Akta lompat parti boleh dilaksanakan

Akta lompat parti boleh dilaksanakan. Penggubalan undang-undang anti lompat parti boleh dilakukan di Dewan Rakyat dan berfungsi mengurangkan krisis pertukaran kerajaan tanpa membabitkan pindaan hak berpersatuan di bawah Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Negara.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Malaysia di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, ini kerana hanya Parlimen mempunyai hak untuk menyekat hak berpersatuan sama ada untuk menubuhkan, penyertai atau meninggalkan persatuan atau parti.

Bagaimanapun menurutnya, penggubalan undang-undang tersebut hanya dibenarkan jika ia dibuat demi keselamatan, ketenteraman awam atau prinsip moral.

“Tiga perkara tersebut adalah alasan yang dibenarkan oleh perlembagaan hanya untuk Parlimen membuat undang-undang anti lompat parti.

“Dalam Perkara 10(2)(c) Perlembagaan Negara, hanya Parlimen yang berhak iaitu melalui undang-undang mengenakan ke atas hak untuk membentuk persatuan, apa-apa sekatan yang didapati perlu atau manfaat, demi kepentingan alasannya keselamatan, ketenteraman awam atau prinsip moral,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mencadangkan agar akta lompat parti dapat diwujudkan bagi mengelakkan pertukaran kerajaan pada masa akan datang.

Tambah beliau, dalam situasi ketika ini kerajaan Persekutuan melalui Parlimen boleh meneruskan usaha meluluskan akta yang menghalang ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat parti jika dipersetujui semua pihak.

“Buat masa ini, kelulusan akta di Parlimen mungkin sudah mencukupi kerana pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga majoriti selain mengambil tempoh yang lama untuk diselesaikan.

“Bagaimana mekanisme pelaksanaan akta itu nanti perlu diperincikan di Parlimen.

“Salah satu cara yang boleh dilaksanakan ialah jika ahli Parlimen atau ADUN bertukar parti dengan sukarela, secara automatik kerusi tersebut akan dikosongkan atau berlaku kekosongan luar jangka,” katanya.

Namun, jelas beliau, untuk peringkat Persekutuan, mekanisme tersebut mungkin memerlukan pindaan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli daripada dua Majlis Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara).

Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, memerlukan pindaan terhadap perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri.

Sementara itu, bagi Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, sebuah undang-undang anti lompat parti seharusnya dibuat oleh Parlimen sebagai undang-undang khas atau membuat pindaan kepada perlembagaan.

Namun, ujar beliau, memandangkan pindaan perlembagaan memerlukan dua pertiga majoriti, lebih mudah untuk melaksanakan undang-undang khusus yang hanya perlu sokongan majoriti mudah di Parlimen.

“Undang-undang tersebut hendaklah memperuntukkan larangan seorang ahli Dewan Rakyat atau ADUN untuk berpindah sokongan daripada parti yang mereka wakili selepas pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK).

“Ini juga termasuk melarang mereka menjadi wakil rakyat bebas selepas bertanding dalam PRU atau PRK.

“Pada masa sama, undang-undang ini mestilah mempunyai kesan untuk mengosongkan kerusi wakil rakyat yang melompat parti dan PRK perlu diadakan untuk kembalikan mandat memilih pemimpin kepada rakyat,” katanya.

Akta lompat parti boleh dilaksanakan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kebijaksanaan Agong jayakan gencatan politik Ismail Sabri-PH

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker