Pecah masuk pasar raya guna forklift

Pecah masuk pasar raya guna forklift

ARAU: Seorang lelaki menggunakan jentera pengangkat barang atau ‘forklift’ untuk memecah masuk sebuah pasar raya di sini dan melarikan 30 telefon bimbit di Kompleks Tok Arau.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian, lelaki itu melakukan perbuatan itu pada jam kejadian 4.06 pagi ketika pasar raya itu masih ditutup.



“Siasatan awal mendapati terdapat seorang lelaki yang berpakaian baju panas atau ‘sweater berwarna kelabu memandu sebuah jentera ‘forklift’ milik pasar raya berkenaan yang diletakkan di parkir motosikal di kawasan parkir berbayar bangunan kompleks berkenaan lalu melanggar pintu kaca di laluan masuk yang menghubungkan tempat parkir berbayar itu sehingga ia terbuka.

“Suspek kemudian masuk melalui pintu kaca yang sudah renggang itu dan menggeledah sebuah kedai menjual telefon bimbit dan aksesori telefon yang terletak bersebelahan pintu masuk utama pasar raya itu.

“Suspek mengumpil pintu rak kaca kedai itu lalu mencuri 25 buah telefon bimbit yang diletakkan di dalam rak kaca itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, suspek kemudian naik ke tingkat satu pasar raya itu dan menuju ke sebuah lagi kedai menjual telefon bimbit dan aksesori telefon.



“Suspek turut mengumpil dan menyelongkar kabinet kedai itu dan mencuri lima buah telefon bimbit yang dihantar pelanggan untuk dibaiki, wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM600.

“Suspek kemudian melarikan diri dan kejadian itu hanya disedari sekitar jam 9.15 pagi, ketika pengawal keselamatan yang ketika itu baru masuk untuk memulakan tugasnya membuat rondaan di sekitar kawasan pasar raya itu dan laporan polis kemudian dibuat,” katanya.

Beliau berkata, nilai kerugian dalam kejadian itu dianggarkan RM13,600.

“Siasatan awal mendapati suspek mengambil masa 15 minit untuk melakukan perbuatan berkenaan dan kawasan kejadian turut dilengkapi dengan CCTV dan berjaya merakam perbuatan suspek.



“Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan berkenaan dilakukan oleh ‘orang dalam’ premis bangunan berkenaan dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan. BH

Pecah masuk pasar raya guna forklift


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Terpulang kalau nak tenggelam bersama Muhyiddin



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker