Mawar Rashid agih bantuan dalam trauma

Mawar Rashid agih bantuan dalam trauma

Biarpun masih trauma dengan COVID-19 kerana dirinya dan keluarga pernah disahkan positif virus itu, Mawar Rashid memberanikan diri menghantar sumbangan kepada Hospital Selayang dan Hospital Ampang, Khamis lalu.

Mengambil langkah berjaga-jaga, Mawar atau nama sebenar, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 26, berkata, dia dan suami menyarung pakaian pelindung diri (PPE) untuk mengagihkan sumbangan.

“Melihat kes jangkitan harian melebihi 20,000 orang, malah, ada kenalan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), saya jadi takut.

“Namun, disebabkan tanggungjawab dan amanah daripada penderma iaitu orang ramai, saya beranikan diri.

“Saya dan suami ambil risiko menghantar sendiri sumbangan ke hospital terpilih. Kami masing-masing jaga prosedur operasi standard (SOP) dan menyarung PPE bagi mengelak sebarang risiko,” katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, melalui hantaran Instagram (IG), Mawar mengumumkan dia, suami, Raf Yaakob serta beberapa rakan selebriti seperti Zoey Rahman, Zarina Anjoulie dan Eyra Hazali berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM114,400.

Dana dikumpul melalui IG Live inisiatif Mawar itu diperoleh dalam tempoh tiga hari serta diserahkan kepada Hospital Selayang dan Hospital Ampang.

Mawar berkata, langkah mengumpul sumbangan untuk dua hospital terbabit dibuat kerana dia merasai kepayahan menjadi pesakit COVID-19.

“Saya terdetik mengutip sumbangan kerana pernah disahkan positif COVID-19. Saya hubungi hospital dan dimaklumkan mereka memerlukan bantuan berikutan pertambahan pesakit.

“Ada juga hikmah saya pernah dijangkiti kerana saya tahu kesakitan itu. Pengurusan hospital menyatakan mereka memerlukan bantuan RM90,000 termasuk peralatan seperti troli pengangkat, tangki oksigen, oximeter dan pelbagai alat lain.

“Berikutan itu, kami lancarkan kutipan derma. Pada hari pertama, sesi IG Live saya bersama Eyra meraih RM35,000,” katanya yang merancang mengagihkan lebihan sumbangan kepada Hospital Klang.

Mawar berharap sumbangan itu dapat meringankan kesakitan penghidap COVID-19 di hospital terbabit.

Tambah Mawar, apa yang dilakukan bukan berniat menunjuk-nunjuk, sebaliknya, mahu membantu pesakit COVID-19 dan hospital kerajaan.

“Tiada lain yang difikirkan. Saya terlalu sedih melihat apa yang terjadi. Bayangkan, andai keluarga dan kenalan kita sakit tetapi tidak mendapat bantuan sepatutnya.

“Ibu saya pernah dimasukkan ke hospital akibat COVID-19 dan berada pada kategori keempat. Saya tahu betapa risau dirinya. Apabila dapat membantu, rasa lapang dada ini,” katanya.

Berkongsi pengalaman disahkan positif COVID-19, Mawar mengaku masih trauma setiap kali teringat ibu dikejarkan ke hospital, suami mengalami batuk berdarah dan anak diserang demam.

“Saya tidak mahu perkara itu berulang. Sebenarnya, kami sekeluarga memilih untuk terus berkurung. Alhamdulillah, sekarang semua ahli keluarga saya sihat.

“Namun, setiap kali keluar rumah, kami sangat berjaga-jaga,” katanya. BH

Mawar Rashid agih bantuan dalam trauma


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nazri tandatangan SD sokong Ismail Sabri jadi PM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker