Meninggal selepas terima dua tawaran belajar perubatan

Hasrat seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 11A baru-baru ini untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan tidak kesampaian selepas meninggal dunia secara mengejut pada Sabtu.

Nadrah Wajihah Hamadi, 18, merupakan pelajar Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Kerian menghembuskan nafas terakhir di rumah akibat jangkitan kuman selepas mengalami demam selama empat hari.

Bercerita mengenai Allahyarham, ibunya, Norhaswati Nawawi, 44, berkata, pada Rabu, Nadrah Wajihah mengalami demam yang pada awalnya disyaki denggi namun selepas pemeriksaan kesihatan dibuat hanyalah demam biasa.

Katanya, bagaimanapun pada Sabtu, anak sulung daripada empat orang adik beradik itu tiba-tiba tidak sedarkan diri kira-kira jam 3.50 petang sebelum disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 4.45 petang.

“Pemergian Nadrah sangat mengejutkan buat kami sekeluarga kerana dia memang tak ada sejarah apa-apa penyakit sebelum ini, tiba-tiba sahaja dia rebah dan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

“Kami reda dengan pemergiannya kerana semua ini ketentuan ALLAH. Kami sayangkan Nadrah tetapi ALLAH lebih sayangkan dia dan ALLAH telah pinjamkan dia kepada kami selama 18 tahun,” katanya dengan sebak ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini pada Isnin.

Norhaswati berkata, Nadrah Wajihah pada Khamis mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di University of Cyberjaya melalui Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menurutnya, pada Jumaat pula, Allahyarham mendapat tawaran menyambung pelajaran di peringkat Asasi Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Norhaswati yang merupakan seorang guru berkata, dua berita gembira itu bagaimanapun berakhir dengan kesedihan apabila Nadrah Wajihah dijemput Ilahi pada Sabtu.

“Memang Nadrah bercita-cita nak jadi doktor hafizah selepas dia berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran pada bulan Ogos tahun lalu. Walaupun tak kesempaian nak menyambung pengajian, saya percaya dia sebenarnya sudah berjaya mencapai cita-citanya.

“Dia anak yang sangat baik dan tak pernah meminta-minta daripada kami. Pemergiannya sangat dirasai bukan sahaja keluarga tetapi rakan-rakan dan guru-guru yang pernah mengajarnya,” katanya.

Sementara itu, kembar Allahyarham, Sarah Wajihah Hamadi, 18, berkata, pemergian kakaknya itu amat dirasai tetapi dia tetap reda dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, sejak dari kecil mereka tidak pernah berpisah malah pemergian Allahyarham pada Sabtu merupakan perpisahan pertama dan terakhir buatnya.

“Allahyarham seorang yang tak lokek ilmu dan selalu beri tunjuk ajar kepada kawan-kawan. Mungkin itu antara rahsia kejayaan dia. Dia juga tak banyak cakap dan bercakap bila perlu sahaja selain sangat disenangi semua orang.

“Allahyarham juga rajin baca Surah As-Sajadah. Kami selalu berkongsi idea dan bertukar-tukar pandangan. Kadang-kadang kami berkongsi minat yang sama,” katanya.

Sarah Wajihah berhasrat menyambung cita-cita kakaknya dalam bidang perubatan walaupun telah menerima tawaran menyambung pengajian dalam bidang Perbankan Islam di sebuah universiti di Jordan.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ketupat tak laku, daging korban tak laris

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker