Ramai cari batu nisan, kematian meningkat

Ramai cari batu nisan, kematian meningkat

KUALA SELANGOR: Kes kematian yang tinggi di Selangor antara faktor peningkatan permintaan terhadap batu nisan, namun ramai yang kecewa tidak dapat menyempurnakan pengebumian ahli keluarga berikutan kedai pembuat batu itu tutup.

Perkara itu dimaklumkan seorang pengusaha batu nisan, Kuah Leong Chan, 66, apabila ramai orang menghubungi dan datang ke kedainya, namun tidak dapat beroperasi kerana terletak dalam kawasan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dia yang sudah berpuluh tahun mengusahakan pembuatan batu nisan bagi kubur orang Islam memberitahu, sejak kematian disebabkan Covid-19 meningkat, ada waris yang datang ke kedainya pulang begitu sahaja kerana pintunya ditutup.

“Selama ini sesiapa yang hendak menempah akan datang bertemu saya di atas bukit tempat saya membuat batu nisan di tepi jalan berhampiran kedai saya.

“Orang yang menempah bukan sahaja orang tempatan malahan ada yang datang dari Sungai Besar, Kuala Lumpur dan Shah Alam. Bila PKPD saya tutup kedai dan bengkel membuat nisan di atas bukit itu,” katanya kepada pemberita di kedainya berhampiran Bukit Malawati di sini.

Bagaimanapun, Leong Chan mengaku sepatutnya meletakkan nombor telefon di pintu hadapan bagi memudahkan pelanggan yang datang untuk menempah batu nisan ketika kedainya tutup.

Katanya, batu nisan yang dijual berharga antara RM400 hingga RM600 satu set, menjadi pilihan umat Islam disebabkan kerja tangannya yang halus selain boleh menulis khat.

“Saya ada merayu pihak berkuasa untuk dibenarkan beroperasi di bengkel di atas bukit itu, tetapi ditolak atas alasan ramai pelawat akan datang memenuhi kawasan tersebut untuk melihat saya memahat dan menulis tulisan Jawi di atas batu nisan.

“Lagi pun Bukit Malawati ramai pelancong datang, sekarang kes sudah melebihi 10,000. Kerajaan risau pandemik Covid-19 merebak disebabkan pelancong datang bertemu saya di sini,” ujarnya.

Ujarnya lagi, kepada orang ramai yang ingin menempah batu nisan boleh menghubunginya di talian 012-2376855. – UTUSAN

Ramai cari batu nisan, kematian meningkat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bukalah hati, belanjalah kerajaan – Shahril Hamdan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker