Umum keputusan Jemaah Menteri segera untuk elak doktor mogok

Umum keputusan Jemaah Menteri segera untuk elak doktor mogok, kerajaan diberitahu

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan agar segera mengumumkan hasil mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu berhubung tuntutan doktor kontrak bagi kenaikan gaji dan faedah yang lebih baik.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata, pengumuman itu perlu dibuat segera kerana kumpulan doktor berkenaan akan mengadakan mogok minggu depan.

“Kami harap kerajaan akan buat pengumuman secepat mungkin untuk menghalang segala bentuk tindakan oleh kumpulan doktor junior,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menegaskan bahawa MMA membantah mogok tersebut dengan berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja salah dari segi undang-undang, malah dari segi moral kerana wabak Covid-19 kini sedang menggila.

“Saya ingin ulangi sekali, kami membantah sepenuhnya segala bentuk mogok yang akan menjejaskan (sektor) kesihatan awam dalam tempoh kritikal ini.

“Saya nasihatkan mereka yang merancang berbuat demikian agar berfikir semula. Ini tidak akan diterima dengan baik oleh rakyat,” katanya.

Bagaimanapun katanya, beliau percaya rakyat menyokong seruan agar 23,000 doktor kontrak mendapat faedah lebih baik.

“Ini adalah satu kemenangan buat masa ini,” tambahnya.

Pada Selasa, wakil kumpulan Hartal Doktor Kontrak berkata, sikap berdiam diri kerajaan menyebabkan mereka tiada pilihan selain meneruskan mogok pada 26 Julai.

Minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Jemaah Menteri akan membincangkan rayuan doktor kontrak yang mahu dilantik ke jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan awam.

Katanya, perkara itu perlu dibincang dengan teliti memandangkan ia akan melibatkan kos yang tinggi, iaitu lebih RM2 bilion.

Isu ini mendapat perhatian setelah kempen #HartalDoktorKontrak dilancarkan di media sosial dengan seruan agar mogok diadakan.

Subramaniam berkata, MMA baru-baru ini mengusulkan kepada Menteri Kesihatan agar kerajaan memberikan kontrak 10 tahun kepada pegawai perubatan yang terjejas dan membenarkan mereka mengikuti kursus kepakaran dengan hospital awam dalam tempoh tersebut.

“Ini bermakna mereka akan selesai latihan dan khidmat wajib dalam tempoh kira-kira empat tahun dan dapat mengikuti kursus kepakaran dalam empat tahun berikutnya.

“Dua tahun tambahan diberikan bagi mereka yang mungkin memerlukan lebih masa.

“Dengan cara ini, kerajaan juga akan dapat mengatasi masalah serius kekurangan pakar. Mereka yang tidak lagi mahu berkhidmat dengan kerajaan juga akan mempunyai kelayakan lebih tinggi dan ini akan membantu kerjaya mereka.” FMT

Umum keputusan Jemaah Menteri segera untuk elak doktor mogok


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bayaran pertama KWSP i-Citra mulai 2 dan 5 Ogos

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker