Pemandu teksi, e-panggilan berang bantuan ditangguhkan

Pemandu teksi, e-panggilan berang bantuan ditangguhkan. Sudahlah seperti telur di hujung tanduk, pemandu teksi dan e-panggilan yang sememangnya terjejas pendapatan akibat kekurangan pelanggan dalam wabak Covid-19 ini dikecewakan pula selepas bantuan RM500 dijanjikan kepada mereka minggu ini ditangguhkan.

Bantuan itu sebahagian daripada skim Pemerkasa Tambahan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 31 Mei lalu, dan sepatutnya diagihkan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada Khamis.

Pemandu pelancong, pemandu bas sekolah dan pemandu bas pelancong juga sepatutnya menerima bantuan itu.

Bantuan itu, iaitu yang ketiga dalam beberapa siri bantuan diberikan kepada kumpulan berkenaan ketika pandemik, berjumlah RM68 juta dan sepatutnya memanfaatkan 134,000 penerima.

APAD pada Rabu berkata, penerima akan mendapat bayaran itu mulai 27 Julai ini, dengan memberi punca kelewatan akibat “proses teknikal yang tidak dapat dielakkan.”

Bantuan untuk pemandu e-panggilan akan diumumkan pada tarikh lain.

Pemandu teksi Saiful Helmi Ismail dari Kuala Lumpur antara yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perkara itu.

“Bantuan itu tidak patut ditangguhkan. Ini menunjukkan kelemahan sistem APAD dalam mengedarkan bantuan,” katanya yang merancang menggunakan wang itu untuk membayar hutang selain membeli barang dapur.

Ashok, pemandu e-panggilan dari Butterworth berkata dia hanya meraih pendapatan RM20 sehari dan kini menghadapi kesukaran kerana memerlukan wang untuk pelbagai perbelanjaan.

Ini termasuk keperluan susu dan lampin untuk dua anak yang berusia bawah lima tahun, malah dia mengaku mereka sekeluarga kadangkala terpaksa berlapar ketika sekatan pergerakan dilaksanakan.

“Masalah teknikal? Itu bukan alasan kukuh,” katanya.

“Begitu lama kami menantikan bantuan ini dan memang kecewa ia ditangguhkan.”

Begitu juga bagi Hooi Poh Onn, pemandu teksi di Kuala Lumpur yang berkata pendapatan sehariannya cukup-cukup untuk membeli “sarapan dan kadangkala makan tengah hari atau malam.”

“Saya tidak mampu membayar sewa teksi ini, malah tertangguh hampir tiga bulan. Majikan saya pun tentu ada had kesabarannya.

“Pasti tidak lama lagi beliau akan menghantar orang untuk mengambil semula teksi itu. Saya berharap bantuan diberikan sebelum itu berlaku.”

Ketika dihubungi FMT, jurucakap APAD berkata pihaknya berusaha memastikan bayaran dibuat secepat mungkin, selain kesal dengan kesusahan diakibatkan itu.

Pemandu teksi, e-panggilan berang bantuan ditangguhkan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kes dera Bella: Permohonan polis untuk reman ditolak mahkamah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker