Pilihan raya awal memudaratkan
Pilihan raya awal memudaratkan. Parlimen ke-14 akan tamat penggalnya pada 16 Julai 2023 dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mesti diadakan selewat-lewatnya pada 14 September 2023, iaitu 25 bulan daripada sekarang.
Ada ura-ura bahawa PRU15 harus disegerakan untuk menyelesaikan kemelut politik. Ini amat bertentangan dengan pendirian kerajaan Persekutuan dan Istana Negara sehingga hari ini.
Dengan Darurat kebangsaan dari 12 Januari ke 1 Ogos dan Darurat lokal untuk Sarawak dari 2 Ogos ke 2 Februari 2022, pesanan kerajaan dan Istana ialah negara tidak sesuai untuk menjalankan pilihan raya kerana dilanda wabak.
Jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar memohon pembubaran Parlimen, dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, maka orang ramai malah masyarakat antarabangsa akan membaca isyarat yang salah: PRU tidak boleh dijalankan bila kerajaan PN boleh mengelakkan undi (tidak) percaya, dan tiba-tiba boleh dijalankan bila kerajaan PN tidak dapat mengelakkan undi percaya dan takut kalah.
Ada yang cadangkan bahawa Darurat dimasyhurkan sebaik saja Parlimen dibubarkan, agar Muhyiddin dapat berkuasa sampai bila dia selesa untuk menghadapi pilihan raya.
Ini seolah-olah plot lama di Kelantan pada November 1977, apabila darurat dimasyhurkan selepas Menteri Besar Pro-UMNO Mohamed Nasir dikalahkan oleh undi tidak percaya dan enggan meletak jawatan, dan tiba-tiba dihentikan tiga sebulan kemudian, beberapa minggu sebelum pilihan raya negeri dijalankan dan dimenangi oleh UMNO pada Mac.
Saya tidak percaya cadangan ini akan dapat perkenan di-Raja. Ia akan menyeret institusi raja yang mulia ke dalam politik kepartian dan mencemari kemuliaannya.
Apa yang lebih mungkin, malah sering diulang oleh pemimpin yang berlainan, ialah rancangan untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja imuniti kelompok tercapai dengan kadar vaksinasi 50 peratus atau lebih.
Cadangan pilihan raya segera selepas imuniti kelompok ini perlu dikupas dengan lebih berhati-hati kerana keputusan yang salah mungkin melipatgandakan kadar kes positif dan kematian.
Kerana wabak Covid-19 masih giat mutasi, jika kita tergesa-gesa menganjurkan ceramah, lawatan pintu ke pintu, dan akhirnya barisan panjang pengundi, varian baru seperti Delta mungkin dengan senangnya meragut lebih banyak nyawa.
Ini tidak bermakna kita harus menangguhkan PRU15 tanpa hadnya. Kita mesti mengadakan PRU15 bila Parlimen tamat penggalnya tetapi hanya dengan kaedah dan SOP baru, seperti kemudahan mengundi tanpa hadir yang meluas, kempen di udara, hari mengundi yang berlangsung 2-3 hari.
Darurat
Sebelum Julai 2023, saya tidak diyakini dengan kebaikan pilihan raya awal, sekalipun tanpa penangguhan atas nama darurat, tidak kira parti mana jadi kerajaan.
Kemelut politik hari ini kerana elit politik kita belum menerima realiti baru ‘Parlimen tergantung’ – di mana tiada parti/gabungan memegang majoriti – dan masih bergaja “pemenang sapu semua” (winner takes all) seperti dahulukala.
Dengan perbalahan parti-parti utama sekarang, Parlimen ke-15 kemungkinan besar akan tergantung sekali lagi. Adakah akan Parlimen dibubarkan sekali lagi?
Sebaliknya, jika parti-parti kerajaan dan pembangkang dapat mencapai pendamaian politik selepas undi percaya, dan pembuatan dasar awam akan lebih melibatkan ahli Parlimen pembangkang dan ‘backbencher’ kerajaan, maka apa salahnya kerajaan – tak kira yang asal atau baru – dibenarkan berfungsi sehingga Julai 2023?
Apa yang kita perlukan norma baru untuk politik Parlimen tergantung, bukan pilihan raya baru.
Pergi pasar beli ikan yu,
Goreng dengan cili dan lobak,
Kalau Parlimen sama selepas PRU,
Mengapa cuba risiko wabak?
*Profesor Wong Chin Huat ([email protected]) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Pilihan raya awal memudaratkan
Baca Artikel Menarik :
- MACC arrests JB mayor over alleged kickbacks
- Apa tindakan UMNO seterusnya, ini jawapan Zahid
- Abang Allahyarham Siti Sarah positif Covid-19, tahap oksigen menurun
- Mastura enggan patuh tuntutan UMNO Kuala Kangsar
- Sindiran Harith Iskander dibalas baik Menteri Agama
- Resepi Sotong Goreng Madu Best Giler
Layari Laman Facebook MYKMU
Amaran keras diberi Sultan Johor untuk bubarkan DUN jika ada usaha jatuhkan kerajaan