Lapan jam pindahkan Mek La, Mek Tiga

Lapan jam pindahkan Mek La, Mek Tiga

TANAH MERAH: Mek La dan Mek Tiga, gajah betina masing-masing berusia lima tahun dan 15 tahun yang membuat ‘onar’ merosakkan tanaman penduduk di Kampung Kuala Tiga, di sini beberapa hari lalu dipindahkan ke habitat asal mereka, hari ini.

Proses pemindahan Mek La dan Mek Tiga mengambil masa selama hampir lapan jam oleh kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Ab. Rahman berkata, dua gajah berkenaan dipindahkan secara berperingkat dalam suasana tenang bagi mengelak haiwan tersebut mengamuk.

“Gajah-gajah ini ditangkap pada Jumaat lalu dengan menggunakan kaedah tembakan pelali sebelum dijinakkan melalui dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai yang didatangkan khas dari PKGK Kuala Gandah.

“Pada mulanya kita pindahkan gajah liar berusia lima tahun dulu bermula pukul 10 pagi hingga pukul 12 tengah hari membabitkan laluan khas sejauh 1.5 kilometer manakala gajah kedua berusia 15 tahun pula dipindahkan sehingga lewat petang ini dengan jarak sejauh 1.1 kilometer.

“Operasi ini membabitkan 36 kakitangan dari Perhilitan Kelantan dan Perhilitan Terengganu serta petugas PKGK sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas proses pemindahan gajah-gajah tersebut di Kampung Kuala Tiga hari ini.

Che Ku Mohd. Zamzuri Chik berkata, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Mek La yang seberat dua tan dan Mek Tiga seberat satu tan adalah pasangan ibu dan anak atau bukan, namun pihaknya percaya mereka berasal dari Hutan Simpan Kampung Air Kerilla.

“Memandangkan sekarang musim buah, maka ia menarik haiwan ini masuk ke kawasan perkampungan manusia untuk mencari makanan,” katanya.

Beliau turut memberitahu, setakat pertengahan tahun ini, sebanyak 36 ekor gajah liar telah dipindahkan di seluruh Semenanjung Malaysia, dengan di Kelantan sahaja membabitkan lapan ekor gajah liar.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri jika terserempak dengan kumpulan gajah liar, sebaliknya laporkan terus kepada pihak Perhilitan untuk tindakan segera,” katanya. Utusan

Lapan jam pindahkan Mek La, Mek Tiga


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


#IsraelKoyak kembali hangat di Olimpik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker