Sindiket pelacuran Michat dilumpuhkan Polis Johor
Sindiket pelacuran Michat dilumpuhkan Polis Johor
Polis lumpuh sindiket pelacuran guna Michat
Polis Johor melumpuhkan satu sindiket pelacuran menggunakan aplikasi Michat, sebagai medium untuk mengiklan, mempromosi dan berhubung dengan pelanggan, yang aktif sejak Mei lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ia hasil operasi bersepadu, Op Noda dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama enam daerah pentadbiran polis, antara jam 6.30 petang hingga 10 malam, Sabtu lalu.
Katanya, tujuh premis diserbu membabitkan dua hotel bajet, tiga apartmen dan masing-masing sebuah rumah kediaman dan rumah kedai.
“Dalam operasi ini, seramai 26 individu membabitkan lapan lelaki tempatan dan dua lelaki warga India bertindak sebagai penghantar dan penjaga premis.
“Polis turut menahan 16 pekerja seks yang terdiri daripada warga Vietnam dan Thailand termasuk seorang wanita tempatan, berusia antara 21 hingga 54 tahun,” katanya pada sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, sindiket itu menggunakan Michat sebagai medium untuk berkomunikasi dengan pelanggan.
Katanya, sindiket menjadikan rumah kedai, kediaman dan apartmen sebagai lokasi aktiviti pelacuran mungkin kerana hotel tidak beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Ahli sindiket akan memberikan beberapa gambar pekerja seks wanita kepada pelanggan menerusi akaun Michat untuk dipilih sebelum memberikan maklumat lokasi pertemuan dengan pelacur yang dipilih dihantar ke situ,” katanya.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 37 unit telefon, 346 keping kondom, empat botol minyak pelincir, empat helai tuala, tiga tisu basah, satu gulung tisu, dua tiub jeli, enam resit homestay.
Turut dirampas, empat kereta yang digunakan ‘penghantar’ pelacur dan wang tunai berjumlah RM14,511.
Katanya, pelanggan dikenakan caj antara RM200 hingga RM300 tertakluk kepada pekerja seks yang dipilih dengan bayaran akan dibuat kepada penghantar.
Beliau berkata, setiap pekerja seks akan dibayar upah antara RM100 hingga RM120 bagi setiap perkhidmatan manakala penghantar pula dibayar antara RM4 hingga RM10 mengikut penghantaran dan jarak.
“Bagi kegiatan persundalan ini, sindiket memperoleh keuntungan antara RM100 hingga RM120 hasil dari setiap pekerja seks.
“Kesemua pekerja seks warga Vietnam dan Thailand ini berada di dalam negara sebelum PKP dengan menggunakan pas lawatan sosial,” katanya.
Ayob Khan berkata, suspek warga tempatan yang ditahan, kini direman antara tiga hingga enam hari manakala suspek warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen selama 14 hari mulai 11 hingga 24 Julai.
Katanya, semua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.
Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sejak awal tahun hingga Sabtu lalu, polis Johor membuat 155 serbuan Op Noda di seluruh negeri ini dan menahan 691 individu ternasuk pekerja seks, selain merampas wang tunai berjumlah RM72,069. BH
Sindiket pelacuran Michat dilumpuhkan Polis Johor
Baca Artikel Menarik :
- Muhyiddin perlu contohi Pak Lah berundur secara terhormat – Ibrahim Ali
- Kita mahu PM yang menyakinkan, bukan beli katak
- Kuli Mahu UMNO berpisah dengan Bersatu
- Jangan terkinja-kinja dalam TikTok tetapi poket kosong – DSV
- Wanita pecah cermin van dakwa kereta dihimpit [VIDEO]
- Resepi Almond Nutella Cookies Rangup