Arwah Siti Sarah sedekah tudung kepada jururawat sebelum koma

Arwah Siti Sarah sedekah tudung kepada jururawat sebelum koma

Sikap pemurah dan suka bersedekah menjadi amalan penyanyi popular, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin hingga nafas terakhir.

Segala kebaikan dilakukan arwah Siti Sarah secara senyap mula terbongkar satu persatu selepas menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) akibat pandemik COVID-19, semalam.

Pengurusnya, Nana Mohammad Rom berkata, arwah sentiasa berusaha membantu sesiapa sahaja dalam kesusahan dalam diam dan enggan dihebahkan.

Malah, Nana mendedahkan, isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu itu banyak menghulurkan bantuan kepada rakan industri, bekas wartawan dan pengikut dalam laman sosial.

“Arwah dikenali sebagai insan paling suka bersedekah. Sangat pemurah dan banyak menderma. Arwah tidak pernah tolak sekiranya ada pengikut menghantar mesej langsung dalam Instagram (IG) memerlukan bantuan.

“Namun, arwah tidak suka orang tahu dan bercerita. Namun, pihak pengurusan, Indigital Music tahu mengenai perkara ini.

“Terbaharu, sebelum menaiki ambulans untuk ke hospital, arwah memindahkan wang kepada ibu tirinya minta dipanjangkan sedekahnya.

“Sebelum ditidurkan, arwah minta pembantu peribadi ambil semua produk tudung keluaran syarikatnya untuk disumbangkan kepada jururawat di hospital,” katanya ketika ditemui BH Online selepas pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, semalam.

Allahyarham Siti Sarah bersama Nana (dua dari kanan) dan pasukan Indigital Music.
Allahyarham Siti Sarah bersama Nana (dua dari kanan) dan pasukan Indigital Music.
Ditanya tahap kesihatan arwah, Nana berkata, arwah tidak memiliki sejarah penyakit kronik.

“Arwah tiada penyakit kronik. Arwah sangat menjaga pemakanan, malah sering mendapatkan rujukan doktor peribadi ketika semasa melakukan kuarantin kendiri di rumah.

“Saya menghubungi arwah setiap hari sepanjang menjalani kuarantin kendiri. Arwah kata keadaannya okay dan minta jangan risau.

“Namun, arwah memberitahu kena ke hospital selepas paras oksigen jatuh pada hari kelapan. Ketika itu, arwah mula batuk, namun memikirkannya hanya gejala biasa,” ujarnya.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah, 36, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) akibat COVID-19 pada jam 5.13 pagi, semalam.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, jam 1.20 tengah hari.

Beliau meninggalkan suami dan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu. BH

Arwah Siti Sarah sedekah tudung kepada jururawat sebelum koma


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sijil vaksin cetak sendiri, kalau palsu macam mana?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker