Tragedi jam 4.50 pagi menyayat hati

Sebaran :

Tragedi jam 4.50 pagi menyayat hati

Sik: Jika dia miliki kuasa kebal daripada api, sudah tentu rumah yang marak terbakar itu dirempuh begitu sahaja demi menyelamatkan ibu tersayang yang sudah uzur.

Namun apakan daya, Shuib Awang, 63, hanya manusia biasa yang tidak mampu melawan takdir Ilahi yang menetapkan ibunya, Siti Mariam Mihat, 90, meninggal dunia dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Charok Kemuning Dalam di sini, semalam.

Dalam tragedi menjelang Subuh itu, Shuib turut cedera ringan, manakala isterinya, Zalina Mohamed, 59, melecur di kaki selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.

Menceritakan kejadian, pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, mereka sekeluarga sedang tidur dan dia menyedari rumah mereka terbakar pada jam 4.50 pagi selepas mendengar bunyi letupan di luar bilik selain, melihat asap tebal di dapur dan bilik lain.

“Saya mengejutkan isteri dan ketika itu nampak sebahagian bilik kami pun sudah mula terbakar.

“Isteri terjatuh ketika kami mahu keluar dan kakinya berdarah, jadi saya terus mendukungnya, tapi sebelum kami sampai di pintu depan, kaki kiri saya pula terseliuh.

“Saya tetap gagahkan diri hingga kami berjaya keluar dan terus menjerit meminta tolong. Jiran keluar mahu membantu, tetapi api terlalu besar, kami tidak mampu buat apa-apa untuk selamatkan ibu.

“Dalam hati hanya Allah SWT sahaja tahu perasaan saya,” katanya ketika ditemui di pekarangan rumahnya yang terbakar, semalam.

Bapa lima anak itu berkata, arwah ibunya tidak dapat berjalan kerana uzur dan paha kanannya pernah patah dua tahun lalu.

Mengakui dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan ibunya, Shuib bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi.

“Petang semalam (kelmarin) arwah ibu ada cakap hendak mengurut, tapi tukang urut tidak dapat datang kerana kurang sihat.

“Arwah seperti merajuk tapi saya cuba memujuknya. Tak sangka hari ini (semalam) dia sudah tiada,” katanya.

Shuib berkata, isterinya yang dirawat di Hospital Sik sudah dibenarkan pulang manakala jenazah ibunya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu 8.

Kebakaran itu menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang dan Shuib berkata, mereka kini menyewa sebuah rumah di kampung berkenaan buat sementara waktu.

Dia juga menerima bantuan awal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan TUDM.

 

Kebakaran di sebuah rumah di Kampung Kampung Charok Kemuning Dalam, di sini,awal pagi tadi. Foto/Ihsan Pembaca

Tragedi jam 4.50 pagi menyayat hati


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Yang degil masih sokong, sedang mencari nahas

Noor Hisham tersepit, dipersoal berat sebelah


Sebaran :

Leave a Reply