Dafi gembira lihat pencapaian ‘Pak Long Mail’

Dafi gembira lihat pencapaian ‘Pak Long Mail’. Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri yang berkuat kuasa semalam disambut baik ramai pihak, termasuk anaknya, pelakon dan penyanyi, Dafi.

Dafi yang dihubungi hari ini meluahkan rasa terharu, gembira dan bangga melihat pencapaian seorang bapa yang disifatkannya sebagai rajin bekerja dan berjiwa rakyat.

“Sebagai anak, saya gembira. Saya melihat sendiri apa dilaluinya, jatuh bangunnya dan bagaimana dia berkerja keras selama bertahun-tahun.

“Tidak semua orang tahu apa yang benar-benar dia lalui melainkan keluarga dan insan-insan yang rapat dengannya. Kerana itu, saya cukup bangga dengan pencapaiannya hari ini,” katanya.

Disoal bagaimana pencapaian bapanya itu memberi kesan kepada dirinya, empunya nama sebenar Gadaffi, 32, itu memberikan jawapan tersendiri.

“Sepanjang saya membesar, saya nampak dirinya yang tidak mengenal erti penat demi menggalas tanggungjawab yang dikurniakan kepadanya. Sebab itu saya katakan, Saya melihat sendiri jatuh bangunnya.

“Papa sekian lama menjadi inspirasi buat saya. Dia dibesarkan dalam serba kekurangan. Berkat usaha sepanjang hidupnya, dia kini mencapai sesuatu yang amat membanggakan.

“Tambahan pula, jiwa prihatin itu menebal dalam diri papa. Itulah hakikatnya. Bukan kerana dia bapa saya, tetapi seadanya dia seorang yang begitu,” katanya lagi.

Dalam gembira, Dafi menyimpan sedikit rasa simpati buat ayahnya yang terpaksa bekerja hampir setiap hari lebih-lebih lagi di kala negara dilanda pandemik ketika ini.

“Adakalanya saya simpati, sebab dia hampir setiap hari bekerja. Tapi itu saya fahami, kerana sebagai seorang yang berkhidmat untuk rakyat, itu tanggungjawabnya yang perlu dia galas setiap hari. Boleh katakan kami sudah terbiasa melihatnya begitu.

“Segala cabaran, ditambah dengan kritikan ramai pihak, itu sebahagian tanggungjawabnya dan dia terima seadanya. Kami sekeluarga sudah menanam mentaliti itu, yang penting kami dibelakangnya untuk memberikan sokongan.

“Saya tidak salahkan pihak yang mengkritiknya, bahkan saya fahami dalam keadaaan sekarang ini, ramai yang tertekan dan menghadapi gelombang cabaran hidup yang cukup menduga,” jelasnya.

Dafi gembira lihat pencapaian ‘Pak Long Mail’

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Terima lantikan TPM, Ismail ucap terima kasih pada PM dan Presiden UMNO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker