Esok jangan lupa untuk berpuasa Arafah

Esok jangan lupa untuk berpuasa Arafah. Alhamdulillah, hari ini kita sudah berada pada hari kelapan dalam bulan Zulhijah. Satu bulan yang cukup istimewa dalam 10 hari terawal Zulhijah.

Dalam masa kita melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana kita banyak masa di rumah, elok sangat jika kita membanyakkan amalan termasuk sunat.

Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Riwayat Ahmad)

Syabas kepada mereka yang sudah melipat-gandakan amal ibadat termasuk berpuasa sunat bermula Ahad lepas.

Lebih penting, hendaklah kita terus istiqamah dan tidak melepaskan peluang berpuasa sunat pada hari kesembilan Zulhijah iaitu puasa hari Arafah. Ia jatuh pada Isnin ini iaitu 19 Julai.

Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijah) kerana amalan ini telah sabit daripada Rasulullah SAW. Baginda bersabda yang bermaksud: Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. (riwayat Muslim).

Bagaimanapun, puasa ini hanya disunatkan kepada mereka yang tidak mengerjakan haji. Bagi jemaah haji yang sedang berwukuf di Arafah tidak disunatkan berpuasa.

Dalam masa yang sama pada 9 Zulhijah, jemaah haji akan berada di Arafah untuk berwukuf bagi menyempurnakan rukun haji.

Wukuf bermaksud berhenti atau berada di Padang Arafah pada masa yang ditetapkan.

Wukuf sangat penting kerana Nabi SAW bersabda: Haji itu mesti berwukuf di Arafah. (riwayat Nasaie dan Tirmidzi)

Bagi kita yang berada di Malaysia, inilah peluang untuk mendapatkan waktu mustajab berdoa walaupun kita tidak berada di bumi Arafah. Apabila kita berpuasa maka doa kita amat mustajab.

Ia sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi. (Riwayat Ibn Majah)

Sementelah pula, kita berpuasa pada hari Arafah. Ia ibarat peluang untuk kita dapat bonus berganda.

Sebabnya, amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada Allah SWT. Ia adalah masa dan waktu berdoa yang paling mustajab dan yang paling dekat untuk dimakbulkan.

Hal ini diriwayatkan dalam beberapa hadis sahih, antaranya:

* Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu). (Riwayat al-Tirmidzi)

* Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. (Riwayat Imam Malik)

Wukuf pada hari Arafah dan doa mustajab ini adalah khusus kepada jemaah haji yang berada di sana. Amalan ini bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijah sehingga tenggelam matahari waktu maghrib.

Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah perkara yang dikhususkan untuk jemaah haji yang berada di Arafah, kita yang berada di tanah air juga digalakkan berdoa sepanjang tempoh berwukuf. Ini kerana tiada dalil yang mengehadkannya.

ALLAH ANGKAT COVID-19

Antara doa yang patut kita mohon adalah agar Allah SWT mengangkat wabak Covid-19 yang makin makin serius.

Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sejumlah 187,519,5798 dikesan positif Covid-19 di seluruh dunia setakat 14 Julai lalu dengan angka kematian mencecah 4,049,372 orang.

Di Malaysia, setakat semalam, sejumlah 880,782 disahkan positif Covid-19 iaitu 13,215 kes dicatatkan pada 15 Julai. Angka kematian pula melebihi 6,385 orang.

Untuk itu, jangan lepaskan peluang untuk berdoa pada hari Arafah ini. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari Neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: apa yang mereka inginkan? (Riwayat Muslim)

Satu lagi hari kebesaran Islam pada setiap 10 Zulhijah adalah Hari Raya Aidiladha atau disebut juga hari raya korban. Malangnya, masih ramai kita yang tidak memberi perhatian kepada beberapa amalan sunat lain yang terkandung dalam Aidiladha.

Walhal Aidiladha menyediakan banyak peluang untuk kita melakukan pelbagai ibadat sunat dalam usaha mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah di kala Dia disembah daripada 10 Zulhijah. (Riwayat Abu Hurairah)

Apabila tiba 10 Zulhijah, hendaklah menggandakan usaha melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.

Dari segi bahasa korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hiasilah malam hari raya itu dengan takbir, tahlil dan tahmid. Janganlah malam Aidiladha sama seperti malam-malam lain di mana kita habiskan dengan menonton program-program yang lagha di televisyen.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil (La-ilaha-illallah), bertakbir (Allahu Akbar) dan bertahmid (Alhamdulillah). (Riwayat Imam Ahmad).

Perlu diketahui bahawa takbir hari raya itu ada dua macam iaitu takbir mursal dan takbir muqaiyad semasa Hari Raya Aidiladha.

Takbir muqaiyad dilakukan mulai solat Subuh pada hari Arafah (9 Zulhijah) hingga waktu Asar pada hari ketiga tasyrik (13 Zulhijah).

Cara bertakbir adalah dengan ucapan: Allahu Akbar, Allahu Akbar, Laa ilaha illallah, Wallahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Esok jangan lupa untuk berpuasa Arafah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis sahkan ‘Surat Azmin’ kini tidak laku untuk rentas negeri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker