Beza budaya politik Cina dan Melayu

Sebaran :

Beza budaya politik Cina dan Melayu. Ada orang bertanya kepada saya, kenapa kes COVID-19 majoritinya adalah orang Melayu berbanding dengan bangsa lain, Cina misalnya? Saya jawab, budaya politik dan cara berfikir berbeza.

Logiknya, dalam kes COVID-19, memanglah Melayu penduduk paling ramai, sebab bangsa majoriti, berbanding bangsa lain.

Tapi satu perkara perlu ingat, Melayu ini beragama Islam, tuntutan agama soal menjaga kebersihan sangat diberikan perhatian. Kebersihan sebahagian daripada iman katanya. Sepatutnya, walaupun bilangan Melayu ramai, idealnya berpegang kepada konsep kebersihan itu, sudah tentu, bilangan kes rendah. Kebersihan antara sendi agama.

Dalam erti kata lain, kebersihan itu musuh COVID-19. Agama Islam itu sendiri, agama fitrah, suci bersih, selamat. Sudah tentu musuh COVID-19 adalah ajaran agama itu sendiri. Begitu juga gejala yang lain.

Tetapi nampak sebaliknya. Agama seolah-olah tidak menjadi pendinding. Kita alpa dengan tuntutan agama. Kenapa umatnya tidak menjaga kebersihan seperti yang dituntut? Di manakah SOP kebersihan itu? Melayu tidak membudayakan budaya politik sendiri.

Malahan, dalam aspek isu pelancongan sosial, pun umat Islam yang ramai. Paling kuat berpecah pun dia juga.

Justeru, saya menarik nafas lega apabila sidang Parlimen, ditangguhkan bagi mengekang perebakan wabak COVID-19 di sana, akibat beberapa staf Parlimen telah dijangkiti.

Lega dalam maksud, selain elakkan jangkitan, saya dapat merehatkan mata daripada melihat gelagat sarkis dan perbahasan pasar malam, segelintir ahli parlimen terkinja-kinja ‘serang menyerang’ ketika bersidang.

Perbahasan kebajikan rakyat tidak diberikan prioriti lagi. Nafsu serakah merebut kuasa, itulah paling utama.

Sementara menunggu Parlimen dibuka lagi dahsyat. Sekejap pemimpin ini bercakap, tak sampai beberapa minit, seorang pemimpin bercakap. Akan dibalas pemimpin satu lagi. Itulah berlaku saban hari. Balas membalas, jatuh menjatuh. Saban hari itulah beritanya. Sudah tidak ada kerja lainkah para pemimpin kita hari in? Asyik dengar apa yang musuh politik dia kata, kemudian jawab.

Semua ini terbawa-bawa dalam Parlimen, institusi tertinggi negara. Sebahagian ahli tidak nampak bercakap seperti negarawan. Inikah ahli Parlimen yang diharapkan untuk memimpin kita dan generasi akan datang? Sudah tentu tidak.

Peliknya, tidak padan yang tua, perangai dan kelakuan segelintir ahli parlimen macam budak-budak. Tidakkah kita merasa malu kepada generasi akan datang yang menonton secara langsung?

Teramat menyakitkan, ahli Parlimen langsung tidak mempunyai adab-adab berparlimen, suka-suka mencelah, suka-suka bercakap, suka-suka menggunakan bahasa kurang ajar, suka-suka menggunakan bahasa Inggeris dan banyak lagi.

Sedih juga melihat yang lain, termasuk speaker terikut-ikut, turut berbahasa Inggeris, dalam dewan yang mulia.

Dalam kata lain, Parlimen sudah menjadi caca merba dan rojak. Adab-adab berada dalam dewan yang mulia tidak hiraukan lagi.

Kenapa speaker tidak halau mereka keluar? Begitu jelas perangai dan kelakuan ultra kiasu ini bertentangan dengan adab-adab Parlimen.

Institusi Parlimen seolah-olah tidak berdaulat lagi. Parlimen sudah jadi sarkis dan pasar malam. Saya hairan, kenapa kita sengaja pejam mata, seolah-olah tidak memperdulikan.

Tengok gelagat ultra kiasu, begitu agresif, ‘menyerang’ sana sini, ‘tembak’ sana sini. Seolah-olah sudah dirancang sejak awal.

Perancangan ultra kiasu begitu tersusun untuk membuat ‘serangan’. Nampak atau tidak, apabila orang sesama mereka bercakap, tidak pulak dikacaunya.

Ultra kiasu ini akan minta laluan untuk mencelah, bagi menguatkan lagi hujah-hujah rakan-rakan seultra kiasu dengan mereka.

Begitu juga, peluang akan digunakan sepenuhnya, ketika wakil kerajaan (PN), mereka tidak putus-putus akan minta laluan untuk mencelah dan bercakap.

Namun, apabila wakil sesama mereka bercakap, mereka saling kukuh memperkukuh. Teramat sedih apabila ultra kiasu Melayu turut terkinja-kinja. Budaya kita berbeza.

Paling sukar untuk diterima, hari pertama Parlimen mula bersidang, PM memberi ucapan, dalam ucapan, PM meminta seluruh rakyat sedekahkan al-Fatihah kepada mereka yang menjadi korban wabak COVID-19, tetapi langsung tidak dihormati oleh ultra kiasu termasuk ultra kiasu Melayu. Ketika surah dibaca, mereka masih lagi berbuat bising, kecam sana ini.

Sepatutnya, mereka perlu bertafakkur, sebagai tanda hormat, ketika yang muslim membaca Fatihah. Ini tidak, terkinja-kinja, menjerit-jerit. Tidak pernah berlaku sebelum ini, ultra kiasu begitu kurang ajar. Peliknya, rakan ultra kiasu yang beragama tidak langsung menegur.

Orang macam ini, tidak sepatutnya menjadi ahli Parlimen. Bertambah hairan, kenapa speaker tidak bertindak, paling kurang pun, jangan benarkan mereka mencelah ketika wakil kerajaan bercakap, sekiranya tidak dibenarkan.

Begitu juga, wakil kerajaan, ketika berhujah, jangan benarkan ultra kiasu mencelah. Celahan mereka ini ada udang sebalik batu. Menonjolkan kekuatan mereka, dan menelanjangkan kerajaan

Justeru, saya harap kita jelas soal kebobrokan ultra kiasu ini dan jangan biarkan mereka semakin kurang ajar dan biadab di Parlimen.

Sepatutnya ketika berbahas di Parlimen, kita menjadi seorang pejuang membela nasib rakyat yang begitu terseksa pada masa kini. Kita Bersatu hati, terutama dalam kalangan ahli Parlimen Muslim. Tetapi apa yang berlaku.

Teruja dengan kata-kata, sekiranya kita seorang pejuang, jika kita tahu apa erti perjuangan. Kita tidak akan bergaduh sesama sendiri, tetapi kita akan bersama sentiasa, berpadu tenaga, bersatu hati, sentiasa bersedia untuk menjayakan perjuangan bersama.

Malangnya, kata-kata ini telah diambil oleh ultra kiasu dalam perjuangan mereka. Kita sahaja yang masih teraba-raba.

Kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Berbaloikah ini semua?

Ada hikmah juga di sebalik penangguhan ini. Jika tidak, pasti kita akan melihat episod jatuh-menjatuh. Semuanya kerana mahukan kuasa, daripada memperjuangkan nasib rakyat.

September nanti, Parlimen akan dibuka semula. Pada masa sama undi tidak percaya akan diusulkan untuk mendapatkan keabsahan.

Ultra kiasu sudah lama bersedia. Pastinya laungan kata-kata derhaka akan kedengaran kuat. Sebelum ini, selaku orang Cina, saya tidak dengar, ultra kiasu pandai menyebut perkataan derhaka. Apatah lagi untuk memahami maknanya.

Kini, ultra kiasu sudah jadi pandai. Perkataan derhaka, menjadi mainan bibir. Pandai orang Melayu mengajar mereka. Tahniah.

Inilah bezanya budaya politik Melayu dengan budaya politik Cina. Budaya Cina sentiasa menyintai ruang dan peluang, membuat persediaan. Mereka kiasu (takut kalah) dan pada masa sama mereka kiasi (takut mati).

Sebab itu kita lihat dalam bab kiasu, bila ada ruang dan peluang, mereka berstrategi melakukan ‘serangan’. Ambil kesempatan, menangguh di air yang keruh.

Kiasi pula takut pada mati, maka akan dijaga sebaik-baiknya agar ‘tidak mati’. Patuh SOP. Tidak keluar rumah, kecuali jika ada keperluan.

Bukan macam kita, dilarang keluar (termasuk ziarah), curi-curi keluar, walaupun tidak ada keperluan. Ada yang sanggup menghafal ayat-ayat tertentu untuk ‘mengaburi’ mata polis.

Lihat anak-anak Melayu keluar dengan motosikal mereka. Pagi, petang, siang malam. Tidak peduli bahaya, tidak peduli nyawa, janji seronok. Saban hari, baca berita berapa kes ‘pesta seks’ yang diserbu baru-baru ini di beberapa inap desa. Saya tidak kata semua. Tetapi itulah bezanya budaya politik antara bangsa berbeza ini. Maka tidak hairan, jika yang ramai itu orang Melayu.

Rupanya, kita berbeza budaya, begitu juga budaya politik. Bangsa lain begitu menghargai nyawa, mereka kiasu dan kiasi. Kita tidak endah itu semua. Ajal maut di tangan Tuhan. Mati boleh berlaku di mana-mana, meskipun tidak ada COVID-19. Kita pun redah sahaja. Tidak hairan, kitalah paling ramai dijangkiti. Sebenarnya, kita sudah jauh daripada agama kita sendiri.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Beza budaya politik Cina dan Melayu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


MCA Mungkin Lupa, UMNO Tidak Lupa – Najib


Sebaran :

Leave a Reply