parlimen ini akan) KO lah kepada BN-PH ni.

“Jadi, dia tak nak cetuskan pilihan raya kecil, dia nak juga mereka ni kekal sebagai YB,” katanya.

Menurut Khairy lagi, walaupun Bersatu mahu membuat percaturan politik dengan memecat empat ahli parlimen itu namun mereka tetap akan kekal sebagai ahli parlimen.

“Malah lebih mudah untuk mereka jadi ahli PKR ataupun mana-mana parti PH,” jelasnya.

Muhyiddin berkata Bersatu telah mengumpul bukti berhubung dakwaan rasuah dan ugutan di sebalik keputusan ahli parlimen parti itu menyuarakan sokongan kepada Anwar.

Sokongan empat ahli parlimen Bersatu itu menjadikan seramai 150 ahli parlimen menyokong Anwar, lebih tiga kerusi yang diperlukan untuk menguasai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Khaibar, Khaibar Ya Yahud, Jaysu Muhammad Saufa Ya’ud

Gambar lucah AI, Anna Jobling beri amaran

TMJ Tuju Kepada Ahli Politik Mana?

Ameera Khan dikritik tayang produk pro Israel

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker