Penggiliran jawatan kabinet? Pas mengaku tidak pernah bincang

Penggiliran jawatan kabinet? Pas mengaku tidak pernah bincang. Beberapa pemimpin Pas menegaskan parti itu tidak pernah membincangkan cadangan penggiliran jawatan kabinet kerajaan dalam kalangan ahli Parlimen parti itu.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, cadangan itu juga sukar dilaksanakan kerana tempoh pelantikan menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan baharu adalah sangat singkat dan mampu merencatkan agenda transformasi terhadap portfolio kementerian dipegang mereka.

Jelas beliau, Pas sebaliknya hanya menfokuskan kepada soal kualiti perkhidmatan dengan seseorang menteri atau timbalan menteri dilantik perlu memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan parti itu sendiri.



Idris Ahmad, Ahmad Fadhli dan Kamarul Zaman
Idris Ahmad, Ahmad Fadhli dan Kamarul Zaman

 

“Sememangnya Pas tidak pernah bincang mengenai cadangan penggiliran jawatan menteri dalam kabinet baharu.

“Pas hanya fokus kepada soal kualiti perkhidmatan pemimpin yang dilantik dalam kabinet dengan mereka perlu memenuhi KPI ditetapkan parti.

“Kalau tujuan penggiliran jawatan adalah semata-mata untuk memikirkan soal elaun pencen dan kemudahan menteri, saya fikir menteri dan timbalan menteri yang dilantik sukar untuk melaksanakan agenda pembaharuan dalam portfolio dipegang kerana tempoh perkhidmatan terlalu singkat.



“Tetapi kalau ada menteri atau timbalan menteri yang dilantik tidak ‘perform’, itu soal lain,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus pucuk pimpinan Pas sedang mempertimbangkan cadangan menggilirkan jawatan kabinet dalam kalangan 18 ahli Parlimen parti itu setelah pembentukan kerajaan baharu dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Spekulasi itu timbul di tengah-tengah polemik pembentukan kabinet baharu yang bakal diumumkan Ismail Sabri pada jam 11 pagi Jumaat, setelah senarai barisan kabinet baharu yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, diperkenankan Seri Paduka Baginda pada Khamis.

Amalan penggiliran jawatan dalam kerajaan bukan perkara asing bagi Pas kerana parti itu pernah dilakukan melalui kerajaan negeri Kedah dipimpin bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Seri Azizan Abdul Razak bermula tahun 2008 hingga tahun 2013.



Sewaktu pentadbiran Allahyarham Azizan, beliau bertindak menggilirkan jawatan Exco kerajaan negeri kepada ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti berkenaan dengan pemimpin dilantik diberi ruang berkhidmat sehingga mereka layak menerima pencen Exco.

Untuk rekod, jumlah ahli Parlimen Pas ketika ini adalah seramai 18 orang dengan tiga daripada mereka dilantik sebagai menteri penuh, manakala lima lagi dipilih sebagai timbalan menteri sewaktu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula dilantik sebagai Duta Khas ke Timur Tengah yang bertaraf menteri.

Mengulas lanjut, Idris turut mengharapkan barisan kabinet yang bakal dibentuk Ismail Sabri jangan menampakkan kelemahan ketara sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.



“Zaman media sosial sekarang bukan macam zaman dahulu. Sekarang zaman ‘real-time experience’, kalau kita buat tidak betul maka sekejap sahaja rakyat dapat hidu.

“Pada saat kita hendak bentuk kabinet kerajaan baharu yang terbaik, Perdana Menteri kena meminimumkan sebarang kelemahan dalam kabinet itu kelak. Kita tidak boleh bentuk kabinet sempurna, tetapi pada masa sama kita tidak boleh menampakkan kelemahan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari turut bersetuju dengan pandangan Idris bahawa parti itu tidak pernah membangkitkan soal penggiliran jawatan menteri dalam kalangan ahli-ahli Parlimennya.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, amalan penggiliran jawatan kerajaan sewaktu pentadbiran kerajaan Kedah di bawah pimpinan Allahyarham Azizan adalah cerita berbeza dan tiada kena-mengena dengan amalan pelantikan jawatan menteri dalam kalangan ahli Parlimen Pas.



“Amalan penggiliran jawatan Exco di Kedah sewaktu pentadbiran Allahyarham Ustaz Azizan adalah cerita lain, begitu juga amalan sama dipraktikkan di Perak sebelum ini.

“Tidak timbul isu penggiliran jawatan kabinet antara ahli Parlimen Pas kerana dalam parti kami, semua ahli sentiasa mengikut keputusan dibuat pucuk kepimpinan.

“Saya tahu dan yakin kepimpinan Pas sentiasa membuat rundingan terbaik untuk parti,” katanya.

Kena umum secara terbuka



Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff sewaktu dihubungi Sinar Premium mengakui turut mendengar desas-desus mengenai cadangan penggiliran jawatan kabinet oleh Pas.

Meskipun menganggap cadangan itu adalah satu idea positif, Kamarul Zaman berpandangan perkara itersebut perlu diumumkan parti itu secara terbuka bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen yang dilantik jawatan kabinet akan lebih bersedia.

“Saya akui ada dengar berita sebegitu (cadangan penggiliran jawatan kabinet dalam Pas). Kebiasaannya ahli-ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri akan diberi tempoh masa lebih panjang untuk mereka bertugas dan memenuhi KPI ditetapkan parti.

“Amalan sebegini (penggiliran jawatan kabinet) adalah elok, tetapi Pas perlu umumkan pendirian itu secara terbuka sekiranya mereka benar-benar mahu mengimplimentasikannya.

“Melalui cara itu, barulah ahli Parlimen yang dilantik jawatan kabinet akan lebih bersedia, tidak terkejut apabila digantikan dengan orang lain. Paling penting apabila amalan sebegini sudah jadi satu budaya, ia akan beri implikasi positif kepada imej Pas sendiri,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat keperluan barisan menteri kabinet daripada Pas sebelum ini ditukar dengan muka baharu, Kamarul Zaman menegaskan perkara itu tidak perlu kerana kesemua menteri dan timbalan menteri daripada Pas sebelum ini menunjukkan prestasi memuaskan.

“Dengan tempoh bertugas sebelum ini pun baru 18 bulan, saya melihat keperluan barisan menteri Kabinet Pas sedia ada dikekalkan bagi memastikan aspek kelangsungan tugasan mereka dipelihara.

“Sebenarnya, kalau Pas buat keputusan untuk menggilirkan jawatan kabinet sekali pun, saya rasa ahli-ahli Parlimen parti itu tiada masalah untuk digantikan kerana mereka mempunyai sifat ketaatan tinggi terhadap pucuk kepimpinan dan tidak akan sesekali memberontak,” katanya.

Penggiliran jawatan kabinet? Pas mengaku tidak pernah bincang


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Akta lompat parti boleh dilaksanakan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker